Saturday, December 4, 2010

SEMAKIN RAMAI PELAJAR IPT SABAH MELACUR?

NAIB Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah, menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) melakukan penyiasatan secara menyeluruh berhubung dakwaan kononnya ada pelajar wanita institut pengajian tinggi (IPT) di Sabah terlibat dengan aktiviti memperdagangkan diri secara sambilan semata-mata mencari sumber kewangan bagi menampung pelajaran mereka.

Katanya, pihak KPT wajar menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan itu kerana profesion tertua ini mungkin mempunyai rangkaian antarabangsa yang menjadi dalang kepada aktiviti itu.

“Kita menyarankan pihak tertentu terutamanya KPT dan Polis supaya merapatkan kerjasama mereka sehingga kes ini terungkai sehingga ke akar umbi,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Sabahkini.net.

Kata Jimmy, kemungkinan besar kes ini sudah menular begitu lama tetapi tidak disedari sebelum ini; sehubungan itu beliau meminta agar pihak yang bertanggung jawab sebagai dalang kes ini dapat dicekup dan dihadapkan ke muka pengadilan kerana perbuatan itu amat memalukan Negara.

Tambahnya lagi, kejadian tersebut amat mengejutkan banyak pihak dalam negara kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini, lebih-lebih lagi insiden itu didakwa berlaku di Sabah.

Jimmy yang juga Pengerusi CLC SAPP Tenom berkata demikian ketika mengulas isu tersebut yang dicetuskan oleh Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun dan Murut Bersatu (UPKO), Datin Dr. Jaina Sintian semasa Simposium Pendidikan Wanita UPKO di Penampang baru-baru ini.

Dr Jaina yang dipetik sebagai berkata, fenomena tersebut memang wujud hampir seluruh IPT di negeri ini melalui rangkaian yang tersembunyi tanpa disedari oleh pihak pengurusan IPT terbabit.

Menyedihkan lagi, apabila perbuatan mereka (pelajar) bukan secara paksaan tetapi atas kehendak mereka sendiri kerana didorong oleh masalah kekurangan kewangan sepanjang sesi pengajian IPT.

Oleh: MAIL MATHEW (sabahkini)

1 comment:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.