Monday, July 15, 2013

Kehidupan bukan sebuah novel

Novel, filem dan drama kadang-kala mempengaruhi minda sesetengah pihak sehingga mereka tenggelam dalam khayalan dunia seperti itu. Memang benar, membaca novel, menonton filem ataupun karya seni lain yang menceritakan watak-watak khayalan yang diwujudkan merupakan satu hiburan dan ruang untuk kita menjenguk sisi pandang pengkarya tentang watak dan babak yang diwujudkan itu.

Ia membantu percambahan minda, tambahan maklumat dan kadang-kala ia boleh melebarkan diskusi pemikiran.

Namun, pada pandangan saya, kesungguhan untuk memberikan penilaian terhadap rumusan keseluruhan kehidupan bagi sesebuah watak yang diwujudkan dalam novel, cerpen, drama, filem ataupun sebagainya bukanlah satu kerja yang begitu bermanfaat. Ini kerana kisah kehidupan yang diwujudkan dalam karya bikinan manusia itu tidak realiti dan hanya andaian semata. Jalan kisah bagi watak-watak itu ditulis oleh manusia. Sedangkan, kehidupan yang hakiki ditulis oleh Tuhan.

Khayalan dan realiti

Para pengkarya menulis cerita berdasarkan khayalan dan kehendak yang ada dalam diri mereka. Khayalan ini dipengaruhi oleh faktor dalaman jiwa, kepentingan diri dan tuntutan persekitaran. Episod dan babak kehidupan yang direka itu, ditafsirkan pula dari sudut pandang seseorang pengkarya yang mempunyai latar diri dan kepentingan yang tersendiri. Sementara kehidupan yang hakiki, jalan kisahnya ditulis oleh Tuhan yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan dan keperluan, sebaliknya Dia Maha Kaya dan Maha Perkasa.

Walaupun Allah SWT memberikan ruang kebebasan kepada manusia untuk memilih antara yang baik dan yang buruk, sehingga ada pihak yang mungkin dizalimi dalam kehidupan dunia atas pemilihan buruk dibuat oleh sebahagian manusia, namun Allah SWT menentukan pelbagai keadaan dalam memberikan keadilan dan menzahirkan hikmah dalam perjalanan hidup seseorang. Campur tangan Tuhan dalam plot-plot kehidupan ini sangat ajaib dan halus.

Kisah kehidupan sebenar, jika diteliti tiada yang boleh dikatakan berlaku secara kebetulan, tetapi ia bagaikan plot-plot yang jika dilihat dari awal sehingga akhir, yang zahir dan tersembunyi, yang tersirat dan yang tersurat akan terbongkar rahsianya yang dapat diketahui oleh diri yang melaluinya. Kisah dan watak sebenar yang diceritakan kepada kita dalam banyak keadaan hanya zahir berita yang diriwayatkan. Hakikat dalaman diri seseorang sehingga babak, episod dan jalan cerita yang seperti itu boleh berlaku, hanya Tuhan yang Maha Tahu dan diri berkenaan juga mungkin tahu. Dalam banyak kisah kita hanya mengetahui zahirnya sahaja, sedangkan batin kisah tersebut yang membabitkan rahsia seseorang, niatnya, episod dan babak yang disembunyikan, banyak yang kita tidak tahu. Maka kita menilai sesuatu berdasarkan zahir yang kita tahu, sedangkan Tuhan melihat segalanya zahir dan batin. Apakah sama, antara karya manusia dan realiti hidup yang ditentukan oleh Tuhan.

Tersurat dan tersirat

Saya selalu mengambil kisah pelacur dan anjing yang disebut dalam hadis Nabi SAW. Nabi SAW bersabda:

"Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia mencedok air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu." (Riwayat al-Bukhari)

Mungkin ada yang bertanya bagaimanakah dengan mudah seorang pelacur yang memberikan minum seekor anjing mendapat keampunan. Apakah ini bererti setiap pelacur yang memberi minum kepada anjing ataupun yang membelanja rakan-rakan yang ‘manusia' untuk makan dan minum akan mendapat keampunan? Kisah ini bukan soal memberikan anjing atau apa-apa haiwan makan dan minum, tapi apakah yang ada di sebalik perasaannya ketika dia memberi anjing berkenaan minum. Juga kehidupan yang pernah dilaluinya sehingga Tuhan mencampak rahmat ke dalam jantung hatinya untuk melahir dan menzahirkan simpati terhadap anjing berkenaan. Demikian, sudah pasti ada episod yang dilalui pelacur yang menyebabkan Tuhan memilihnya untuk memberikan hidayah dan peristiwa memberi minum anjing itu dijadikan titik tolak keampunan untuknya. Banyak yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Jangan pula kita hairan, jika wanita di medan pelacuran mendapat keampunan sedangkan ada mujahid di medan jihad yang mendapat kemurkaan Tuhan.

Kata Abu Hurairah RA:

"Kami menyertai Rasulullah SAW dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, dia dalam kalangan ahli neraka.

"Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah SAW: Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati.

"Jawab baginda: Ke neraka. Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri.

"Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah SAW, lantas baginda bersabda: Allahu Akbar! Aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasul-Nya!

"Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengisytiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan jiwa yang Muslim dan Allah mungkin menguatkan agama-Nya dengan lelaki yang jahat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ini semua berlaku kerana Tuhan sahaja yang mengetahui hakikat yang tersimpan dalam kehidupan seseorang. Ini merentasi andaian setiap kita yang kebanyakannya hanya mampu menilai pada zahir semata. Sekali lagi, banyak yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Zahir dan batin

Tuhan pula dalam melimpahkan kebahagiaan untuk seseorang itu menerusi pelbagai warna, cara dan rasa. Ia kadang kala merentasi khayalan dan andaian manusia. Betapa ramai yang kita pandang zahirnya derita, batinnya mungkin jauh lebih bahagia dari apa yang kita rasa. Betapa ramai yang dilihat sedang bermandian dengan nikmat dan kebahagiaan, tetapi hakikat Tuhan sedang mencampakkan dalam jiwa keresahan dan derita jiwa yang tidak dapat dihuraikan dan ungkapkan dengan lidah untuk diadukan kepada sesiapa. Kehidupan ini sungguh ajaib dan luar biasa. Tuhan menulis kehidupan yang hakiki, ia merentasi khayalan seorang penulis. Diari kehidupan seseorang yang berjalan dalam alam realiti bersama dengan segala asam garam kehidupan, yang tersurat dan tersirat dan yang zahir dan batin yang ditentukan oleh Tuhan itu, tentu tidak dapat digarap oleh khayalan seorang insan.

Rumusan sebuah kehidupan

Walaupun novel mempunyai peranannya yang tersendiri, setiap babak yang dikhayalkan itu juga mungkin kiasan realiti kehidupan yang benar-benar wujud, namun cantuman plot dan babak yang dirangkumkan sehingga menjadi riwayat hidup sesuatu watak ia tetap suatu khayalan semata. Dalam bahasa yang agak kasar, penulis seakan menjadi Tuhan kepada watak-watak rekaan mereka dalam menentukan perjalanan dan takdir hidup yang penulis mahukan. Jika kita andaikan watak itu benar-benar wujud dalam alam realiti, apakah demikian jalan cerita dan gabungan plot yang Tuhan akan tentukan?

Oleh kerana itu, kesimpulan novel banyak dipengaruhi oleh mazhab dan pemikiran seorang pengkarya. Mungkin yang salah itu akan zahir sebagai yang benar dan direlai Tuhan atas kehendak penulis. Mungkin watak yang benar pada alam realiti, akan zahir sebagai yang salah dan tidak mendapat rahmat Tuhan ataupun kurniaan kehidupan kerana watak itu bertentangan dengan mazhab ataupun pegangan pengkarya.

Maka, saya simpulkan dari segi agama bahawa kita boleh menilai peristiwa-peristiwa yang dikhayal dalam sebuah karya sebagai satu andaian peristiwa seperti andaian hukum bagi perkara iftiradi (andaian), namun kita tidak boleh membuat kesimpulan tentang keseluruhan kehidupan yang direka dan dirumuskan oleh seseorang pengkarya. Ini kerana ia hanya rekaan semata sedangkan perjalanan hidup sebenar yang Tuhan takdirkan yang sangat tersendiri dengan segala hikmat dan rahsianya.

PROF MADYA DATO' DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Kehidupan bukan sebuah novel "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx