Tuesday, July 16, 2013

Sudah 15 Tahun menuntut janji ditepati?

Sudahlah tempat tinggal mereka diambil untuk membangunkan Putrajaya, rumah ganti yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan Umno-BN ketika itu hanya tinggal janji dan rumah sementara pula tidak selamat didiami.

Itulah nasih kira-kira 400 buah keluarga yang merupakan “penduduk asal” Putrajaya yang sudah 15 tahun tinggal di dalam Pangsapuri Taman Permata, yang dinding dan silingnya mulai retak sejak mereka mulai tinggal di situ.

Malah ada sekumpulan penduduk yang terpaksa duduk di dalam khemah di tempat letak kereta pangsapuri itu kerana takut bangunan rumah mereka akan roboh setelah retakan menjadi lebih teruk sebulan lalu.

Wakil penduduk, S.Thangaraju, 51, berkata, Kerajaan Persekutuan sebelum ini sudah berjanji untuk membina rumah teres satu tingkat sebagai ganti kepada tanah mereka yang diambil bagi memberi laluan kepada Putrajaya.

Menurutnya, dua buah memorandum telah diserahkan penduduk kepada Kerajaan Persekutuan sejak Jun lalu bagi mendapatkan status mengenai kediaman mereka, namun sehingga kini masih tiada maklumbalas.

“Kerajaan Persekutuan kata rumah ini masih selamat untuk diduduki, penduduk tidak perlu bimbang kerana Kerajaan akan bantu selesaikan masalah kami.

“Kerajaan Selangor pernah maklumkan sebelum ini bahawa mereka sudah sediakan tanah tetapi Kerajaan Persekutuan tidak mahu bekerjasama dan dakwa Kerajaan Negeri hanya berbohong kepada rakyat.

“Sudah 33 hari kami di sini, tetapi tiada satu bantuan atau kata putus daripada pihak Kerajaan Persekutuan pun berhubung perkara ini,” katanya apabil ditemui.

Tambahnya, penduduk sebelum ini dijanjikan untuk menduduki pangsapuri berkenaan secara sementara sebelum kediaman mereka siap sepenuhnya, tetapi setelah 15 tahun menanti, janji hanya tinggal janji.

Katanya, penduduk Blok 5 terpaksa berkhemah di bahagian tempat letak kereta selagi Kerajaan Pusat tidak menunaikan janji mereka untuk membina rumah baru.

“Kerajaan kata ini cuma rumah sementara, tetapi persoalannya adakah 15 tahun itu dikira sebagai sementara?

“Menteri daripada MIC ada datang ke kawasan ini dan kononnya berjanji untuk membantu kami dengan mengemukakannya di Parlimen, tetapi itu semua janji palsu,” katanya lagi.

Penduduk pangsapuri kos rendah itu terdiri daripada 400 penghuni sementara yang merupakan bekas pekerja di Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgley.

Apabila mereka berpindah 14 tahun lalu mereka dijanjikan rumah teres satu tingkat.

Sehingga kini, janji tersebut tidak ditepati.

Ketika ini, sebahagian daripada penduduk sudah 33 hari ‘berumah sementara’ di dalam khemah yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) selepas dikejutkan gegaran kuat.

Pada 13 Julai, Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan, Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata Kerajaan Negeri akan memperuntukkan tanah 30 ekar kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Peruntukan tersebut bagi membolehkan kerajaan persekutuan melakukan kerja-kerja pembinaan rumah seperti yang dijanjikan mereka sebelum ini. -selangorku

2 comments:
Write comments
  1. Sepatutnya penduduk berbincang dengan kerajaan, bukanya membuat perhimpunan haram.

    ReplyDelete
  2. kALAU terlalu ikut cara pembangkang, tidak akan ada penyelesaianya.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.