Monday, August 18, 2014

Bicara 30 individu dikaitkan pencerobohan di Lahad Datu bersambung

Perbicaraan terhadap 30 individu yang menghadapi pelbagai tuduhan yang dikaitkan dengan pencerobohan di Lahad Datu tahun lepas, bersambung hari ini selepas hampir dua bulan ditangguhkan.

Saksi pihak pendakwa ke-32, pegawai penyiasat, Inspektor Jamirin Kintai meneruskan keterangan mengenal pasti barangan diserahkan kepadanya oleh pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Superintendan Mursalim Mohd. Salleh, yang merampas barangan itu berikutan pertempuran di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, pada 8 Mac tahun lepas.

Antara barangan dikenal pasti oleh beliau ialah beberapa kemeja-T putih dan sehelai kemeja-T berwarna kuning, dua pisau dan sarung parang diperbuat daripada plastik polivinil klorida (PVC) yang terlekat di tali pinggang hitam sepanjang 96 sentimeter.

Memandangkan sarung parang itu dikemukakan di mahkamah buat kali pertama, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Dusuki Mokhtar memohon kepada mahkamah agar sarung parang itu ditanda sebagai eksibit dan bukan bahan bukti.

Ini kerana, beliau berkata ia tidak disahkan oleh Mursalim sebagai satu daripada barang yang beliau rampas ketika beliau memberi keterangan. - Bernama

-http://www.kosmo.com.my

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.