Wednesday, August 27, 2014

Sarawak tuntut royalti minyak lebih besar

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata bayaran royalti lima peratus yang diterima negeri itu dari hasil minyak dan gas sejak 39 tahun lalu tidak memadai untuk membangunkan negeri berkenaan.



"Kami tidak berpuas hati dengan lima peratus. Kami mahu royalti lebih tinggi untuk menjana pembangunan negeri bawah Rancangan Malaysia ke-12,” katanya dalam satu majlis sambutan Hari Raya di Sebuyau semalam.

Tambahnya: "Negeri ini patut mengambil bahagian dengan agresif dalam industri minyak dan gas. Kita tidak boleh hanya memandang sahaja di sisi.

"Kerajaan negeri masih berbincang dengan kerajaan persekutuan untuk meningkatkan royalti minyak dan gas,” katanya lagi.

Walau perairan Sarawak banyak menyumbang hasil minyak dan gas, negeri tersebut masih kekal sebagai salah satu daripada negeri paling miskin dalam Persekutuan Malaysia, katanya.

Pembangunan prasarana di negeri itu kini di tahap 10 hingga 20 tahun lebih mundur dari pembangunan di Malaysia Barat, katanya.

“Saya mahu agihan lebih besar untuk Sarawak dan saya tidak mahu melihat sahaja apabila sumber kita dieksploitasi,” kata Adenan.

Kenyataannya itu timbul susulan kritikan keras dari PKR dan DAP negeri atas tindakan kerajaan negeri menerima tawaran equiti 10 peratus oleh Petronas dalam rundingan Malaysian Liquefied Natural Gas 4 (MLNG 4). -mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Sarawak tuntut royalti minyak lebih besar "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx