Tuesday, August 12, 2014

Sokongan Bawa Rebah UMNO Kepada Khalid?

Buat sementara ini, dengan perkenan yang diperolehi oleh Khalid Ibrahim daripada Sultan Selangor, beliau nampaknya boleh terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor. Tetapi sampai bila beliau boleh kekal sukar dapat dipastikan kerana perkenan Sultan bukanlah sesuatu yang kekal dan tidak boleh berubah langsung.

Melalui perkenan yang diperolehi Khalid, ia hanyalah berdasarkan keyakinan Sultan Selangor terhadap pengakuan Khalid sendiri bahawa beliau masih mempunyai majoriti sokongan di kalangan ADUN negeri itu

Walaupun secara logiknya pengakuan itu agak diragui kerana ia hanya bersandarkan sokongan Pas sebelum ini serta keyakinan UMNO juga menyebelahinya.

Mengikut perkiraaan itu, Khalid sebenarnya hanya mempunyai sokongan 28 ADUN saja iaitu 15 daripada Pas, 12 daripada UMNO dan satu daripada dirinya sendiri? Daripada 56 ADUN keseluruhannya, kedudukannya sebenarnya adalah seri kecuali jika Khalid turut mempunyai sokongan daripada kalangan ADUN PKR yang turut menyebelahinya yang kita tidak ketahui.

Tetapi sokongan 15 ADUN Pas sebenarnya belum rasmi lagi kerana parti itu hanya akan bermesyuarat pada 17 Ogos depan. Lagi pula sokongan Pas kepada Khalid sebelum ini adalah dalam lingkungan permasalahan dalam PR saja. Dengan UMNO sudah secara terbuka turut memberi sokongan melalui kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa 12 ADUN UMNO akan bersama Khalid, tidak mustahil pendirian Pas akan berubah.

Kiranya Pas terus menyokong Khalid, bermakna parti itu sudah bersama dengan UMNO dan BN di Selangor. Ini bermakna parti itu juga terpaksa menerima pakej UMNO iaitu MCA, Gerakan, MIC, PPP dan lain-lainnya sedangkan Pas masih ada persefahaman dengan PKR dan DAP dalam PR. Pas juga mesti menerima pakej lain yang bersama UMNO seperti Perkasa, Isma dan segala macam NGO lain yang berada di belakang UMNO jika ia terus menyokong Khalid.

Dalam bahasa yang lebih mudah, jika Pas terus mahu menyokong Khalid, mereka mestilah keluar daripada PR dan menyertai BN. Adalah janggal jika Pas mahu bersama Khalid yang sudah disokong UMNO di Selangor tetapi dalam masa yang sama juga terus bersama PR dan bermusuh dengan UMNO di Pusat dan negeri yang lain.

Walaupun tindakan Pas melewatkan tarikh mesyuarat daripada 10 kepada 17 Ogos membuatkannya sekali lagi berada dalam kesulitan dari segi membuat keputusan tetapi dengan sokongan segera yang diberikan oleh UMNO semalam, ia mungkin memudahkan lagi Pas membuat keputusannya.

Pilihan Pas hanya satu, sama ada terus bersama PR dan menolak Khalid atau kekal menyokong Khalid dan menerima UMNO sebagai sekutu baru serta BN sebagai wadah barunya.

Jika kerana UMNO sudah menyokong Khalid akan menyebabkan Pas menarik balik sokongannya kerana tidak sanggup dilihat bersekongkol dengan parti yang dimusuhinya sejak sekain lama, maka sokongan UMNO itu bolehlah dianggap sokongan yang membawa rebah kepada Khalid.

Tetapi jika dengan sokongan terbuka UMNO kepada Khalid ini juga membuatkan Pas terus bersama Khalid, tidak diragui lagi bahawa parti itu memang ingin kembali bersama BN dan membentuk kerajaan perpaduan yang akan dimulakan di Selangor.

Apa pun pendirian Pas pada 17 Ogos nanti tidak berkait sama sekali dengan sama ada membelakangi perkenan Sultan Selangor kepada Khalid atau sebaliknya, tetapi lebih kepada prinsip perjuangannya.

Soal sama ada Khalid bercakap benar atau sebaliknya kepada Sultan Selangor, ia adalah soal yang boleh ditentukan kemudian keraha perkenan Sultan Selangor itu hanyalah bersifat sementara saja sebelum sidang DUN diadakan dan sebelum Pas menyatakan pendirian rasminya.

Jika pada 17 Ogos nanti Pas membuat pusingan U dan menarik balik sokongannya, bermakna Khalid sudah hilang sokongan majoriti yang dipercayainya sebelum ini. Ketika itu Khalid hanya ada sokongan minoriti daripada 12 ADUN UMNO dan mungkin beberapa lagi ADUN PKR yang setia bersamanya.

Untuk menyingkirkan Khalid pula, ia haruslah dilakukan dalam sidang DUN melalui usul undi tidak percaya yang akan dibentangkan. Khalid hanya boleh terus kekal sebagai Menteri Besar jika beliau menang dalam pengundian itu, tetapi terpaksa berundur jika tewas.

Namun buat sementara ini, untuk memastikan jangka hayat politiknya terus ada, beliau juga mempunyai kuasa menentukan bila sidang DUN hendak diadakan. Khalid boleh mempercepat atau melewatkannya.

Apa pun, sebagaimana isu pertukaran Menteri Besar Selangor ini mula bermasalah kerana Pas secara terbuka menyatakan sokongannya kepada Khalid, ia juga terletak di tangan Pas untuk mengakirinya. Jika Pas ingin melihat drama ini berterusan, mereka boleh menunggu sehingga 17 Ogos untuk membuat keputusan tetapi ia juga boleh diakhiri dengan mempercepatkan tarikh mesyuarat atau Haji Hadi membuat kenyataan awalnya sebelum mesyuarat.

Oleh sebab sebelum ini beliau sudah membuat kenyataan menyokong Khalid sebelum mesyuarat, tiada salahnya jika Haji Hadi membuat perkara yang sama sekali lagi.

-Oleh Shahbudin Husin (DD)

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.