Monday, October 13, 2014

PKR lapor polis, dakwa peguam negara sembunyi dokumen Liwat II

PKR hari ini membuat laporan polis menggesa satu siasatan dilakukan ke atas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kerana dipercayai menyembunyikan dokumen berkaitan kes Liwat II melibatkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Fariz Musa mendakwa dokumen yang merupakan "Perintah Menyiasat" (OTI) dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof pada 3 Januari 2014 bagi satu siasatan dibuka terhadap rayuan Datuk Mat Zain terhadap Peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

"Kita dapati ada perintah menyiasat di bawah Seksyen 108 (2) dan Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah bertarikh 3 Januari 2014 bagi membuka penyiasatan terhadap kesalahan di bawah Seksyen 199 Kanun Keseksaan untuk kes rayuan jenayah berdasarkan laporan Datuk Mat Zain terhadap Shafee," katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebentar tadi.

Beliau yang hadir membuat laporan itu tiba di Balai Polis Dang Wangi kira-kira jam 3 petang tadi.

Turut hadir membuat laporan ialah Ahli Parlimen Kapar Manivanan Gowin yang juga ahli ‎Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.

Menurut Fariz, meskipun peguam negara menerima perintah‎ OTI namun tiada siasatan dilakukan sehinggalah selepas permohonan Anwar membatalkan peranan Shafee sebagai pendakwa raya ditolak Mahkamah Persekutuan.

"Dan hanya pada 19 Mei 2014 apabila Mat Zain dipanggil polis oleh Putrajaya untuk percakapannnya dirakam," katanya.

Selepas pendedahan Mat Zain yang juga bekas pengarah jabatan siasatan jenayah Kuala Lumpur terhadap Shafee itu, beliau pada 15 Disember lalu membuat laporan polis menyatakan Shafee memalsukan afidavit undang-undang.

Mat Zain mendakwa Shafee membuat dua kesalahan iaitu sengaja membuat kenyataan palsu yang dibuat dalam afidavit jawapan dan menyembunyikan fakta material yang ada kaitan dengan prosiding rayuan jenayah kes Liwat II.

Sementara itu Manivanan berkata, pendedahan OTI itu amat mengejutkan memandangkan pihak berkuasa memanggil Mat Zain untuk merakam keterangan selepas keputusan hukuman penjara 5 tahun Anwar pada 7 Mac lalu.

Beliau mempersoalkan mengapa Jabatan Peguam Negara menyembunyikan dokumen tersebut dan hanya bertindak balas ke atas laporan Mat Zain selepas Anwar dijatuhkan hukuman.

"Kita amat terkejut, ia menyaksikan satu keputusan sebaliknya sekira OTI itu dijalankan sebelum Anwar dijatuhkan hukuman.

"Kalau beliau (Gani) tidak sengaja menyembunyikan dokumen itu, menyaksikan keputusan kes Anwar yang berbeza.. tidak mungkin Anwar disabitkan dengan hukuman 5 tahun," katanya.

Justeru, ahli politik PKR tersebut sekali lagi mengulangi pendirian meminta siasatan bebas dilakukan termasuk mengugurkan peranan Shafee sebagai pendakwa raya dalam kes Anwar.

"Kalau betullah maklumat yang kami terima, maka perlu ada‎ siasatan tentang itu. Gani perlu jelaskan mengapa beliau menyembunyikan kewujudan fakta OTI," katanya.

Tarikh 28 dan 29 Oktober depan adalah pendengaran rayuan keputusan penghakiman kes Liwat II terhadap Anwar yang akan diputuskan di Mahkamah Persekutuan bagi menentukan nasib ketua pembangkang tersebut. –TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.