Showing posts with label Sarawak. Show all posts
Showing posts with label Sarawak. Show all posts

Tuesday, November 4, 2014

Ada 600 sekolah usang di Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Pengerusi Parti Reformasi Negeri (STAR) Sabah , Jeffrey Kitingan, berkata penduduk Sabah dan Sarawak semakin marah sebab peruntukan RM1 bilion yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yasin awal tahun ini untuk membina 600 sekolah usang di Sabah dan Sarawak, tidak dimasukkan dalam Bajet 2015.

“Di mana sudah RM1 bilion peruntukan yang dijanjikan untuk memperbaiki sekolah? soalnya.

Kementerian Pelajaran diperuntukkan sebanyak RM 56 bilion dan beberapa lagi peruntukan lain bagi mempertingkatkan pendidikan di Malaysia, kata Jeffrey.

Peruntukan khas itu diberi untuk melaksanakan program-program di semenanjung termasuk bagi Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah dan Penambahbaikan Sekolah, pembesaran 20 sekolah kerajaan di Johor, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta membina 12 bangunan baru sekolah rendah, menengah dan sekolah berasrama, menyebut beberapa program.

Namun, Adun Bingkor ini merungut kerana Sabah dan Sarawak tidak disebut dalam Bajet 2015.

“Bajet itu langsung tidak menyebut pembinaan semula enam sekolah yang terbakar awal tahun ini di Sabah atau peruntukan RM1 bilion seperti yang dijanjikan oleh Muhyiddin,” katanya.

Jeffrey mempersoalkan adakah RM1 bilion yang tidak disebut dalam bajet itu bermaksud yang Perdana Menteri Najib Abdul Razak menipu rakyat Sabah dan Sarawak?

“Atau adakah Najib dan Muhyiddin tidak berbincang di antara satu dengan yang lain hingga peruntukan RM1 bilion tidak disebut atau sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak tidak diberi keutamaan,” soalnya lagi.

Menurutnya, menteri-menteri persekutuan sepatutnya berhenti menipu dan memberi janji-janji kosong ketika melawat Sabah dan Sarawak.

Mereka juga katanya, patut berhenti melayan dua negeri ini sebagai koloni untuk dieksploitasi kekayaannya, kemudian memberi pembangunan yang tidak seberapa.

-fmt

Sunday, November 2, 2014

Pembalakan haram di Sarawak serius

LAWAS: Tumpuan perlu diberi perhatian kepada mempertingkatkan penguatkuasaan untuk membendung kes pembalakan haram di Sarawak, kata Menteri Kedua Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Awang Tengah Ali Hassan.

Oleh itu katanya, agensi-agensi berkaitan sudah diarah untuk mempertingkatkan penguatkuasaan masing-masing, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kerajaan buat masa ini katanya, tidak ada rancangan untuk meminda mana-mana undang-undang sedia ada dalam melaksanakan penalti lebih tinggi terhadap pembalak haram.

“Kami sedar situasi ini sangat membimbangkan tetapi buat masa ini, denda dibawah undang-undang sedia ada adalah mencukupi. Apa yang diperlukan adalah mempertingkat dan menyepadukan program penguatkuasaan untuk menghukum pesalah,” katanya selepas melancarkan program Lawas Bike Week (LBW) di Kampung Punang semalam.

Katanya, Ketua Menteri Adenan Satem menunjukkan iltizam memastikan agensi-agensi penguatkuasaan membanteras operasi pembalakan haram, kegiatan yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada Sarawak.

Ketua Menteri mengumumkan 50 pegawai penguatkuasaan akan dilengkapkan dengan senjata api ketika menjalankan tugas.

Awang Tengah yang juga Adun Bukit Sari menggesa orang ramai membantu membanteras pembalakan haram dengan melaporkan segera kegiatan yang mencurigakan di kawasan mereka kepada pihakberkuasa.

-fmt

Penan mangsa NGO dan politik pembangkang

MIRI: Masyarakat Penan di Baram perlu berhenti dari digunakan pihak pembangkang dan mereka yang menggelar diri mereka sebagai pihak badan bukan kerajaan supaya mereka dapat menikmati hasil pembangunan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Alfred Jabu Numpang berkata masyarakat Penan perlu berdiri teguh dibawah kepimpinan kerajaan yang ditadbir Ketua Menteri, Adenan Satem yang memberi tumpuan terhadap Pembangunan diluar bandar termasuk kawasan yang didiami masyarakat Penan.

“Jika masyarakat Penan terus menyokong pembangkang dan NGO, tiada banyak yang kerajaan dapat lakukan untuk mereka,” katanya dalam suatu kenyataan.

Bagi mereka yang mendapat manfaat dari bantuan kerajaan, Jabu menggesa mereka untuk menghargainya, walaupun diantara mereka ada yang menyokong unsur anti-pembangunan yang hanya tahu mengajar orang untuk menuntut pampasan yang macam-macam.

Jabu berasa kesal terdapat sesetengah orang Penan dikawasan seperti Long Sait, Long Kerong dan Selunggo telah digunakan oleh sesetengah NGO dan parti pembangkang.

-fmt

Saturday, October 25, 2014

Kerusi SPDP tetap dipertahankan

KUCHING: Pengerusi Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) bahagian Tasik Biru Michael Siten berkata bahawa mereka tidak akan memberikan kerusi Tasik Biru kepada mana-mana pihak.

Secara traditional lapan kerusi diperuntukkan kepada SPDP, katanya.

Dalam menunjukkan sokongan kepada SPDP parti tersebut akan mengadakan makan malam di Singai, Bau pada Sabtu dengan menganggarkan 1,000 orang akan menyertai makan malam yang dianjurkan di cawangan Singai dan Adis untuk mempertahankan kerusi Tasik Biru pada pilihan raya negeri yang akan datang.

“Makan malam itu akan membuktikan SPDP masih kuat di Tasik Biru dan kita mempunyai ramai ahli di kawasan Singai. Ia juga menunjukkan tiada kekurangan calon berpotensi dari kawasan Singai untuk mengantikan penyandang sekarang iaitu Peter Nansian,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden interim SPDP Tiong King Sing dan Pemangku Timbalan Presiden Anthony Nogeh dijangkan akan mengulangi pendirian parti semasa makan malam terbabit, kata Michael.

Beliau juga menjangkakan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain akan menghadiri makan malam bersama dengan calon berpotensi untuk kerusi masing masing.

Mengenai tiga calon berpotensi, beliau berkata mereka dikenali pengundi di Tasik Biru dan melakukan kerja lapangan bagi mempersiapkan parti untuk pilihan raya.

Menurut sumber, tiga calon tersebut terdiri dari usahawan, pegawai kerajaan kanan dan peguam dan salah satu dari mereka datang dari Singai.

Kerusi Tasik Biru merupakan kerusi yang sering dibualkan antara pemerhati politik dengan kemungkinan berlakunya ketegangan antara SPDP dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang diterajui oleh mantan pemimpin SPDP.

Teras yang diterajui oleh mantan Presiden SPDP William Mawan Ikom bertegas bahawa Tasik Biru dan tiga kerusi yang lain -Marudi, Batu Danau dan Bekenu sekarang milik kepunyaan parti sejak ia menjadi sebahagian kerajaan ‘BN Plus’.

Peter yang memegang kerusi Tasik Biru sejak 1996, hari ini merupakan Timbalan Presiden Teras. Beliau dengan mudah mempertahankan kerusi pada PRN 2011 dibawah tiket SPDP sebelum dibuang dari parti.

Walaubagaimanapun, SPDP baru-baru ini mengisytiharkan bahawa ia akan mempertahankan lapan kerusi yang diperuntukkan kepada parti.

-fmt

Sunday, October 19, 2014

Beranikah DAP Sarawak tinggalkan PR?

KUCHING : Parti DAP Sarawak menyatakan bahawa pihaknya telah menghentikan semua komunikasi dengan PAS dan PKR bermula semalam, namun terus berada dalam Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Pengerusinya Chong Chieng Jen, jawatankuasa negeri parti itu untuk mengambil keputusan memisahkan diri daripada kegiatan dengan PAS dan PKR sehinggalah kedua-dua parti itu menjelaskan pendirian mereka.

Memetik daripada laporan Bernama, Chong Chieng berkata, DAP Sarawak akan meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya kumpulan ulama PAS yang memperjuangkan hukum hudud menguasai parti itu selepas pemilihan parti pada Jun tahun depan.

“Sekiranya (kumpulan) progresif liberal menguasai (jawatankuasa pusat PAS), maka tiada sebab kami akan keluar,” ujarnya.

Katanya, PKR turut tidak menjelaskan pendirian mereka mengenai pelaksanaan hukum hudud dan keputusan DAP Sarawak itu telah menghantar isyarat jelas kepada rakannya dalam PR agar bersikap jelas mengenai pendirian masing-masing.

“Keputusan untuk keluar (daripada PR) adalah keputusan yang tidak dapat diubah. Sebelum kami mengambil keputusan yang tidak dapat diubah itu, kami perlu bersikap terbuka mengenai pilihan yang ada dan menyatakan pendirian kami secara jelas,” tambahnya.

-fmt

Tuesday, October 7, 2014

Harga petrol RM200 di pedalaman S'wak?

Kerajaan persekutuan patut segera menaikkan royalti minyak dan gas daripada 5 kepada 20 peratus kepada Sarawak bagi mengimbangi kesan kenaikan harga minyak, kata ketua PKR Sarawak Baru Bian.

Di Sarawak, katanya, kenaikan harga minyak memberikan kesan besar, terutamanya di kawasan bandar.

“Kesan domino akibat kenaikan harga petrol berlipat ganda bagi kita, terutamanya di kawasan pedalaman yang pengangkutan menjadi masalah utama,” katanya dalam sidang media semalam.

Baru Bian juga berkata, kerajaan tidak mengambil kisah rakyat bawahan yang kehidupan dan perniagaan mereka bertambah buruk dan kenaikan harga petrol bukan sesuatu yang dapat ditanggung lagi.

Katanya lagi, di pedalaman seperti Long Lelang, kos untuk setangki petrol sudah RM150 pada lima tahun lalu.

“Dengan kenaikan harga petrol, setangki petrol mungkin lebih daripada RM200 sekarang,” katanya.

-mk

Sunday, October 5, 2014

PBB lancarkan perang siber terhadap Pakatan

KUCHING: Populariti media baru seperti Facebook dan Twitter serta blog berunsur politik yang pro-kerajaan mampu menjadi pemangkin usaha Barisan Nasional (BN) meraih sokongan muda pada pilihan raya akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Mohd Razi Sitam berkata golongan muda dilihat lebih mempercayai media baru berbanding konvensional, medium berkenaan diharap dapat membantu kerajaan menangkis tohmahan yang dilempar pembangkang.

Beliau berkata situasi politik hari ini, sangat berbeza kerana parti pembangkang khususnya Democratic Action Party Sarawak (DAP) menggunakan media sosial sebagai sebagai medium menyalurkan fitnah.

“Justeru, kawasan N.30 Saribas merancang menubuhkan sebuah jawatankuasa khas setiap ranting yang bertanggungjawab menangkis setiap tomahan dan fitnah pembangkang yang disebarkan melalui media social,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ranting PBB di alam maya akan terus membuat penerangan mengenai sesuatu isu, sekaligus dapat membantu kerajaan memberi penerangan kepada masyarakat mengenai sesuatu perkara buruk yang cuba ditohmah oleh pembangkang.”

Razi berkata laman sosial terutama Facebook banyak membantu beliau menjalankan tugas dengan lebih berkesan kerana dapat “mendengar” aduan secara terus daripada rakyat, sekaligus dapat menyelesaikan masalah secepat mungkin.

-fmt

Monday, September 8, 2014

Sungai di Sarawak kekeringan

KUCHING: Sungai di Sarawak semakin kering berpunca daripada fenomena El Nino, pembersihan hutan di kawasan tadahan hujan dan impak dari perubahan iklim kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar James Dawos.

Beliau berkata kekurangan hujan berpunca dari El Nino telah memberi kesan terhadap paras air di kebanyakkan sungai di Sarawak.

“Kita sedang di landa El Nino yang membawa kemarau panjang dan kekurangan hujan,” beliau berkata. “Apabila tiada hujan, sudah tentunya paras air sungai akan berkurangan atau kekeringan.”

Pihak kementerian telah menerima laporan status susulan kekeringan sungai di Sarawak:

Paras air di Sungai Baram telah jatuh kepada tahap rendah berbahaya dan menjadi kesulitan untuk perjalanan bot ekpress antara Marudi dan Long Lama. Air dari kawasan sistem tarikan graviti sebagai saluran telah kering.

Paras air di sungai sekitar Lubuk Antu rendah dan air terjun telah menjadi “kering” malah paras air di Empangan Hidro Batang Ai telah menurun.

Lebih daripada 10,000 orang di Saratok mengalami masalah bekalan air. Loji Rawatan Air Nanga Lichok, yang membekalkan air bersih kepada rakyat di Saratok, telah kering.

Pengguna di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching dan Samarahan di Bau, Asajaya dan Puncak Borneo, kini menerima bekalan air daripada Lembaga Air Kuching (KWB) antara jam 8:00 malam sehingga 05:00 pagi. Terdapat aliran sungai yang sangat rendah di dalam kawasan tadahan air Sungai Sarawak Kiri, yang merupakan sumber air mentah utama bagi KWB.

Di Simunjan pula, sumber air mentah di Empangan Pong telah berkurangan dan bekalan air dari Loji Rawatan Air Simunjan telah dikurangkan. Masalah kekurangan air, seperti yang dilaporkan di kawasan-kawasan ini disebabkan oleh sungai-sungai kering kontang.

Dawos berkata ketersediaan dan kualiti air di Sarawak juga terancam dengan penggondolan hutan di kawasan tadahan air.

Kawasan tadahan hutan membekalkan sebahagian besar daripada air untuk keperluan domestik, pertanian, perindustrian dan ekologi di kawasan huluan dan hiliran, katanya.

Dawos menjelaskan bahawa penebangan hutan menganggu kitaran air yang merupakan bahagian penting untuk mengekalkan sumber air di negeri ini.

-FMT

Wednesday, August 27, 2014

Sarawak tuntut royalti minyak lebih besar

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata bayaran royalti lima peratus yang diterima negeri itu dari hasil minyak dan gas sejak 39 tahun lalu tidak memadai untuk membangunkan negeri berkenaan.



"Kami tidak berpuas hati dengan lima peratus. Kami mahu royalti lebih tinggi untuk menjana pembangunan negeri bawah Rancangan Malaysia ke-12,” katanya dalam satu majlis sambutan Hari Raya di Sebuyau semalam.

Tambahnya: "Negeri ini patut mengambil bahagian dengan agresif dalam industri minyak dan gas. Kita tidak boleh hanya memandang sahaja di sisi.

"Kerajaan negeri masih berbincang dengan kerajaan persekutuan untuk meningkatkan royalti minyak dan gas,” katanya lagi.

Walau perairan Sarawak banyak menyumbang hasil minyak dan gas, negeri tersebut masih kekal sebagai salah satu daripada negeri paling miskin dalam Persekutuan Malaysia, katanya.

Pembangunan prasarana di negeri itu kini di tahap 10 hingga 20 tahun lebih mundur dari pembangunan di Malaysia Barat, katanya.

“Saya mahu agihan lebih besar untuk Sarawak dan saya tidak mahu melihat sahaja apabila sumber kita dieksploitasi,” kata Adenan.

Kenyataannya itu timbul susulan kritikan keras dari PKR dan DAP negeri atas tindakan kerajaan negeri menerima tawaran equiti 10 peratus oleh Petronas dalam rundingan Malaysian Liquefied Natural Gas 4 (MLNG 4). -mk

Monday, June 23, 2014

ADUN DAP Bukit Assek meninggal dunia

Seorang ADUN Sarawak, Wong Ho Leng, meninggal dunia malam tadi selepas bertarung dengan penyakit barah otak selama lebih setahun.

ADUN DAP Bukit Assek itu meninggal dunia di Sibu sekitar jam 11 malam tadi dan meninggalkan lima orang anak.

Wong, 54, berada dalam keadaan koma sejak Februari tahun ini dan menerima rawatan di Singapura.

Barah yang menyerang bahagian otak itu dikesan sejak tahun 2012.

Wong mendapat perhatian ramai sebelum ini selepas merampas kerusi parlimen Sibu dari BN dalam pilihan raya kecil tahun 2010.

Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 apabila barah itu dikesan.

Bagaimanapun, beliau kekal sebagai ADUN Bukit Assek yang dimenanginya dalam pilihan raya tahun 2011.

Sarawak adalah satu-satunya negeri yang pilihan raya negerinya tidak serentak dengan pilihan raya melibatkan kerusi parlimen.

Pemergian Wong itu hanya sehari selepas persidangan DUN Sarawak genap tiga tahun, yang dikira sejak hari pertama persidangan pada 20 Jun 2011.

Pilihan raya kecil tidak perlu adakan selepas tempoh tiga tahun tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, melalui laman twitter beliau, mengucapkan takziah kepada keluarga Wong. -MK

Tuesday, April 1, 2014

KEAZAMAN DI PERSADA BORNEO

SAYA bukan orang politik. Saya juga bukan pemidato terbaik tentang konsep agung mendalam nasionalisme dan masyarakat manusia. Tetapi, andai kata seluruh 1.67 juta penduduk asal North Borneo (Sabahan) berkumpul di suatu dataran yang luas, dan saya diminta untuk memberikan pidato umum, nescaya saya akan menyampaikan suatu paradigma tentang apa itu ‘kebangsatan siulan ketuanan sialan’ yang berhubung dengan serangan paling kejam Malaya kotor terhadap ‘tradisi budaya dan warisan bangsa’ leluhur darah Sabahan.

Perlu ditegaskan, bahawa titik permulaan dari pengembaraan kehidupan muram yang suram warisan bangsa Sabahan dapat ditemui, iaitu semenjak pemecahan pemimpin pendiri negara Sabah dalam erti kata Parti Berjaya pimpinan arwah Tun Fuad Stephens, yang juga merupakan parti politik, yang menjadi proksi kepada Malaya kotor, dapat menggulingkan Parti Usno pimpinan arwah Tun Mustapha Harun pada tahun 1976, dan semenjak dari hari itulah warisan bangsa Sabahan terus diselimuti kebodohan dan diikat oleh kehambaan kepada ketuanan Malaya kotor.

Sesungguhnya, hanya jika kebodohan dan kehambaan kepada Malaya kotor dapat diputuskan, maka arus pengembaraan kehidupan muram yang suram warisan bangsa Sabahan kemungkinan akan berhenti dan berakhir. Kalau tidak, nescaya seluruh generasi warisan bangsa Sabahan di masa yang akan datang, bukan sahaja akan terus dijerut kehidupan dalam kemiskinan yang mengerikan, bahkan bakal menuai badai pemusnahan besar-besaran terhadap tradisi budaya dan warisan bangsa yang menjadi memori leluhur masa silam Sabahan.

Dengan kata lain, segala kuasa politik dan segala hak ekonomi negara Sabah selamanya akan menjadi milik mutlak orang-orang asing yang dicipta menjadi melayu baru, iaitu dari kalangan orang-orang asing pelbagai bangsa; pelbagai negara; dan pelbagai bahasa yang mendadak dijadikan penduduk negara Sabah, angkara IC Projek longkang Malaya kotor. Sesungguhnya, ia begitu amat menyedihkan kerana warisan bangsa Sabahan sedang dalam posisi yang kalah untuk dihapuskan.

2. Aspirasi Asal Penubuhan Malaysia

Pemusnahan memori leluhur Sabahan diadun dengan seribu juta ungkapan malang, lantaran terdapat Sabahan sendiri yang menekankan perkataan “tiada bukti Sabah sebuah negara” kononnya, dan yang lebih parah lagi, adalah Sabahan sendiri yang tidak mahu mengakui kedaulatan Perjanjian 20 Perkara (20P) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai asas pertama kepada kewujudan Malaysia, yang juga menunjukkan bahawa mereka telah gagal untuk memahami empat aspirasi asal, iaitu matlamat besar penubuhan Malaysia, sebagaimana yang dinyatakan oleh Suruhanjaya Cobbold:

1. Bergabung untuk menyekat pengaruh komunis;
2. Bergabung untuk mengimbangi jumlah penduduk;
3. Bergabung untuk meningkatkan kemajuan ekonomi; dan
4. Bergabung untuk mempercepat kemerdekaan Borneo.

Dengan ungkapan lain, bahawa mereka yang tidak mahu mendaulatkan 20P dan MA63, adalah mereka yang tidak berhak untuk memanggil diri mereka sebagai warganegara Sabah dalam Malaysia; sebagai warganegara Sarawak dalam Malaysia; dan sebagai warganegara Malaya dalam Malaysia, yang dibentuk bersama pada 16 September 1963. Oleh itu, hanya Sabahan; hanya Sarawakian; dan hanya Malayan yang serius dan dedikasi dalam usaha mendaulatkan 20P dan MA63 yang layak memanggil diri mereka sebagai Malaysian society.

Sesungguhnya, perbuatan Sabahan sendiri yang enggan mengakui kedaulatan 20P dan MA63, yang percaya kepada doktrin Malaya kotor, yang kononnya Malaysia itu merdeka pada 31 Ogos 1957, dan lagi kononnya Sabah Sarawak hanya masuk Malaysia untuk menjadi negeri dan wilayah Malaya kotor yang ke-12 dan ke-13 atas nama Malaysia pada 16 September 1963, secara benarnya Sabahan dan Sarawakian yang semacam itu tidak mampu memahami erti tepat konsep nasionalisme dan patriotisme Borneo yang sejati dan murni.

3. Konsep Nasionalisme dan Patriotisme Borneo

Betapa pengamal politik Sabah dan Sarawak sebenarnya telah gagal untuk memahami, bahawa untuk menjadi nasionalis yang sejati dan murni mestilah melihat masalah penduduk asal Borneo secara terbuka dan jelas dengan kaca mata keazaman patriotisme, iaitu nasionalisme mesti menang untuk melindungi ruang hidup setiap penduduk asal negara Sabah dan negara Sarawak dari pencerobohan kuasa luar.

Justeru, tatkala nasionalisme berfungsi untuk melindungi penduduk asal Borneo dari pencerobohan kuasa luar, maka keazaman patriotisme adalah untuk memenuhi keperluan dalaman penduduk asal Borneo, agar bersatu ke dalam blok yang kuat. Dengan kata lain, setiap warganegara Borneo mestilah mempunyai erti kata, bahawa kewujudannya sendiri berakar umbi dari dalam kewujudan leluhurnya.

Yang demikian, setiap darah Sabahan dan darah Sarawakian mesti bertindak sekarang, bertindak dalam erti kata berjuang dengan jujur, berani dan bijaksana untuk mempertahankan kelangsungan tradisi budaya dan warisan bangsa leluhurnya, untuk mempastikan khazanah leluhurnya dapat dihantar kepada generasi yang akan datang dengan selamat.

Sesungguhnya warga Borneo, iaitu Sabahan dan Sarawakian tidak wajar dibahagikan kepada kebencian dan permusuhan yang malang hanya untuk dimelayukan. Di sinilah peranan konsep nasionalisme dan patriotisme berdiri menentang, iaitu konsep nasionalisme dalam pandangan dunia warga leluhur Borneo mesti dibangun semula dengan tepat.

Dengan ungkapan lain, setiap pergerakan Sabahan dan Sarawakian mesti merampas semula konsep patriotisme demi leluhur Borneo dan bukannya demi ketuanan melayu, di samping mengoyakkan dan seterusnya membuang konsep nasionalisme atas nama melayu baru ciptaan busuk Malaya kotor ke dalam longkang kangkong mereka.

Tegasnya, membuang kedua-duanya ke dalam longkang kangkong Malaya kotor dan menggantikannya dengan pandangan dunia warga leluhur Borneo untuk menghasilkan sintesis yang jelas, iaitu patriotisme Borneo yang amanah dan bijaksana dalam menyediakan asas bagi pembinaan semula jati diri tradisi budaya dan warisan bangsa Borneo yang sejati dan murni.

Yang demikian, konsep nasionalisme dan patriotisme sejati dan murni Borneo ini mesti dikembangkan dari sayap-sayap kesedaran Sabahan dan Sarawakian sendiri. Idea ini bertujuan untuk menamatkan pemecahan dan menjalinkan semula perpaduan yang mantap di kalangan Sabahan dan Sarawakian, lantaran zahirnya merdeka, tetapi kedaulatan sebenarnya tiada, kemerdekaan yang sedia ada hanya di atas kertas yang telah disembunyikan puluhan tahun untuk tidak disejarahkan.

Justeru, kedaulatan kemerdekaan Sabah dan Sarawak telah terbelah dengan pendarahan dari seribu luka. Dengan kata lain, martabat kedaulatan kemerdekaan Sabah dan Sarawak sedang dibelasah oleh penipuan dan pembohongan regim Malaya kotor ratusan kali, ribuan kali dan puluhan ribu kali. Namun begitu, pengamal politik Sabah dan Sarawak pasca arwah Tun Mustapha dan mendiang Tan Sri Stephen Kalong Ningkan hanya hebat melaungkan ungkapan bersyukur kepada Malaya kotor yang menjelma dengan muka temboknya kerana berasimilasi menjadi Malaysia.

4. Setiap Sabahan Dan Sarawakian Mesti Bangkit

Malaya kotor yang merdeka pada 31 Ogos 1957 sering mendendangkan lagu paling sumbang di dunia, yang kononnya Sabah dan Sarawak patut bersyukur kepadanya, kerana kononnya dirinya telah melindungi dan menyelamatkan Sabah dan Sarawak dari penjajahan British, Filipina atau Indonesia melalui penubuhan Malaysia. Lantaran itu, kerajaan Malaya kotor yang bertindak sesuka hati atas nama Malaysia, dengan muka temboknya terus merompak dan merampas segala hasil kekayaan negara Sabah dan negara Sarawak sehingga kedua-keduanya jatuh termiskin dalam Malaysia.

Pada hal, aspirasi asal pembentukan Malaysia terang-terang bermaksud Sabah dan Sarawak yang melindungi dan menyelamatkan kuasa politik Malaya kotor dari rempuhan kaum. Tetapi, Malaya yang dengan muka temboknya telah membalas pengorbanan Sabah dan Sarawak terhadapnya dengan rompakan dan bebanan kemiskinan. Sungguh-sungguhlah Malaya tiada maruah dan amat tidak mengenang budi di atas segala jasa dan pertolongan Sabah dan Sarawak terhadapnya. Berapa kali Sabah dan Sarawak perlu melindungi dan menyelamatkan Malaya kotor?

Menurut bancian di Malaya dan Singapura pada tahun 1960, kedudukan kaum di Malaya dan Singapura memang tidak seimbang. Sebab faktanya jelas, iaitu Melayu Malaya 3.460 juta, ditambah dengan Melayu Singapura 232 ribu, sama dengan 3.6 juta. Sedangkan Cina Malaya 2.552 juta, ditambah dengan Cina Singapura 1.253 juta, sama dengan 3.8 juta. Kalau begitu, sah Melayu Malaya tenggelam. Oleh yang demikian, Malaya datang mengemis dan menyembah Borneo untuk mencapai keseimbangan kaum dalam konteks penubuhan Malaysia.

Tetapi, sekarang Malaya kotor terang-terang telah mengkhianati harapan indah negara Sabah dengan cara mengubah penduduk negara Sabah melalui Program Durian Burok (IC Projek) mereka kepada pendatang haram. Justeru, pada dasarnya Sabahan sebenarnya sudah terlalu lambat bangun untuk menyedari kebangsatan regim Malaya kotor terhadap dirinya. Lantaran itu, dosa-dosa regim Malaya kotor terhadap leluhur dan generasi Sabahan yang akan datang memang tidak akan dapat dimaafkan.

Mengapa begitu? Sebab, pada tahun 1970 penduduk Sabah hanya 648 ribu, manakala Sarawak pula 976 ribu. Menurut Dr. Haji Abdul Rahman Hasan (Chief Statistician, Malaysia) pada Disember 2012, penduduk Sabah berjumlah 3.371 juta, sedangkan Sarawak hanya 2.545 juta. Pada hal, jika pecutan peningkatan penduduk Sabah seimbang dengan pecutan peningkatan penduduk Sarawak dalam erti kata tanpa IC Projek Malaya kotor, maka penduduk Sabah yang sepatutnya hanya 1.671 juta.

Maksudnya, seramai 1.7 juta penduduk di Sabah sekarang ini sebenarnya adalah warga IC Projek regim Malaya kotor. Mana patut regim Malaya kotor buat Sabah begitu? Oleh itu, seluruh Sabahan baru mesti bangkit menyanggah kewajaran kaitan pemberian IC Projek kepada pendatang haram itu dengan aspirasi asal penubuhan Malaysia. Dengan kata lain, pemberian IC Projek itu untuk apa?; pemberian IC Projek itu untuk seimbangkan apa?; dan pemberian IC Projek itu untuk faedah siapa?

Sesungguhnya kebangsatan siulan ketuanan sialan Malaya kotor dalam menipu, membohongi dan mengkhianati segala pengorbanan dan pertolongan Sabah Sarawak terhadapnya telah memusnahkan segala-galanya; telah merosakkan segala-galanya; telah mengakibatkan Sabah dan Sarawak kehilangan daulat kemerdekaannya; dan telah mengakibatkan nasib Sabah dan Sarawak, khususnya Sabahan terlalu muram, terlalu suram dan terlalu tragis.

Yang demikian, negara Sabah dan negara Sarawak dalam erti kata Sabahan dan Sarawakian amat merindukan kehadiran sebuah kesedaran baru membelah awan, memancarkan cahaya matahari bersinar untuk melihat sesuatu yang indah, agar ada kegembiraan baru dalam harapan baru perpaduan untuk Sabahan dan Sarawakian menjadi kekal.

Tegasnya, Sabahan dan Sarawakian mesti hidup, Sabahan dan Sarawakian akan hidup, akan tetapi hanya jika Sabahan dan Sarawakian mahu, hanya jika Sabahan dan Sarawakian percaya bahawa ia adalah perlu, hanya jika Sabahan dan Sarawakian percaya, bahawa tradisi budaya dan warisan bangsa leluhurnya perlu dijaga dan dipertahankan untuk dihantar kepada generasi yang akan datang dengan selamat.

Sesungguhnya keazaman ini akan memberikan Sabahan dan Sarawakian kekuatan baru untuk hidup, agar maruah Borneo Nations tidak dibawa ke lutut ketuanan Malaya kotor dalam topeng-topeng paling hodoh atas jenama Malaysia.

RAKYAT BERSATU BORNEO MENUJU MOMENTUM PATRIOT BORNEO!
- Naspazi (27/3/2014)

Monday, March 17, 2014

PKR lawan BN di Balingian

Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Balingian Shafrie Saili mengumumkan bekas Pegawai Daerah Dalat Yussibnosh Balo sebagai calon BN dan ahli perniagaan Abdul Jalil Bujang sebagai calon PKR.

Pengumuman dibuat kira-kira 10.16 pagi selepas proses penamaan calon tamat di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra di sini Isnin.

Shafrie berkata kertas pencalonan Yussibnosh, 48, diterima pada 9.03 pagi sementara kertas pencalonan Abdul Jalil, 55, pada 9.14 pagi.

Abdul Jalil (tengah), diapit Baru Bian dan Azmin Ali ketika diumumkan sebagai calon PKR dalam PRK Balingian.

Pencalonan Yussibnosh dicadang oleh Ardiman Matan @ Henry dan disokong Fauziah Adeni sementara Abdul Jalil dicadang oleh Matek Geram @ Matek Maxi dan disokong oleh Basri Bahari, katanya.

PRK DUN Balingian diadakan selepas dikosongkan penyandangnya Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga telah bersara sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Feb lepas.

Pengundian PRK Balingian ditetapkan 29 Mac ini.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau berpuas hati dengan kelancaran keseluruhan proses penamaan calon hari ini.

Menurutnya kelancaran proses penamaan calon itu merupakan antara yang terbaik pernah dijalankan di negara ini dan yakin keadaan itu akan berterusan semasa tempoh berkempen dan pada hari pengundian.

"Tidak ada apa-apa perkara luar biasa yang berlaku dan penyokong-penyokong kedua-dua belah pihak masing-masingnya telah menunjukkan mereka menghormati cara hidup dan nilai-nilai masyarakat setempat," katanya kepada pemberita.

Abdul Aziz berkata SPR akan turut menggerakkan tiga pasukan petugas untuk memantau aktiviti berkempen kedua-dua calon yang bertanding.

DUN Balingian yang terletak di kawasan tengah Sarawak mempunyai 13,366 pemilih berdaftar dengan majoriti daripada mereka berketurunan Melanau. - Bernama

Friday, February 28, 2014

NGO dedahkan Taib Mahmud terlibat perjanjian perniagaan RM6.6 juta

Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendedahkan penglibatan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud bersama anaknya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, dalam satu perjanjian perniagaan bernilai RM6.6 juta (AS$2 juta) dengan sebuah syarikat berpengkalan di Jerman.

Tekanan kepada Taib supaya tidak dilantik sebagai TYT semakin ketara dengan pendedahan pelbagai pihak berkenaan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sepanjang tempoh pemerintahannya sebagai ketua menteri Sarawak. - Gambar The Malaysia Insider.

Pembongkaran perjanjian tersebut didedahkan hari ini oleh dua NGO, Global Witness dan Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) dua hari sebelum Taib dijangka mengambil alih jawatan Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sarawak daripada Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang akan bersara 28 Februari ini.

Taib dan anaknya, Abu Bekir, terlibat dalam perjanjian lumayan dengan syarikat pengurusan sisa Trienekens dengan kerajaan Sarawak pada 1998. Syarikat berpengkalan di Jerman itu juga sebelum ini pernah terlibat dalam kes rasuah pada 1999.

"Trienekens menjalankan kerjasama dengan syarikat tempatan, Sarawak Capital, yang dimiliki anak Taib Mahmud untuk memberikan 'khidmat nasihat' bernilai RM6.6 juta sebagai sebahagian daripada perjanjian," kata NGO tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Global Witness, penglibatan anak Taib tersebut mempunyai konflik kepentingan.

"Secara faktanya, nilai besar yang dibayar kepada syarikat anak Taib sebagai sebahagian daripada perjanjian kelihatan mempunyai konflik berkepentingan," kata Cynthia Gabriel pada sidang media petang ini.

  Cynthia Gabriel dari NGO Global Witness dan Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) ketika sidang media di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 27 Februari, 2014. Cynthia Gabriel dari NGO Global Witness dan Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) ketika sidang media di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 27 Februari, 2014. Cynthia Gabriel dari NGO Global Witness dan Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) ketika sidang media di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 27 Februari, 2014.

NGO tersebut mendakwa anak Taib juga turut bersama menandatangani perjanjian persefahaman yang dimerterai antara Sarawak Wastes Management Sdn Bhd sebagai wakil kerajaan Sarawak dengan syarikat Jerman tersebut.

"Ia masih tidak jelas mengapa anak Ketua Menteri Sarawak perlu menjadi saksi dalam perjanjian bernilai besar tersebut antara kerajaan negeri dan firma antarabangsa," katanya lagi.

Global Witness mendakwa pakar perundangannya mendapati perjanjian dengan syarikat milik anak Taib, Sarawak Capital, hanyalah sebuah "perjanjian".

Syarikat milik anak Taib tersebut didakwa tidak terikat dalam kewajipan kontrak dalam "skop kerjanya".

"Pada pandangan kami, perjanjian ini menunjukkan wujudnya sogokan tersembunyi; tidak kelihatan Sarawak Capital membuat sesuatu ke atas wang mereka peroleh dan tidak munasabah mempunyai nilai komersil," kata Gabriel.

Trienekens dan Sarawak Capital bagaimanapun masih belum memberi jawapan kepada Global Witness walaupun sudah dihubungi NGO tersebut.

Namun, firma guaman di London, Mishcon de Reya yang mewakili Taib menafikan anak guamnya terlibat dalam "perjanjian palsu" selepas maklum balas dihantar oleh Global Witness.

"Perjanjian yang anda rujuk bukan 'perjanjian', juga bukan sogokan sama ada tersembunyi atau sebaliknya," kata firma guaman tersebut.

Bagaimanapun, Global Witness melahirkan kesangsian ke atas perjanjian tersebut memandangkan CEO Trienekens Hellmut Trienekens pernah didapati bersalah terlibat dalam rasuah bernilai jutaan euro kepada pegawai tempatan menerusi Switzerland untuk membina sebuah insinerator sisa di Cologne, Jerman.

Susulan perkembangan terbaru di mana Taib kemungkinan dilantik sebagai TYT Sarawak, Gabriel yang merupakan pengerusi C4, mendesak Putrajaya menyiasat pendedahan terbaru ini.

"Kes ini melibatkan kepentingan awam yang perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," kata Gabriel yang mendesak SPRM supaya campur tangan dan menyiasat Taib.

"Kami desak pentadbiran Najib menangguhkan pelantikan Taib Mahmud sebagai TYT sehingga perkara ini selesai diteliti."

Tekanan kepada Taib supaya tidak dilantik sebagai TYT semakin ketara, minggu lalu sekumpulan 50 NGO melancarkan petisyen dalam usaha menghalang pelantikan ketua menteri Sarawak yang didakwa mereka seorang perasuah dan menyalahgunakan kuasa sepanjang 33 tahun pemerintahannya.

Satu kajian oleh Bruno Manser Fund (BMF) mendedahkan harta Taib mencecah AS$15 bilion (RM46 billion) dan 20 ahli keluarganya mengumpul harta hampir AS$21 bilion (RM64 bilion).

Pada 16 Februari lalu, BMF yang berpengkalan di Switzerland juga membuat laporan polis ke atas keluarga Taib atas dakwaan penyeludupan balak haram di Kanada, malah PAS juga menggesa SPRM membuka kertas siasatan ke atas ketua menteri tersebut.

BMF berkata, satu laporan polis dibuat kepada Royal Canadian Mounted Police, berdasarkan "bukti baru" yang mendapati wujud kaitan kewangan antara Richfold Investments di Hong Kong dengan Sakto Development Corporation di Ottawa, Kanada.

Sakto Development Corporation adalah sebuah syarikat pemaju jutaan ringgit yang dimiliki oleh anak perempuan Taib, Jamilah Taib Murray. – TMI

Tuesday, February 18, 2014

NGO lancar petisyen sekat Taib Mahmud dilantik TYT

Sekumpulan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama empat parti politik menentang pelantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) sebagai Yang Dipertua Negeri (TYT) Sarawak, menyifatkannya sebagai satu "malapetaka".

Kumpulan tersebut melancarkan petisyen dalam usaha menghalang pelantikan ketua menteri Sarawak yang didakwa mereka seorang perasuah dan menyalahgunakan kuasa sepanjang 33 tahun pemerintahannya.

"Beliau telah mengeksploitasi sumber asli Sarawak secara besar-besaran untuk kepentingan dirinya," kata NGO tersebut.

"Sarawak dikatakan memiliki hutan terluas di Asia tetapi 90% hutannya hilang kerana pembalakkan haram."

Kumpulan tersebut juga membidas pentadbiran Taib yang berbelanja besar dalam projek empangan dan pembinaan tetapi Sarawak masih lagi ketinggalan dari segi ekonomi dan merosakkan alam semula jadi negeri tersebut.

"Ironinya, Sarawak masih kekal negeri termiskin di Malaysia walaupun kaya alam semula jadi," kata NGO tersebut yang menuduh Taib memunggut kekayaan daripada hasil alam semula jadi Sarawak.

Satu kajian oleh Bruno Manser Fund (BMF) mendedahkan harta Taib mencecah AS$15 bilion (RM46 billion) dan 20 ahli keluarganya mengumpul harta hampir AS$21 billion (RM64 bilion).

Siasatan oleh NGO antarabangsa, Global Witness juga mendedahkan penglibatan Taib dalam rasuah, rampasan tanah dan mengelak cukai.

"Beliau didakwa melakukan kesalahan ini menerusi cengkaman kuku besinya dalam lesen pembalakan dan ladang kelapa sawit di Sarawak," kata NGO tersebut, di samping mendakwa ketua menteri itu bertanggungjawab dalam beberapa sisi pelanggaran hak asasi manusia.

"Hak asasi dan politik diketepikan dan dipinggirkam, kebebasan media terhad dan rasuah pilihan raya berlaku secara terbuka," dakwa NGO itu lagi.

Menurut kumpulan itu lagi, jawatan TYT adalah simbol perpaduan segenap masyarakat Sarawak dan Taib yang terpalit dengan skandal tidak layan diberikan jawatan tersebut.

"Jelas, Taib mengakibatkan kesengsaraan dan penderitaan rakyat Sarawak dan tidak layak diberikan jawatan tersebut," kata NGO itu lagi.

Terdapat juga kebimbangan Taib akan mengukuhkan dinasti politiknya di Sarawak dan mengukuhkan cengkaman pada masa depan jika beliau dilantik TYT.

Kumpulan tersebut juga tidak menolak bakal ketua menteri, Tan Sri Adenan Satem, yang juga bekas adik iparnya akan melindungi Taib daripada siasatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang mentadbir Sarawak.

Antara NGO yang membantah pelantikan Taib tersebut termasuklah Bersih Sibu, Save Malaysia Stop Lynas, Saya Anak Bangsa Malaysia, Solidariti Anak Muda Malaysia, Suaram dan National Indian Rights Action Team, manakala parti politik yang membantah terdiri daripada DAP Socialist Youth, Angkatan Muda Keadilan dan Pemuda PAS.

Peletakan jawatan Taib berkuatkuasa pada 28 Februari ini dan Adenan akan mengambil alih bermula 1 Mac nanti.

Taib juga pada masa sama meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balingian dan spekulasi mengatakan beliau akan dilantik sebagai TYT.

Semalam, BMF yang berpengkalan di Switzerland membuat laporan polis ke atas keluarga Taib atas dakwaan penyeludupan balak haram di Kanada, malah PAS juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membuka kertas siasatan ke atas ketua menteri tersebut.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar turut mendesak SPRM supaya mendedahkan siasatan tersebut.

BMF berkata satu laporan polis telah dibuat kepadan Royal Canadian Mounted Police (RCMP), berdasarkan "bukti baru" yang mendapati wujud kaitan kewangan antara Richfold Investments Ltd di Hong Kong dengan Sakto Development Corporation di Ottawa, Kanada.

Sakto Development Corporation merupakan sebuah syarikat pemaju jutaan ringgit yang dimiliki oleh anak perempuan Taib, Jamilah Taib Murray. -TMI

Sunday, February 16, 2014

Potensi cerah Pakatan Sarawak selepas Taib?

Pengunduran Tan Sri Taib Mahmud daripada kedudukan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang dipegangnya selama 33 tahun mencetuskan isu politik dalaman negeri ini, berhubung penggantinya dan pengaruh Taib selepas ini. Kedudukan Taib yang sangat lama sebagai ketua menteri mengukuhkan kedudukan beliau dan sekutu politik dan ekonominya, pada satu tahap yang hanya dapat diperhatikan di Sarawak.

Pemimpin selepas Taib dijangka tidak akan dapat mengatasi malah menyaingi pengaruhnya sebagai ketua menteri, dan kemungkinan akan terus dibayangi Taib dalam politik dan pentadbiran negeri Sarawak.

Malah, mungkin ada yang melihat kepentingan Taib masih kuat dalam usaha memastikan kestabilan di Sarawak, dan untuk mengelakkan persaingan kuasa yang boleh menjejaskan PBB dan BN.

Pengaruh yang telah lama dibina bermakna penguasaan Taib dan sekutu yang kukuh dalam pelbagai ruang, dalam tempoh yang suasana politiknya jauh berbeza dengan sekarang dari sudut penguasaan parti pemerintah dominan.

Hari ini, selain pengganti yang tidak dapat menyamai kepimpinan Taib, suasana politik yang baharu menyaksikan parti-parti pembangkang termasuk daripada Pakatan Rakyat semakin mengukuhkan kedudukan di negeri ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri Ke- 10 pada April 2011, BN memenangi 55 kerusi Dun, daripada 71 kerusi, merosot daripada 62 kerusi dalam pilihan raya negeri sebelum itu.

Pilihan Raya Umum Ke-13 pada Mac tahun lalu pula menyaksikan BN menang 25 kerusi Parlimen daripada 31 kerusi, berbanding 30 dimenangi pada PRU2008.

Ini bermakna landskap politik Sarawak telah banyak berubah, malah KeADILan pada 2011 berkempen dengan menjanjikan pelantikan pemimpin parti itu, Baru Bian sebagai ketua menteri jika Pakatan menguasai Sarawak.

Pada tahun-tahun akhir Taib sebagai ketua menteri, kempen untuk menjatuhkan beliau juga berjalan dengan rancak dari dalam dan luar negara, meningkatkan lagi tekanan ke atas Taib dan negeri kubu kuat BN itu.

Tetapi selepas dua pilihan raya itu, Sarawak kekal sebagai kubu kuat BN walaupun dengan kekuatan yang merosot, dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB, yang bersifat Bumiputera Muslim kekal dominan dalam BN di Sarawak, dan bersama dengan Umno menjadikan BN hanya dikuasai parti Melayu.

Pilihan raya 2011 mencatat rekod terbaharu Taib berjaya mempertahankan penguasaan BN di Sarawak, pada masa banyak pihak bercakap tentang keperluan peralihan kepimpinan negeri Sarawak.

Perkembangan itu menunjukkan satu perubahan besar yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini; peningkatan kepentingan Sarawak dalam politik nasional, terutama kepada partiparti politik dominan yang asas kuasanya terletak di Semenanjung.

Menyedari kekuatan undi di Sarawak, Pakatan menjadikan negeri ini sebagai sasaran perubahan besar-besaran untuk mengubah imbangan kuasa BN-Pakatan, terutamanya memandang kan Sarawak memegang 31 kerusi Parlimen.

Sarawak dan juga Sabah mula menjadi perhatian khusus partiparti pembangkang, terutama Pakatan dan parti Kita untuk merebut bahagian lebih besar hasil pilihan raya, dengan tawar-menawar yang semakin seimbang.

Selama ini, Sarawak dan Sabah kelihatan sekadar dipergunakan untuk kepentingan agenda-agenda yang sering tidak sehaluan dan tidak meletakkan kepenti ngan rakyat dua negeri itu sebagai matlamat utama.

Tetapi, berbeza dengan Sabah, Sarawak terus dikuasai PBB sedangkan Sabah menjadi salah satu medan utama Umno dan mempunyai kedudukan istimewa dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Sarawak mahu mengekalkan kepentingannya, dan bukan sekadar menjadi sumber undi mudah kepada BN tanpa pulangan yang sewajarnya.

Perkembangan ini menunjukkan pengaruh PBB yang semakin kritikal kepada BN, yang masih mampu mempertahankan negeri bank undi gabungan parti pemerintah.

Hal ini menjadikan PBB menyedari kekuatannya dan dapat dijangka tidak akan dengan mudah mahu mengorbankan kedudukan dominan ini, kedudukan yang semakin jelas pada masa BN semakin tercabar oleh Pakatan. -Detikdaily

Tan Sri Taib akan jadi Maharaja Sarawak

TS Taib Mahmud (TSTM) masih Ketua Menteri de facto Sarawak kerana beliau telah memilih TS Adenan Satem sebagai pengganti beliau. Adenan merupakan bekas adik iparnya dan perlantikan TS Adnan itu sememangnya telah dijangkakan.

Pesanan beliau (TSTM) supaya menjaga Sarawak ‘at all cost’ kepada kepimpinan BN di Sarawak sudah mendekatkan kenyataan yang orang yang akan terlantik ialah Adenan Satem.

Abang Johari sememangnya dianggap sebagai sorang yang 'UMNO friendly' dan secara automtik tidak menjadi pilihan TS Taib untuk menggantikan beliau.

Buat beberapa ketika yang agak lama lagi Taib boleh dikatakan masih Ketua Menteri sambil duduk di Istana sebagai TYT Sarawak. Perlantikan Adenan itu samalah sebagai melantik dirinya sendiri kerana Adenan merupakan seorang yang sangat setia kepada bekas abang iparnya itu. Malahan TSTM lebih kuat kedudukkannya dari semalam dan begitulah licik atau cerdiknya orang lama PBB ini. Kalau selama ini beliau adalah seorang Ketua Menteri dan ahli politik, bermula pada penghujung bulan ini beliau akan menjadi Maharaja sarawak sebaik sahaja beliau masuk ke Asatana Governor sarawak itu.

Sekarang kita boleh menjangkakan yang Sarawak akan berada dalam keadaan seperti biasa dan ‘business as usual’. Sarawak akan tetap sebagai sebuah Ahli Persekutuan yang ‘exclusive’ dan tidak mungkin pengaruh Persekutuan akan meresap setidak-tidaknya dalam jangka yang agak lama. TSTM akan terus berpengaruh seperti yang diidamkan oleh Dr Mahathir kepada kerajaan Persekutuan yang pernah beliau ketuai dahulu sebegitu lama.

Ada tuduhan yang mengatakan Taib memilih Adenan kerana beliaulah yang terlemah dikalangan tiga orang yang menjadi ‘forerunner’ kepada jawatan Ketua Menteri itu. Tetapi bukan kah itu sudah menjadi budaya politik di negara ini. Dr Mahathir tidak mahu sesiapa yang berpengaruh untuk menggantikan beliau kerana beliau masih mahu merasakan sebagai orang penting sesudah bersara.

Itu sebabnya kita selalu terdengar Mahathir dan Daim bercakap sebagai seorang ahli politik yang bergiat kerana sebenarnya kumpulan inilah yang seronok menjadi Perdana Menteri dari belakang tabir. Abdullah Badawi tidak akan menerima nasib yang beliau lalui jika beliau mahu menjadi ‘puppet Prime Minister’ dahulu. Tetapi oleh kerana beliau tidak mahu menjadi ‘puppet’ dan mahu menjadi seorang PM yang sebenarnya, ditambah pula dengan kelemahan beliau sendiri maka ia amat mudah untuk di tolak oleh Dr Mahathir.

Kita masih ingat bagaimana Muhyiddin digunakan sebagai 'parang bengkok untuk menebas dan mencantas' politik Abdullah dahulu. Ke kiri Muhyiddin dihayun ke kirilah Muhyiddin menebas. Begitu jugalah sebaliknya. Yang menghayun parang bengkok (Muhyidin ) itu ialah Dr Mahathir. Akhirnya tersungkur dan tergolek Abdullah Badawi maka Najib pun menjadi Perdana Menteri sebagai pengganti. Si parang panjang bengkok tadi dapat juga upah dan jadi Timbalan Perdana Menteri.

Semasa mula-mula menjadi Perdana Menteri dahulu orang yang beliau takuti semasa itu ialah Tengku Razaleigh dan beliau tidak membenarkan pengaruh TR bercambah, maka dijadikan Musa sebagai parang panjang bengkok untuk menebas TR. Akhirnya parang bengkok itu sendiri ditakuti beliau maka patah pula parang bengkok (Musa) dan kali ini digantikan dengan ‘tok unggun’ yang kita kenal Abdul Ghaffar Baba sementara mencari parang panjang bengkok yang baru.

Setelah enam tahun maka terjumpa parang panjang bengkok yang baru yang bernama Anwar dan parang panjang bengkok ini dihayunnya untuk mencantas Ghaffar Baba. Ghaffar begitu sedih diperlakukan begitu dan beliau mula uzur kesihatan beliau dan beliau sudah tidak bersama kita lagi setelah beberapa tahun bersara hasil cantasan Anwar itu.

Selang beberapa tahun parang panjang bengkok Anwar pula dihumbankan kerana terdengar ura-ura Anwar akan melawan beliau sebagai Presiden UMNO. Maka dipergunakan isu yang beliau perapkan terhadap Anwar secara 'expedient' untuk menjatuhkan Anwar. Kelemahan Anwar disimpannya sehingga beliau merasakan Anwar sudah menjadi bahaya maka masa itulah apa yang beliau yakin Anwar telah lakukan itu diperguna untuk membuang Anwar.

Maka sementara itu beliau gunakan Abdullah Badawi yang mempunyai persepsi 'suka bermimpi'. Ramai orang tidak berkeyakinan dengan Abdullah kerana beliau bukannya ‘material’ seorang PM, tetapi itulah pilihan Dr Mahathir kerana sebenarnya beliau bukannya hendak mencari Perdana Menteri. Beliau mahu mencari ‘puppet’ kepada beliau.

Tetapi ‘puppet’ ini degil. Tidak mahu disuruh arah maka digunakan parang panjang bengkok yang baru untuk menebasnya, dan parang bengkok baru itu ialah Muhyiddin Yassin. Ke darat dan ke baruh Muhyiddin menebas Abdullah untuk menaikkan Najib. Berjaya lagi Dr Mahathir. Akhirnya Najib jadi Perdana Menteri dan parang bengkok tadi dijadikan Timbalan Perdana Menteri.

Sekarang ini Najib pun tidak sesuai untuknya. Maka sekarang sudah ada yang menawarkan diri untuk menjadi 'parang panjang bengkok' untuk menebas Najib pula. Cuba tanya Dr Mahathir siapa dia sebelum beliau pergi bercuti ke luar negara.

Oleh Aspan Alias

Friday, February 7, 2014

Spekulasi peletakan jawatan Taib makin kuat

Ketika Sarawak heboh dengan spekulasi peletakan jawatannya, Ketua Menteri negeri itu, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyepi daripada media dengan tidak menghadiri majlis awam.

Sejak semalam, Taib tidak menghadiri dua majlis yang dijadualkan dan pagi ini pula, ketua menteri veteran itu sekali lagi tidak menghadiri upacara pemberian anugerah penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Kerajaan Sarawak.

Taib Mahmud terus membisu walaupun spekulasi peletakan jawatannya semakin hebat diperkatakan. - Gambar fail.

Bagaimanapun, pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) yang menghadiri upacara tersebut tidak memberi sebarang penjelasan berhubung peletakan jawatan Taib.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Alfred Jabu (gambar) enggan memberi sebarang pengesahan tentang apa yang berlaku dalam mesyuarat akan tetapi Pengerusi Tetap PBB Datuk Mohammad Asfia Awang Nassar tidak menolak kemungkinan berhubung spekulasi tersebut.

"Mesyuarat ini tiada agenda spesifik yang ditetapkan. Sesiapa pun boleh membangkitkan isu untuk dibincang.

"Jadi saya tidak akan menolak kemungkinan ia akan dibincangkan," kata Asfia yang juga adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada wartawan selepas upacara tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mempercayai spekulasi media bahawa Taib yang sudah bertugas selama 33 tahun sebagai ketua menteri Sarawak akan meletakkan jawatan bulan ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menghangatkan lagi sepkulasi ini dengan memberitahu media peletakan jawatan Taib boleh berlaku bila-bila masa sahaja dalam penggal ini.

Karim menambah pengumuman akan dibuat dalam mesyuarat PBB di ibu pejabat parti tersebut di Jalan Bako.

"Pasti ada perkara penting yang ketua menteri hendak umumkan," katanya.

Taib juga merupakan presiden PBB.

Aktivis politik Francis Paul Siah berkata dalam laman Facebook beliau, "Sejujurnya, saya tidak kisah lagi. Taib boleh buat apa sahaja yang dia mahu. Beliau boleh menjual Sarawak kepada pembida tertinggi jika beliau mahu. Rakyat Sarawak tetap akan mengundinya. Kita dapat apa yang kita berhak dapat."

Salah satu nama yang masyhur dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pertama, Beginda Minda berkata, Taib tidak akan meletakkan jawatan dan akan kekal dalam politik sehingga akhir hayatnya.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Adenan Satem merupakan calon popular untuk menggantikan Taib selain Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekita Kedua Datuk Awang Tengah Ali Hassan dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Taib menjawat jawatan ketua menteri Sarawak sejak 26 Mac 1981 dan seringkali menimbulkan kontroversi dengan tuduhan menyelewengkan wang negara kepada keluarganya melalui kontrak komersial termasuk industri pembalakan di Sarawak. –TMI

Thursday, February 6, 2014

Taib Mahmud dijangka letak jawatan bulan ini ?

Spekulasi mengenai peletakan jawatan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud timbul kembali dan beliau dijangka akan melepaskan jawatan bulan ini, lapor Berita Harian.

Menurut Berita Harian, keputusan untuk berundur selepas 33 tahun menerajui Sarawak dijangka akan dimaklumkan ketika mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sabtu ini.

Abdul Taib, 78, juga dikatakan akan mengadakan mesyuarat khas bersama semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Sarawak pada hari Ahad.

Akhbar itu memetik sumber yang turut memaklumkan Abdul Taib sudah memilih beberapa calon dengan kriteria yang diinginkannya.

Berdasarkan kenyataan sumber itu kepada Berita Harian, tiga nama sudah dikenal pasti akan menggantikan beliau, iaitu Menteri Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Adenan Satem, 69; Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Openg, 64; dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Datuk Awang Tengah Ali Hasan, 58.

Selain itu, turut disebut calon bakal menggantikan beliau adalah bekas anggota Kabinet Pusat, Datuk Seri Effendi Norwawi, 66.

Abdul Taib sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berundur ketika pilihan raya negeri itu pada 2011.

Bagaimanapun, sehingga awal 2014, ianya masih belum berlaku.

"Ada yang menyatakan Taib akan dilantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin yang akan tamat tempoh pada 28 Februari ini," lapor Berita Harian

Petikan :MalaysiaInsider

Thursday, January 16, 2014

Taib berundur, Umno masuk Sarawak?

KUCHING: Spekulasi Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan berundur tidak lama lagi bertiup kencang dan menjadi bualan penduduk Sarawak.

Pengganti Taib amat dinantikan sejak dahulu dan sehingga kini calon tersebut belum muncul tetapi ketakutan besar rakyat Sarawak ialah pengunduran Taib menjadi laluan United Malay National Organizations (Umno) bertapak di negeri ini.

Pengguna Facebook dan orang awam yang ditemui memberi pelbagai reaksi mengenai hal ini.

“Harap-harap orang Sarawak tidak ikut jejak Sabah… Umno dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa harus dihalang habis-habisan,” ujar Hafiz Abdullah

Adam Patrick pula menambah :”Jika Taib berundur alamatnya Umno akan masuk Sarawak.”

Akhbar-akhbar tempatan juga memetik bahawa sebelum beliau berundur berkata: “Sebelum saya bersara, kita akan mewujudkan dana supaya dapat disalurkan kepada orang yang memerlukan…”

Aktivis awam, Leslley Kalom dari Miri berkata: “Banyak senarai mungkin antaranya Abang Johari, Awang Tengah, Adenan Satem dan Alfred Jabu tetapi kemungkinannya sukar diramal.”

Lazarus Unang pula berkata: “Jika Abang Johari jadi Ketua Menteri adakah beliau akan memperjuangkan hak Sarawak?”

Sementara Saini Kakong menambah: “Tidak mungkin Jabu, walaupun beliau jadi Ketua Menteri, pastinya tidak lama beliau memegang jawatan tersebut.”

Laporan FMT yang lepas menyatakan bahawa Taib kemungkinan besar akan berundur pada 28 Februari depan dan semenjak itu ia menjadi perbualan awam.

Terdapat juga pihak menyifatkan bahawa pengunduran Taib adalah persiapan menjadi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Tempoh penggal perkhidmatan Abang Sallahudin Bin Abang Barieng sebagai TYT yang juga dikenal dengan Louis Barieng (panggilan Kristian) akan tamat pada 28 Februari 2014.

.....
http://www.freemalaysiatoday.com

Tuesday, December 31, 2013

VIDEO Sarawak Pula Dilanda Banjir

eadaan hujan yang berterusan telah menyebabkan empat bahagian di Sarawak dilanda banjir hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Negeri semasa dihubungi Bernama hari ini berkata beberapa kawasan di Miri, Bintulu, Betong dan Sri Aman dinaiki air antara 0.5 meter dan satu meter.

Menurutnya dua buah keluarga juga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Marudi, sebuah bandar di pedalaman di Miri.

Di bandar Bintulu pula, tujuh kawasan perumahan dinaiki air sehingga 0.5 meter namun jumlah penduduk yang terjejas dan perlu dipindahkan masih belum dapat dipastikan. ?

Lima buah penempatan yang terjejas di Sri Aman termasuk Rumah Panjang Lancaster King (lapan keluarga), Rumah Panjang Bujau (lapan keluarga), Rumah Ujang (tujuh keluarga), Kampung Sekait (lima keluarga) dan Kampung Melayu Baru (14 keluarga).

Satu-satunya penempatan di Betong yang dilaporkan dinaiki air ialah Kampung Lalang, Meludam; namun jumlah mangsa yang terjejas masih belum dapat dipastikan.

Situasi terkini banjir di bandar tersebut dikongsi pengguna media sosial lewat petang tadi.

Turut berkongsi foto situasi terkini banjir yang berlaku di sana adalah akaun Twitter rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat. -astroawani