Tuesday, February 18, 2014

NGO lancar petisyen sekat Taib Mahmud dilantik TYT

Sekumpulan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama empat parti politik menentang pelantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) sebagai Yang Dipertua Negeri (TYT) Sarawak, menyifatkannya sebagai satu "malapetaka".

Kumpulan tersebut melancarkan petisyen dalam usaha menghalang pelantikan ketua menteri Sarawak yang didakwa mereka seorang perasuah dan menyalahgunakan kuasa sepanjang 33 tahun pemerintahannya.

"Beliau telah mengeksploitasi sumber asli Sarawak secara besar-besaran untuk kepentingan dirinya," kata NGO tersebut.

"Sarawak dikatakan memiliki hutan terluas di Asia tetapi 90% hutannya hilang kerana pembalakkan haram."

Kumpulan tersebut juga membidas pentadbiran Taib yang berbelanja besar dalam projek empangan dan pembinaan tetapi Sarawak masih lagi ketinggalan dari segi ekonomi dan merosakkan alam semula jadi negeri tersebut.

"Ironinya, Sarawak masih kekal negeri termiskin di Malaysia walaupun kaya alam semula jadi," kata NGO tersebut yang menuduh Taib memunggut kekayaan daripada hasil alam semula jadi Sarawak.

Satu kajian oleh Bruno Manser Fund (BMF) mendedahkan harta Taib mencecah AS$15 bilion (RM46 billion) dan 20 ahli keluarganya mengumpul harta hampir AS$21 billion (RM64 bilion).

Siasatan oleh NGO antarabangsa, Global Witness juga mendedahkan penglibatan Taib dalam rasuah, rampasan tanah dan mengelak cukai.

"Beliau didakwa melakukan kesalahan ini menerusi cengkaman kuku besinya dalam lesen pembalakan dan ladang kelapa sawit di Sarawak," kata NGO tersebut, di samping mendakwa ketua menteri itu bertanggungjawab dalam beberapa sisi pelanggaran hak asasi manusia.

"Hak asasi dan politik diketepikan dan dipinggirkam, kebebasan media terhad dan rasuah pilihan raya berlaku secara terbuka," dakwa NGO itu lagi.

Menurut kumpulan itu lagi, jawatan TYT adalah simbol perpaduan segenap masyarakat Sarawak dan Taib yang terpalit dengan skandal tidak layan diberikan jawatan tersebut.

"Jelas, Taib mengakibatkan kesengsaraan dan penderitaan rakyat Sarawak dan tidak layak diberikan jawatan tersebut," kata NGO itu lagi.

Terdapat juga kebimbangan Taib akan mengukuhkan dinasti politiknya di Sarawak dan mengukuhkan cengkaman pada masa depan jika beliau dilantik TYT.

Kumpulan tersebut juga tidak menolak bakal ketua menteri, Tan Sri Adenan Satem, yang juga bekas adik iparnya akan melindungi Taib daripada siasatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang mentadbir Sarawak.

Antara NGO yang membantah pelantikan Taib tersebut termasuklah Bersih Sibu, Save Malaysia Stop Lynas, Saya Anak Bangsa Malaysia, Solidariti Anak Muda Malaysia, Suaram dan National Indian Rights Action Team, manakala parti politik yang membantah terdiri daripada DAP Socialist Youth, Angkatan Muda Keadilan dan Pemuda PAS.

Peletakan jawatan Taib berkuatkuasa pada 28 Februari ini dan Adenan akan mengambil alih bermula 1 Mac nanti.

Taib juga pada masa sama meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balingian dan spekulasi mengatakan beliau akan dilantik sebagai TYT.

Semalam, BMF yang berpengkalan di Switzerland membuat laporan polis ke atas keluarga Taib atas dakwaan penyeludupan balak haram di Kanada, malah PAS juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membuka kertas siasatan ke atas ketua menteri tersebut.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar turut mendesak SPRM supaya mendedahkan siasatan tersebut.

BMF berkata satu laporan polis telah dibuat kepadan Royal Canadian Mounted Police (RCMP), berdasarkan "bukti baru" yang mendapati wujud kaitan kewangan antara Richfold Investments Ltd di Hong Kong dengan Sakto Development Corporation di Ottawa, Kanada.

Sakto Development Corporation merupakan sebuah syarikat pemaju jutaan ringgit yang dimiliki oleh anak perempuan Taib, Jamilah Taib Murray. -TMI
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " NGO lancar petisyen sekat Taib Mahmud dilantik TYT "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx