Friday, February 7, 2014

Spekulasi peletakan jawatan Taib makin kuat

Ketika Sarawak heboh dengan spekulasi peletakan jawatannya, Ketua Menteri negeri itu, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyepi daripada media dengan tidak menghadiri majlis awam.

Sejak semalam, Taib tidak menghadiri dua majlis yang dijadualkan dan pagi ini pula, ketua menteri veteran itu sekali lagi tidak menghadiri upacara pemberian anugerah penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Kerajaan Sarawak.

Taib Mahmud terus membisu walaupun spekulasi peletakan jawatannya semakin hebat diperkatakan. - Gambar fail.

Bagaimanapun, pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) yang menghadiri upacara tersebut tidak memberi sebarang penjelasan berhubung peletakan jawatan Taib.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Alfred Jabu (gambar) enggan memberi sebarang pengesahan tentang apa yang berlaku dalam mesyuarat akan tetapi Pengerusi Tetap PBB Datuk Mohammad Asfia Awang Nassar tidak menolak kemungkinan berhubung spekulasi tersebut.

"Mesyuarat ini tiada agenda spesifik yang ditetapkan. Sesiapa pun boleh membangkitkan isu untuk dibincang.

"Jadi saya tidak akan menolak kemungkinan ia akan dibincangkan," kata Asfia yang juga adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada wartawan selepas upacara tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mempercayai spekulasi media bahawa Taib yang sudah bertugas selama 33 tahun sebagai ketua menteri Sarawak akan meletakkan jawatan bulan ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menghangatkan lagi sepkulasi ini dengan memberitahu media peletakan jawatan Taib boleh berlaku bila-bila masa sahaja dalam penggal ini.

Karim menambah pengumuman akan dibuat dalam mesyuarat PBB di ibu pejabat parti tersebut di Jalan Bako.

"Pasti ada perkara penting yang ketua menteri hendak umumkan," katanya.

Taib juga merupakan presiden PBB.

Aktivis politik Francis Paul Siah berkata dalam laman Facebook beliau, "Sejujurnya, saya tidak kisah lagi. Taib boleh buat apa sahaja yang dia mahu. Beliau boleh menjual Sarawak kepada pembida tertinggi jika beliau mahu. Rakyat Sarawak tetap akan mengundinya. Kita dapat apa yang kita berhak dapat."

Salah satu nama yang masyhur dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pertama, Beginda Minda berkata, Taib tidak akan meletakkan jawatan dan akan kekal dalam politik sehingga akhir hayatnya.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Adenan Satem merupakan calon popular untuk menggantikan Taib selain Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekita Kedua Datuk Awang Tengah Ali Hassan dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Taib menjawat jawatan ketua menteri Sarawak sejak 26 Mac 1981 dan seringkali menimbulkan kontroversi dengan tuduhan menyelewengkan wang negara kepada keluarganya melalui kontrak komersial termasuk industri pembalakan di Sarawak. –TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.