Tuesday, July 9, 2013

Ada usaha pecahkan Pakatan Rakyat?

BN menyedari bahawa parti politik ‘pembangkang’ yang bersendirian tidak akan mampu mencabar kedudukan mereka sebagai pemerintah negara Malaysia.

Ini adalah di antara sebab mengapa mereka telah berjaya memerintah Malaysia sekian lama dan menikmati majoriti dua pertiga di Parlimen sepanjang masa memerintah. Sepanjang masa, hinggalah pada Mac 2008!

PAS juga menyedari bahawa secara bersendirian, PAS tidak mampu menjejas kedudukan BN di peringkat Pusat. Maka itulah sebabnya mengapa sejak dari dahulu lagi, PAS telah berusaha mengadakan kerjasama di antara parti pembangkang.

Kerjasama ini pada asalnya bertujuan mengelak berlakunya tiga penjuru sahaja tetapi mutakhir ini mempunyai matlamat yang lebih menyeluruh.

Ia bertujuan untuk membuktikan bahawa satu gabungan parti politik boleh diwujudkan yang mampu membentuk kerajaan bersama dan dengan itu menjadi pilihan bagi rakyat untuk memerintah Malaysia.

Kejayaan PAS di beberapa negeri sebelum ini seperti di Kelantan, sejak 1990 (melalui kerjasama dengan Semangat 46) dan Terengganu pada 1999 (melalui kerjasama bersama Barisal Alternatif), merunsingkan BN di negeri berkenaan.

Tetapi, kejayaan ini dengan sendirinya tidak menjejas BN di peringkat Pusat. Ini adalah kerana kejayaan tersebut adalah terhad kepada negeri tertentu dan tidak akan mampu mencabar kedudukan BN sebagai kerajaan di peringkat Pusat.

Kejayaan di negeri berkenaan pula hanya mampu menzahirkan kejayaan PAS dan bukan kewujudan satu gabungan yang mampu mengambilalih kedudukan BN di seluruh Negara dan menjadi kerajaan di peringkat Pusat.

Maka dengan itu, kejayaan PAS bersama KeADILan dan DAP, pada 2008, merupakan satu kejayaan lonjakan baru bagi politik tanah air. Kejayaan ini menghasilkan Pakatan Rakyat dan gabungan parti pembangkang ini jelas mampu menjejas kedudukan BN di setiap negeri dan juga di Pusat!

Ia merupakan mimpi ngeri BN yang telah menjadi kenyataan.

Buat kali pertama di dalam sejarah, satu gabungan parti politik yang berbilang kaum dan agama serta fahaman dapat dihasilkan yang bertindak bukan sekadar untuk hadapi BN dalam pilihan raya, tetapi jauh lebih daripada itu; gabungan ini berusaha membuktikan kemampuan mereka memerintah bersama sebagai satu kerajaan gabungan baru dalam arena politik Malaysia.

Kejayaan demi kejayaan, sejak 1990, walaupun secara berperingkat, adalah bukti kukuh bahawa pendekatan terbuka dan inklusif, adalah pendekatan yang tepat dan berkesan bagi PAS.

Pendekatan inklusif ini bermakna pendekatan yang ingin melibatkan semua pihak yang inginkan perubahan dalam satu gagasan dan pakatan yang padu.

Pendekatan ini merupakan ijtihad politik yang mengambil kira keharusan dari sudut syariyyah yang diadunkan dengan kefahaman realiti politik semasa yang tepat.

Natijah yang dicapai adalah bukti akan ketepatan ijtihad tersebut.

Menyedari bahaya dan potensi yang ada pada Pakatan, pihak BN pada 2008 bertindak dengan pantas untuk menggagalkannya. Sepertimana yang telah diketahui umum, di Selangor, Kedah dan Perak tawaran dibuat kepada pimpinan PAS untuk berkerjasama dengan BN di mana jawatan Menteri Besar akan diserahkan PAS.

Maka pada ketika itu soal kepentingan Melayu dan Islam serta bahaya Cina dan bukan Islam laungkan untuk mendapat persetujuan pimpinan PAS. Secara tiba-tiba BN menjadikan diri mereka sebagai pembela Melayu dan Islam.

Sepertimana kita semua tahu juga, usaha untuk menggagalkan pembentukan Pakatan pada saat awal-awal kelahirannya telah berjaya digagalkan dan dengan kegagalan itu, maka Pakatan dibentuk dan mula berfungsi sebagai kerajaan gabungan secara praktiknya di beberapa negeri.

Walaupun gagal pada ketika itu, usaha terus dilakukan untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat supaya BN akan kembali menjadi satu-satunya gabungan parti politik yang mampu kekal bersatu dan memerintah bersama.

Ini merupakan matlamat sebenar di sebalik tawaran kerjasama, iaitu tiada gabungan atau pakatan yang seperti BN akan dapat diwujudkan atau dipertahankan.

Soal penyatuan sesama Islam dan Melayu hanya sekadar ungkapan di bibir sahaja kerana sambil ia diungkap, Melayu dan Islam Kelantan terus ditindas.

Usaha untuk menggagalkan pembentukan dan penerusan pakatan dan gabungan ini dibantu oleh pimpinan tertentu di dalam PAS ketika itu dan ia mengambil bentuk:

1. Melaga-lagakan PAS dengan DAP pada awalnya supaya pakatan itu sentiasa dalam keadaan bertelagah (sekarang lebih kerap dengan KeADILan atas sebab pertindihan kerusi)

2. Dan melabelkan golongan yang kuat mempertahankan Pakatan dalam PAS sebagai golongan ‘parasit’, ‘Anwarinas’, “Erdogan’ dan sebagainya.

Pimpinan PAS yang mempertahankan pendekatan Pakatan, atas sebab ketepatan ijtihad pimpinan yang terbukti seperti disebut di atas, menjadi sasaran utama kempen melabel ini. Mereka digelar ‘parasit’ oleh Hassan Ali dan ‘Anwarinas’ oleh Zul Noordin dan yang seangkatan dengannya. Sering juga mereka dituduh “lebih KeADILan daripada PAS” dan diingatkan bahawa “Pakatan hanya Tahalluf Siyasi, bukan kita wala’ kepada Pakatan” seolah perkara itu tidak difahami mereka.

Sebenarnya, pendirian mempertahankan Pakatan dan mengukuhkan Pakatan adalah berdasarkan keputusan muktamar tahunan PAS yang tahun demi tahun, sejak 2008, memutuskan supaya PAS perlu mengukuhkan Pakatan.

Bagaimana tindakan mempertahankan Pakatan dan menentukan ianya tidak digagalkan oleh golongan yang ‘gopoh’ atau ‘musta’jilun’ serta berkepentingan dapat dikatakan membelakangkan parti dan mementingkan Pakatan lebih daripada PAS? Sedangkan usaha mempertahankan Pakatan adalah keputusan PAS!

Saya melihat ramai yang terpengaruh dengan tuduhan sedemikian terdiri dari golongan muda yang bersemangat tinggi tetapi tidak mengetahui sejarah sebenar serta realiti politik negara. Mereka diisi dengan semangat dan kefahaman bahawa PAS boleh bersendirian kerana sudah kuat berdasarkan kedudukan sekarang tanpa mereka memahami bagaimana PAS telah sampai ke kedudukan yang dianggap ‘kuat’ ini.

Pada hakikatnya, yang ingin sangat PAS bersendirian adalah Umno-BN. Itulah sebabnya mengapa Hassan Ali dan Zul Noordin memperkenalkan istilah parasit dan Anwarinas itu.

Tidak mustahil ia strategi yang dipilih oleh pihak risikan negara dan Special Branch dalam usaha mereka untuk membela BN.

Berdasarkan kajian teliti yang dilakukan mereka, golongan muda yang bersemangat ini boleh diguna-pakai untuk mengembalikan PAS kepada kedudukan asalnya, iaitu bersendirian dan tidak berpengaruh secara menyeluruh. Tidakkah pelik apabila istilah itu diulangi oleh golongan muda dalam PAS? Tidakkah mereka sedar betapa mereka dipermainkan oleh Umno dan agenagennya?

Kejayaan yang dicapai oleh Pakatan Selangor adalah bukti bagaimana sekiranya semangat Pakatan dihayati dengan penuh keikhlasan, semua pihak akan mendapat keuntungan darinya.

PAS adalah pihak yang paling untung hasil setiakawan yang tercapai melalui Pakatan Rakyat di negeri Selangor. Daripada empat kerusi pada 1999, kosong kerusi pada 2004, lapan kerusi pada 2008, sekarang pada 2013 PAS mencapai kemenangan di 15 kerusi.

Ini merupakan kejayaan yang membuktikan keberkesanan pendekatan tersebut. Diharapkan sangat bahawa PAS, sebagai parti Islam, mampu menunjukkan keikhlasan setiakawanan yang sama. Keberkesanan Pakatan sebagai sebuah entiti dalam mengukuhkan kedudukan PAS serta parti komponen yang lain telah pun terbukti.

Saya menyeru kepada semua ahli dan penyokong PAS, khususnya golongan muda, untuk memahami keadaan dan realiti politik negara dan menghargai usaha pimpinan, sekarang dan dahulu, yang menghasilkan Tahaluf Siyaasi yang sedia wujud hari ini.

Merobohkan apa yang telah dibina memang senang; membinanya memerlukan fatanah, kebijaksanaan, hikmah dan kematangan.

Mencari punca untuk bergaduh amat senang dan ia boleh dilakukan oleh mana-mana samseng jalanan. Mencari asas untuk bersatu dan berdamai hanya mampu dilakukan manusia bijaksana.

Saya yakin kebanyakan dari ahli dan penyokong PAS memahami bahawa usaha untuk mencetuskan perbalahan di antara PAS dan rakannya dalam Pakatan adalah perancangan yang dibawa Umno-BN. Ia tidak bertujuan memperkukuhkan kedudukan Melayu ataupun Islam, tetapi mengukuhkan kedudukan Umno-BN sendiri.

>> Khalid ialah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Shah Alam.
xxx2

Komen Anda

23 Responses to " Ada usaha pecahkan Pakatan Rakyat? "
Anonymous said...
July 10, 2013 at 11:30 AM

pakatan mmg makin berpecah pn


Anonymous said...
July 10, 2013 at 12:14 PM

pakatan rakyat berpecah pun org bn juga


Berlin said...
July 10, 2013 at 1:40 PM

Pembangkang ditempelak kerana resipi mereka mengadunkan ekstremisme agama, liberalisme dan kesamarataan dikhuatiri akan menyebabkan porak peranda dan kemusnahan negara.

Malah, ketaksuban ketiga-tiga parti pembangkang yang mempunyai ideologi berbeza itu didakwa turut menjejaskan kerukunan hidup pelbagai kaum dalam satu kerangka kesederhanaan yang diamalkan BN selama ini.

PERJUANGAN PEMBANGKANG LEBIH KEPADA MENCAPAI IMPIAN MASING-MASING. SEBENARNYA TIDAK WUJUD KESATUAN DALAM PARTI PEMBANGKANG. MAKA ITULAH SETIAP KALI BERDEPAN DENGAN KRISIS MEREKA SUKAR UNTUK MEMBUAT PERMUAFAKATAN DAN SETERUSNYA MENYELESAIKANNYA


Berlin said...
July 10, 2013 at 1:42 PM

Wakil Johor, Datuk Samsol Bari Jamali, berkata tidak berguna ditangisi kemudian hari selepas resepi dibawa pembangkang memusnahkan negara.


SIKAP MELAMPAU

“Kita bimbang sikap melampau pembangkang banyak membawa keburukan dan kemusnahan hingga sukar dipulihkan. Malah, ada yang langsung tidak mampu dipulihkan seperti sedia kala. Inilah yang membezakan UMNO dengan pembangkang,” katanya.

PEMBANGKANG YANG TERDIRI DARIPADA HANYA 3 PARTI KOMPONEN SAJA PUN SUKAR UNTUK MEMBENTUK KESATUAN.


Berlin said...
July 10, 2013 at 1:48 PM

Beliau berkata, rahsia kejayaan UMNO adalah kerana konsep kesederhanaan yang diterjemahkan dalam ideologi, dasar dan amalannya.

Katanya, kesederhanaan membawa kepada budaya berunding bagi mencapai persetujuan yang akhirnya menjadikan tradisi itu sebagai resepi keharmonian.

“UMNO adalah penakrif kesederhanaan. Kita berbangga kesederhanaan itu dapat diaplikasikan di peringkat global apabila berjaya merungkai konflik lebih 20 tahun yang membawa perdamaian bangsa Moro,” katanya.

DENGAN PRINSIP YANG DIPEGANG OLEH UMNO/BN PASTI KESEPAKATAN DAN KESATUAN DALAM PARTI AKAN SENTIASA BERKEKALAN


Anonymous said...
July 10, 2013 at 1:54 PM

UMNO telah terbukti bukanlah sebuah parti politik yang bersifat rasis atau mempunyai niat untuk memecah-belahkan rakyat negara ini mengikut kaum, kata Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.

Katanya, jika UMNO adalah sebuah parti yang mementingkan diri atau hanya mengutamakan bangsa Melayu sahaja maka tentunya tidak akan wujud BN.

UMNO telah sepakat dan bersatu hati dengan pemimpin pelbagai kaum yang ada di negara ini untuk membentuk sebuah parti yang pada mulanya dinamakan Perikatan dan kemudian BN, dan sehingga kini kekal dalam kesatuan menjadi teraju kerajaan.


Anonymous said...
July 10, 2013 at 1:55 PM

Bagaimana pakatan pembangkang mahu mengambil alih tampuk kepimpinan pentadbiran BN sedangkan untuk membina satu logo atau lambang sebagaimana dacing bagi BN pun mereka gagal laksanakan.

“Pakatan pembangkang hanya ada tiga parti sahaja tetapi sampai ke hari ini mereka masih gagal membentuk satu bukti kesepakatan sebagaimana BN yang bersekutu sedangkan pembangkang masih lagi kekal dengan logo dan lambang antara ketiga-tiga parti.

“Dalam BN ini semua tidak berlaku kerana setiap keputusan diambil secara konsensus iaitu melalui perbincangan bersama dan disepakati oleh semua 13 anggota komponen parti termasuklah parti yang terkecil sekalipun.”


Anonymous said...
July 10, 2013 at 1:56 PM

Biarpun UMNO adalah parti atas nama Melayu tetapi setiap dasar dan program yang dilaksanakan adalah berteraskan kesatuan dalam kepelbagaian yang melibatkan kepentingan kaum-kaum lain juga.

“Dasar yang dilaksanakan oleh UMNO bersama-sama BN adalah atas keutamaan semua kaum tanpa ada yang berkepentingan, saling bertolak ansur dan mempunyai persefahaman yang kukuh.

UMNO sentiasa mengutamakan perkongsian kuasa tanpa ada rasa cemburu kepada pihak lain termasuklah kedudukan ekonomi walaupun ternyata bangsa Melayu masih jauh ketinggalan.


Anonymous said...
July 10, 2013 at 1:57 PM

“Secara jelas kita melihat bahawa kedudukan ekonomi dikuasai oleh kaum lain tetapi ia tidak pernah dihalang atau ditentang oleh bangsa Melayu sebaliknya persaingan secara sihat dibuat agar wujud keseimbangan dalam semua aspek.”

Parti-parti pembangkang telah membentuk pakatan pada 2008 yang bersetuju membuat keputusan serta menetapkan dasar perikatan antara mereka dengan dikendalikan oleh satu Majlis Pimpinan dan Sekretariat Bersama namun sehingga ke hari ini masih tidak berdaftar sebagai pertubuhan sebagaimana BN lantaran gagal mencapai satu matlamat yang dapat dipersetujui berkaitan idealogi antara DAP, Pas dan PKR.


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:38 AM

Akhir-akhir ini rungutan akar umbi DAP semakin kuat kedengaran. Rata-rata merasa kecewa dengan kepimpinan parti yang kian hari kian menunjukkan sifat kukubesinya. Parti itu telah dua kali menunda proses pemilihan dan antara penyebabnya ialah kebimbangan kepimpinan yang mula menyedari sentimen akar umbi yang tidak menyenangi cara mereka ini.


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:39 AM

Akar umbi telah menunjukkan ketidakpuasan hati mereka dengan cara memberi sokongan kepada pemimpin yang tidak termasuk dalam kumpulan sahabat dan keluarga Tokong Lim. Beberapa orang yang menjadi pilihan Lim Guan Eng tewas dalam pemilihan, antaranya Wong Kah Woh dan setiausaha politiknya, Ng Wei Aik.


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:39 AM

Ini adalah petanda jelas ‘pemberontakan senyap’ oleh akar umbi DAP dan Tokong Lim tidak mampu lagi untuk menutup mata mengenainya. Walaubagaimanapun, cakap-cakap kedai kopi kedengaran ramai yang yakin bahawa Tokong Lim tidak akan berdiam diri dan akan terus berusaha agar semua ahli-ahli menyembahnya.


Masalah DAP menjadi lebih parah apabila PAS juga mula menunjuk taring terhadap parti itu yang selama ini dilihat sebagai Ketua.


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:39 AM

PAS yang juga menghadapi masalah keyakinan akar umbi terpaksa membuktikan yang mereka bukan anjing kepada DAP sepertimana yang dituduh oleh musuh mereka. Maka, isu wanita Muslim memotong rambut lelaki dan khalwat antara bukan Islam pun menjadi topik pertengkaran hebat antara PAS dan DAP.


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:41 AM

PAS nampaknya begitu tegas dan enggan berganjak dari keputusan dalam kedua-dua kes tersebut konon atas nama Islam, yang menjadi dasar perjuangan parti. Namun, amatlah menghairankan apabila ketegasan yang sama tidak ditunjukkan dalam kes yang jauh lebih berat seperti zina, gejala LGBT, malah kes murtad sebelum ini.


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:41 AM

Dalam kes murtad misalnya, PAS sanggup kehilangan pemimpin yang banyak berjasa seperti Datuk Dr. Hasan Ali demi menjaga hati DAP. Tetapi hairan sekali apabila PAS sanggup pula mengelar hati DAP kerana enggan membenarkan wanita Islam memotong rambut lelaki.


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:42 AM

Lebih dahsyat lagi bila PAS juga sanggup menerima seorang pengamal LGBT sebagai Perdana Menteri tetapi tidak sanggup bertolak ansur dengan pasangan bukan Islam yang berkhalwat. Dewan Himpunan Penyokong PAS pula lebih merupakan jurucakap DAP dari penyokong tulen PAS.


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:42 AM

Apa yang menarik lagi ialah parti PKR pula memilih untuk berdiam diri dan enggan menonjol di kala sekutunya memukul gendang perang sesama sendiri, sedangkan musuh sudah mula mengasah senjata untuk menghadapi pilihanraya.


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:43 AM

Anwar Ibrahim, sebagai Ketua Pembangkang dan bakal Perdana Menteri PR langsung tidak memberi kenyataan dalam menangani kemelut yang melanda parti-parti sekutunya. Mungkin beliau cukup maklum bahawa apa jua kata-kata atau arahannya tidak membawa apa-apa makna bagi DAP mahupun PAS kerana tiada siapa yang menghormati peliwat dan penyalahguna kuasa sepertinya.


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:43 AM

Justeru, Anwar hanya membiarkan sahaja kedua-dua parti sekutunya itu bercakaran dari dalam dan sesama sendiri tanpa mampu berbuat apa-apa.

Kemelut yang dihadapi PR ini bukan kecil kerana ia merupakan masalah yang bertindih, dan merebak pula. Kalau dulu kita lihat PAS perlu kalahkan DAP dahulu sebelum menang PRU tetapi kini kita lihat di dalam DAP sendiri, ada usaha untuk mengalahkan Dinasti Lim dalam pemilihan parti itu. Justeru bagaimana DAP dapat berhadapan dengan kebangkitan PAS?


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:44 AM

Apa yang berlaku dalam DAP tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku dalam pemilihan parti PKR yang menyaksikan betapa kepimpinan tertinggi sanggup berbuat apa saja untuk memastikan calon pilihan mereka menang.


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:44 AM

Perlu diingatkan bahwa DAP dan PKR kedua-duanya mempunyai ‘kaki’ atau ‘balaci’ setia di dalam PAS yang bersedia berbuat yang sama untuk menang juga. Oleh itu, walaupun Muktamar PAS berjalan lancar, tetapi percayalah yang parti itu telah retak seribu dan hanya bertahan dengan tampalan gam keegoan masing-masing sahaja.


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:46 AM

Nampaknya, DAP, PKR dan PAS kini bukan lagi satu pakatan, atau lebih tepat, tidak pernah pun berpakat. Mereka hanya berbuat janji untuk sama-sama menjatuhkan BN dalam pilihanraya, itu saja. Mereka tidak pernah benar-benar sepakat untuk memerintah bersama atau menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri, kecuali sebagai boneka atau simbol kuasa mereka semata-mata.


USAHA? Atau MEMANG MENUJU KEHANCURAN PUN! said...
October 6, 2013 at 10:47 AM

Hakikatnya hari ini, walaupun DAP, PAS dan PKR masing-masing punya pemimpin yang digelar Presiden atau apa jua gelarannya, tetapi Pakatan Rakyat itu sendiri tidak punya pemimpin. PR hanyalah sebuah bayangan, ilusi atau mimpi manusia-manusia yang gila kuasa dan tidak berpijak di bumi nyata yang kini terhoyong hayang bila dikejutkan dengan gendang perang pilihanraya.


Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx