Tuesday, July 16, 2013

RCI: Pendatang asing miliki senjata api

Kadar jenayah turun mendadak pada awal 2000 sejurus apabila kerajaan Sabah menjalankan operasi pembersihan petempatan setinggan haram, kata bekas ketua menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang haram di negeri itu.

Beliau yang mentadbir antara 2001 hingga 2003 berkata masalah pendatang asing diketahui umum sebelum menyandang jawatan berkenaan, kemudian mengusir pendatang asing termasuk mereka yang memiliki kad pengenalan secara haram.

Bercakap depan lima panel diketuai bekas Hakim Besar Sarawak dan Sabah, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, saksi ke-172 itu berkata, antara kejayaan kerajaan pimpinannya ketika itu ialah menutup setinggan di Tawau, Sandakan, Kota Kinabalu dan Pulau Gaya.

"Bila pihak berkuasa masuk untuk bersihkan setinggan, kami dapati banyak senjata api.

"Seludup senjata api dan dadah antara jenayah yang dikaitkan dengan petempatan setinggan. Kebanyakannya dibawa masuk dari Filipina," katanya kepada inkuiri berkenaan.

Kerajaan Sabah, kata Chong, menerima kerjasama daripada Filipina dan Indonesia dalam urusan pemindahan pendatang.

Beliau berkata, tindakan turut diambil terhadap warga asing yang memiliki kad pengenalan Malaysia dengan sebahagian pemiliknya langsung tidak boleh bertutur bahasa penduduk tempatan.

"Tiada protes ketika kad mereka dirampas. Mereka tahu dokumen itu palsu," katanya tetapi tidak mendedahkan bilangan pendatang asing yang ditahan kerana jumlahnya 'sangat ramai.'

Chong berkata, tiada campur tangan politik pada operasi pembersihan setinggan dilaksanakan walaupun mengakui memaklumkan operasi kepada perdana menteri dan timbalannya.

Shim: Ketika setinggan ini dimusnahkan, apa tindakan kamu ambil untuk memastikan mereka tidak membina koloni di tempat lain?

Chong: Jika koloni itu besar, seperti Kampung Pondo di Pulau Gaya, petempatan akan dibina untuk mereka daripada dana kerajaan Pusat. Jika ia terlalu besar, mereka akan dipindahkan ke tanah besar milik kerajaan negeri.

Beliau mengakui ketika proses berkenaan berlangsung, beliau tidak mendapat tidur yang cukup dan ia bukan tugas yang digemarinya.

Chong bagaimanapun enggan mengulas pertanyaan peguam Ansari Abdullah, berkenaan ugutan bunuh yang diterimanya semasa mentadbir Sabah, yang ketika itu beliau didakwa menerima sebutir peluru hidup. - TMI.

20 comments:
Write comments
  1. Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) merobohkan 347 rumah setinggan yang dihuni warga asing menerusi operasi bersepadu di tiga kawasan di daerah ini bermula semalam.

    Tiga kawasan itu ialah berhampiran bandar Nam Tung membabitkan 54 rumah, Beach Garden (68 rumah) serta Batu 2.5 yang melibatkan 225 rumah.

    Ketua Unit Setinggan MPS Kassim Selamat berkata perobohan itu bagi memberi laluan kepada pemaju melaksanakan pembangunan iaitu perumahan di Beach Garden, terminal bas di Batu 2.5 dan pasar di Nam Tung.

    ReplyDelete
  2. MPS mengenal pasti lebih 90 peratus penghuni rumah terbabit adalah pendatang tanpa izin, katanya di sini hari ini.

    Menurutnya MPS juga mendapati majoriti penghuni menyambung bekalan air dan elektrik secara haram.

    “Mereka juga tidak mengamalkan aspek kebersihan, di samping terdedah dengan kegiatan tidak sihat dan menggugat keselamatan,” katanya.

    ReplyDelete
  3. Menurut Kassim operasi yang dijalankan dengan kerjasama pihak imigresen, polis, Jabatan Pendaftaran Negara, jabatan air dan Sabah Electricity Sdn Bhd itu akan dilaksana di beberapa lagi kawasan setinggan sebaik mendapat arahan.

    Beliau berkata tiada tempoh rayuan dan pertimbangan dibenarkan selepas notis merobohkan rumah diberikan kepada penghuni kawasan setinggan terbabit.

    ReplyDelete
  4. Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) diminta menjalankan kajian mengenai pendatang tanpa izin di daerah itu bagi mendapatkan jumlah sebenar golongan berkenaan selain memudahkan tindakan susulan.

    ReplyDelete
  5. Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata berdasarkan bancian pada 2010, terdapat 172,200 pendatang tanpa izin di Sandakan atau 38 peratus daripada keseluruhan 453,500 penduduk di daerah berkenaan.

    ReplyDelete
  6. “Kajian itu antaranya meliputi lokasi mereka tinggal dan kegiatan mereka termasuk menjadi penjaja haram di beberapa kawasan perniagaan di sekitar daerah ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MPS, di sini hari ini.

    ReplyDelete
  7. Tan yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, berkata kehadiran pendatang tanpa izin di daerah itu turut menyumbang kepada pelbagai masalah lain antaranya kewujudan penempatan setinggan, penyambungan bekalan air dan elektrik secara haram serta kebersihan

    ReplyDelete
  8. Mengenai penstrukturan semula perumahan setinggan susulan pembentukan Zon Selamat Sabah Timur, Tan berkata kerajaan Sabah akan memastikan penduduk tempatan yang terlibat akan dipindah ke kawasan perumahan baharu termasuk di bawah Program Perumahan Rakyat.

    ReplyDelete
  9. Tindakan penguatkuasaan hanya dikenakan kepada pendatang tanpa izin yang tinggal di kawasan terbabit, katanya.

    ReplyDelete
  10. Individu yang memiliki lesen senjata api diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menyewakan senjata mereka kerana boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika senjata itu digunakan untuk kegiatan jenayah.

    ReplyDelete
  11. Jika senjata itu digunakan untuk pemerasan, rompak, halang tugasan polis, menculik dan pecah rumah, mereka juga akan dikenakan hukuman yang sama (mati)

    ReplyDelete
  12. Polis telah merampas banyak senjata api, kebanyakan senapang bakakuk telah dirampas di empat daerah utama iaitu di Keningau, Kota Belud, Kudat dan Tawau.

    ReplyDelete
  13. polis akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut Akta Senjata 1960 dan Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 mengikut kesalahan yang dila-kukan.

    ReplyDelete
  14. Mereka (pemegang senjata api berlesen) yang ingin menggunakan senjata api mereka untuk berburu mesti mendapat lesen memburu daripada pihak berkuasa tempatan yang berkenaan dan tidak boleh memburu di tempat larangan

    ReplyDelete
  15. Nampaknya R.C.i telah mendedahkan banyak keburukan yang dilakukan oleh para pendatang ini, taniah kerajaan!

    ReplyDelete
  16. RCI mengenai isu PATIOctober 2, 2013 at 11:49 AM

    Pasukan Siasatan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah menerima kerjasama baik daripada Kerajaan Negeri.

    ReplyDelete
  17. RCI mengenai isu PATIOctober 2, 2013 at 11:52 AM

    Demikian menurut Ketua Pasukan Siasatan suruhanjaya itu, Superintenden Mohd Azman Ahmad Sapri.

    Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang DiPertua Negeri, Tun Haji Juhar Haji Mahiruddin di Istana Negeri, Kota Kinabalu.

    ReplyDelete
  18. RCI mengenai isu PATIOctober 2, 2013 at 11:53 AM

    Sambil memaklumkan, kunjungan bertujuan menyatakan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, Mohd Azman berkata pihak suruhanjaya dan pasukan siasatan amat berpuas hati terhadap kerjasama yang diberikan.

    ReplyDelete
  19. RCI mengenai isu PATIOctober 2, 2013 at 11:53 AM

    RCI diberi tempoh lanjutan selama tiga bulan untuk melengkapkan hasil siasatan, sebelum diserahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Disember ini.

    ReplyDelete
  20. RCI mengenai isu PATIOctober 2, 2013 at 11:54 AM

    Terdahulu, Tun Haji Juhar turut menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Datuk Awang Sahak Haji Awang Salleh.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.