Wednesday, October 8, 2014

Banjir teruk di Panampang, Lapan sekolah ditutup

KOTA KINABALU - Lapan sekolah di tiga daerah di Sabah ditutup akibat banjir ekoran hujan berterusan sejak awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Jame Alip berkata sebanyak 3,400 murid terjejas akibat banjir di sekitar Kota Kinabalu, Papar, dan Kota Belud.

Beliau berkata lima buah sekolah di Kota Kinabalu yang terlibat banjir ialah SK St Cathrine, SK Gudon, SK Pulau Gaya, SK Rampayan dan SK Natai.

"Di Papar, ia melibatkan SK Tampasak Kinarut dan SJKC Kin Kiau manakala sebuah sekolah di SK Lasau Titapon, Kota Belud," katanya di dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata walaupun sekolah yang terjejas banjir itu ditutup sementara, namun masih terdapat beberapa sekolah di Penampang yang tetap meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang Jamaludin Hussin berkata kira-kira 400 penduduk dari empat kampung sekitar Penampang dilanda banjir dan menjejaskan aktiviti harian penduduk di bandar raya ini.

Beliau berkata antara kawasan terlibat ialah Kampung Penampang Proper, Kampung Hungap, Kampung Tuavon dan Kampung Tanaki.

"Anggota bomba telah dikerahkan untuk membantu pelajar terbabit serta memindahan penduduk yang terlibat banjir yang rata-ratanya berpindah ke kediaman anggota keluarga yang lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini, tiada pusat pemindahan dibuka dan Pejabat Daerah Penampang telah membuka pusat penempatan sementara di Dewan Masyarakat Tun Fuad bagi menghadapi situasi banjir ini.

Katanya, setakat tengah hari ini paras air di Empangan Sungai Babagon berada di paras bahaya 10 meter.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya sentiasa memantau situasi banjir itu dan penduduk yang terlibat dinasihatkan supaya berwaspada dan mengambil tindakan untuk berpindah sekiranya keadaan banjir semakin serius.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan di sekitar Penampang termasuk pekan Donggongon, pejabat dan jabatn kerajaan serta pusat membeli-belah turut ditenggalami air.

Sementara itu, Ketua Stesen Tanjung Aru, Amzah Mamat berkata satu jadual perjalananan kereta api dari Tanjung Aru ke Beaufort melibatkan lebih 100 penumpang dibatalkan pada 7.55 pagi tadi berikutan banjir yang melanda kawasan Kawang Papar.

Menurutnya, keputusan dibuat berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) setelah menerima maklumat awal mengenai landasan kereta api dilanda banjir melepasi enam inci pada landasan. - Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.