Saturday, October 11, 2014

Pakatan sambut pengumuman PM dengan sindiran

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyambut sinis pembentangan Bajet 2015 oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan membangkitkan persoalan rasuah dalam projek dan inisiatif yang diumumkannya.

Paling lantang, Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersendakan tindakan Najib yang mengumumkan projek lebuh raya rentas Borneo bernilai RM27 bilion sekali lagi dalam pembentangan kali ini.

Sedangkan, projek lebuh raya sepanjang meliputi 936 kilometer di Sarawak dan 727 kilometer di Sabah itu sudahpun diumumkan enam tahun lalu, katanya.

“Umum Lebuh Raya Pan Borneo... tepukan (oleh) BN, tapi sudah enam tahun umum yang sama,” katanya dalam reaksi segera di Twitter sejurus selepas pengumuman Najib.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, MP Permatang Pauh itu juga membangkitkan mengenai kos sara hidup yang menurutnya tidak ditangani dalam bajet kali ini.

“Kenaikan kos petrol tidak berdaya maju ekoran kejatuhan harga minyak di pasaran dunia.

“Tidak dinyatakan langsung mengenai cara menangani ketirisan, rasuah, tender terbuka dalam beberapa kontrak utama yang akan meningkatkan kos.

“Bagi saya, ketirisan ini jika tidak ditangani, berbahaya dan ini akan meningkatkan lagi kenaikan harga petrol,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan parlimen.

Beliau turut memberi amaran bahawa masalah dalam pelaksanaan GST bukan hanya melibatkan pengecualian cukai tetapi juga pendekatan dalam menangani kenaikan harga.

Sementara itu, ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula melihat bahawa tema “Ekonomi Keperluan Rakyat” itu tidak ditunjukkan dalam inisiatif yang diumumkan Najib.

Jelasnya, Najib tidak menangani isu kronisme melibatkan pengeluar tenaga bebas (IPP) dan 1MDB Corporation yang banyak mendapat perhatian.

“Kesemua isu ini tidak dijawab dan ditangani. Masih ada banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan ianya bajet rakyat,” katanya yang kecewa kerana soal menangani jenayah juga tidak dinyatakan Najib.

Sementara itu, MP Shah Alam, Khalid Samad pula mensasarkan kritikannya ke atas pengumuman Najib mengenai pembinaan dua hospital baru – di Dungun, Terengganu dan Seri Iskandar di Perak.

Beliau sangsi dengan kemampuan kerajaan membina projek tersebut kerana pembinaan hospital di kawasannya juga masih belum siap sejak enam tahun lalu.

“Dijanjikan hospital di beberapa bandar lain. Hospital Shah Alam pun belum siap-siap lagi. Sudah enam tahun tidak siap-siap lagi,” katanya.

MP Pandan, Rafizi Ramli pula mensasarkan kritikannya ke atas ucapan Najib yang memetik satu hadis Nabi untuk mengingatkan peminjam agar melunaskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dengan sinis, beliau mengingatkan Najib mengenai kontroversi pinjaman mudah untuk projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC).

“Saya fikir jika peminjam PTPTN tidak bayar hutang, nanti roh tergantung-gantung. Eh, hutang NFC macam mana? Tergantung di One Menerung?,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian untuk mengaitkan pembelian kondominium mewah oleh individu terbabit dengan NFC.

-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.