Monday, November 10, 2014

Chong Wei nafi guna bahan larangan

Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berkata beliau tidak pernah menggunakan bahan larangan sebagai jalan pintas untuk mencapai pelbagai kejuaraan di dalam mahupun di luar negara.

Pemain nombor satu dunia itu, yang disahkan positif dalam sampel B ujian antidoping Jumaat lepas kerana menggunakan bahan terlarang jenis 'dexamethasone', mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya atas sokongan tidak berbelah bahagi pada masa sukar ketika ini.

"Ada begitu banyak persoalan yang tidak dijawab dan saya harap untuk membersihkan nama saya dalam masa terdekat. Saya tidak sama sekali menipu atau bergantung kepada bahan larangan," katanya di laman sosial Facebooknya hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz menggesa pihak tertentu supaya tidak membuat sebarang ulasan lanjut sehingga panel pendengaran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membuat keputusan kes itu.

"Adalah amat tidak sesuai untuk membuat ulasan lanjut dengan tidak menghormati prosedur BWF dan tindakan ini mungkin akan menjejaskan peluang atlet kita dalam proses sebutan kes.

"Saya benar-benar memahami dan menghormati keinginan masyarakat untuk dimaklumkan tetapi untuk mengimbangi antara keperluan dan keperluan kritikal bagi mengekalkan integriti siasatan terperinci yang dijalankan adalah perkara yang amat penting," kata Dr Ramlan dalam kenyataan di laman Facebook ISN hari ini.

Beliau berkata, adalah penting bagi orang ramai menghormati privasi atlet dalam berdepan dengan cabaran besar kepada nama baik dan reputasinya.

Dr Ramlan meminta pihak tertentu tidak menyalahkan ISN secara langsung atas kegagalan mereka mengawasi sejarah pengambilan ubat Lee.

"Kami tidak merasa terdorong untuk memartabatkan sungutan yang negatif, tidak bertanggungjawab dan tidak produktif dengan sebarang respons kepada mereka pada ketika ini. Kami lebih rela untuk menumpukan usaha bagi terus membantu atlet kita dalam masa yang penuh sukar ini.

"Kami akan melakukannya dengan baik untuk menyokong atlet itu yang memberikan banyak kegembiraan kepada kita semua dengan hasil pencapaian selama bertahun-tahun. Lebih baik kami berdiri di belakangnya dan sabar menunggu proses ini diselesaikan dengan kebanyakan persoalan jika tidak semua akan dijawab," kata Dr Ramlan.

Lee berdepan penggantungan selama 2 tahun oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) namun akan diberi peluang membela diri apabila Jawatankuasa Panel Pendengaran BWF melakukan siasatan dalam usaha mengurangkan hukumannya. – Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.