Thursday, November 6, 2014

Pemuda PAS mahu SIS diharamkan

Timbalan ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, beliau kesal kerana SIS semakin berani mencabar asas Islam.

Katanya, pertubuhan itu juga mempermain-mainkan usaha penguatkuasaan seperti hukuman ke atas wanita Islam yang tidak bertudung di Kelantan.

"Kesemua tindak-tanduk dan pendirian SIS mewajarkan ia diharamkan serta merta tanpa kompromi lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kedegilan SIS itu kini mencetus polemik fahaman dan pegangan umat Islam.

“SIS juga mencabar fatwa pengharamannya oleh Jawatankuasa Fatwa MAIS sebelum ini kerana berpegang kepada pluralisme dan liberalisme agama.

“Secara terang nyata juga, SIS telah mencabar akidah Islamiyah apabila turut mempromosikan pemikiran Yahudi dan Nasrani dengan menyatakan manusia sebagai anak-anak Allah.

“Bermakna SIS menolak keesaan Allah,” kata Muhammad Khalil dalam kenyataannya.

Fatwa berkenaan mewartakan SIS sebagai pertubuhan haram kerana didakwa menganuti dan menyebarkan fahaman agama "liberal dan pluralisme."

“DPPM berpendirian tegas bahawa usaha yang giat dikembangkan SIS dengan menyebarkan fahaman liberal atas nama Islam adalah satu kesesatan terang lagi nyata.

“Ia sama sekali tidak mencapai tujuan Islam diturunkan untuk manusia akhir zaman serta membuka kewenangan kepercayaan, pegangan dan amalan, yakni penyimpangan dari syariat dan manhaj Islam sebenar,” katanya lagi.

Khalil seterusnya mendakwa, SIS diasaskan oleh Amina Wadud yang menurutnya dianggap sebagai tokoh “sesat” oleh “hampir semua ulama”.

“Asas Islam yang disesatkan Amina kepada umum dan pernah menimbulkan kontroversi seluruh dunia rupa-rupanya disambung di negara ini menerusi wadah SIS,” katanya lagi.

-mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Pemuda PAS mahu SIS diharamkan "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx