Saturday, November 22, 2014

Masalah bekalan ikan di Sabah berkurang

KOTA KINABALU: Bekalan ikan di sekitar Kota Kinabalu dijangka terjejas berikutan tindakan para pemilik bot nelayan menghentikan operasi.

Persatuan Pemilik Bot Penangkap Ikan Kota Kinabalu (KKFBOA) menjelaskan, tindakan menghentikan operasi berikutan tekanan yuran yang tinggi dan mengelak kerugian yang lebih besar.

Pengerusinya, Simon Hung berkata, keputusan menghentikan operasi itu dibuat baru-baru ini dalam mesyuarat tergempar dan menggesa kerajaan campur tangan.

Beliau mendakwa, para pemilik terpaksa membayar yuran kira-kira RM1,800 sebulan selepas Pemasaran Perikanan Sabah (Safma) melantik sebuah syarikat persendirian untuk mengutip pelbagai yuran.

Tambahnya, selain pelbagai caj yang dikenakan, pengusaha dan pemilik bot juga berdepan dengan peningkatan harga diesel daripada RM1 kepada RM1.25 kemudian bertambah RM1.45 dan sekarang RM1.65 seliter dalam tempoh dua tahun.

“Harga diesel meningkat sehingga 65 peratus sejak dua tahun yang lalu dan ini merangkumi 60 peratus kos operasi kami. Selepas mengambil kira kos terbabit, ahli-ahli persatuan memutuskan untuk menghentikan operasi bagi mengelak kerugian,” katanya dalam suatu kenyataan.

Sehubungan itu, Hung menjangkakan bahawa bekalan ikan pada bulan-bulan akan datang akan berkurangan dengan Disember merupakan musim rendah bagi kegiatan menangkap ikan.

Beliau juga menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta pihak berkuasa SAFMA Sdn Bhd untuk meneliti masalah ini termasuk mengenakan bayaran yang sama dikenakan terhadap jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Kami menggunakan jeti itu selama 30 tahun dan ianya satu-satunya jeti yang ada di Kota Kinabalu. Kami sebenarnya tidak menentang pembayaran itu tetapi hanya jika kadarnya sama seperti yang dikenakan ke atas LKIM,” katanya menambah caj yang dikenaan juga sentiasa turun naik tanpa rundingan terlebih dahulu dibuat dengan pengusaha bot.

-fmt

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.