Tuesday, July 9, 2013

51 penyokong setia Morsi dibunuh

Sebanyak 42 penyokong setia Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Morsi dibunuh semalam semasa mereka menunjuk perasaan kerana membantah rampasan kuasa oleh tentera pada minggu lalu.

Demonstrasi tersebut dianjurkan oleh pergerakan Islam terbesar di Mesir, Ikhwanul Muslimin.

Pergerakan tersebut menyatakan, penyokong-penyokong mereka menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai oleh polis dan askar yang melepaskan tembakan pada waktu subuh di luar sebuah ibu pejabat unit elit pengawal republikan di sini.

Pihak tentera menyalahkan pengganas berhubung tragedi itu, manakala beberapa saksi kejadian berkata, pasukan keselamatan cuma melepaskan tembakan amaran dan gas pemedih mata ke arah kumpulan tersebut.

Mereka sebaliknya memberitahu, sekumpulan 'samseng' berpakaian preman telah melepaskan tembakan rambang dalam insiden tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, pemangku Presiden, Adly Mansour telah menubuhkan sebuah suruhanjaya kehakiman bagi menyiasat kejadian itu.

Parti Islam Al-Nur yang memenangi hampir satu perempat kerusi Parlimen pada pilihan raya 2011 dan menyokong penggulingan Morsi memberitahu, mereka menarik diri daripada rundingan untuk membentuk sebuah kerajaan baharu susulan insiden berdarah itu.

Seorang wartawan agensi berita AFP di lokasi kejadian memberitahu, penyokong-penyokong Ikhwanul Muslimin membaling batu ke arah anggota polis dan tentera yang berkawal.

Tindakan tersebut katanya, menyebabkan pasukan keselamatan membedil gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.

"Sejumlah penyokong Morsi sedang solat subuh apabila anggota polis dan tentera melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah mereka," kata kata Ikhwanul Muslimin pula.

Seorang pegawai kanan perubatan menyatakan, sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh dan 322 cedera dalam insiden berdarah itu.

Puluhan mayat dilihat disusun di lantai sebuah hospital di sini.

Pihak tentera mendakwa, serangan itu dilakukan oleh kumpulan pengganas bersenjata yang cuba menyerbu ibu pejabat pasukan elit tersebut.

Susulan tragedi itu, sayap politik Ikhwanul Muslimin iaitu Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) menyeru rakyat Mesir supaya bangkit menentang 'pihak yang cuba merampas revolusi mereka menggunakan kereta kebal (tentera)'.

FJP turut menyeru masyarakat antarabangsa campur tangan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Mesir sekali gus mengelakkan sebuah Syria baharu dalam dunia Arab.

Pertumpahan darah itu berlaku beberapa jam sebelum Adly Mansour dijadual mengumumkan pemangku Perdana Menteri Mesir.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menegaskan bahawa AS tidak menyokong mana-mana parti politik atau kumpulan di Mesir susulan penyingkiran Morsi.

Pemerintahan setahun Morsi bergelora selepas beliau dituduh menggagalkan revolusi 2011 yang menggulingkan diktator Hosni Mubarak dengan menumpukan kuasa kepada Ikhwanul Muslimin dan gagal memulihkan ekonomi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.