Tuesday, July 9, 2013

Media Arus Perdana Hanya Akan Bebas Bila BN Kalah?

Datuk A. Kadir Jasin percaya media arus perdana hanya akan bebas seperti media baru apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar New Straits Times itu tersebut mengakui media arus perdana dikawal oleh pemerintah BN dimana polisi dan hala tuju mereka turut ditentukan oleh kerajaan.

"Pemerintah menguasai media arus perdana dan mereka yang berada dalam organisasi terpaksa mengikut polisi yang disediakan," kata A. Kadir dalam dalam satu seminar "GE:13 An Analysis and Aftermath" hari ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam pada itu, A. Kadir berpendapat selagi pemerintah tidak bertukar maka sukar untuk melihat sebarang perubahan serta menegaskan perubahan media yang lebih bebas berlaku negara jiran seperti Thailand dan Indonesia berlaku kerana pertukaran pemerintah.

"Untuk melihat media yang dikawal dan dikuasai oleh kerajaan, dimana media arus perdana akan berubah saya tidak fikir ia akan berlaku.

"Kita lihat contoh negara jiran seperti Thailand dan Indonesia dimana mereka tidak mempunyai masalah ini kerana pemerintah bertukar," tegasnya lagi.

Dalam pada itu, keputusan pilihan raya pada 5 Mei lalu adalah jelas menunjukkan keengganan kerajaan BN untuk berubah meskipun kehilangan sokongan daripada masyarakat Cina dan India berbanding Pilihan Raya 2008.

"Selepas pilihan raya, media arus perdana mengatakan kerajaan tidak kalah walaupun Cina dan India tidak pilih mereka kerana Umno kuat.

"Mereka berkata kami tidak akan berubah dan kamu perlu mengikut jejak kami," kata A. Kadir merujuk kepada keputusan pilihan raya baru-baru ini.

Pencapaian BN dalam Pilihan Raya 2013, lebih buruk daipada 2008.

Kerusi di Parlimen jatuh daripada 140 kepada 133. Manakala bagi kerusi DUN, BN merosot daripada 306 kepada 274 walaupun dapat menawan semula Kedah dan mengesahkan penguasan ke atas Perak.

Isu kebebasan media khususnya arus perdana menjadi perkara yang sering dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat (PR), malahan beberapa pemimpin PR juga telah memenangi beberapa saman ke atas media kawalan kerajaan tersebut atas laporan berat sebelah dan fitnah yang diterbitkan mereka.

Kes terbaru adalah pada minggu lalu apabila bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menang dalam kes fitnah terhadap Utusan Melayu (M) Bhd berkaitan plat WWW1 yang dibeli oleh Sultan Johor.

Bagaimanapun, PR dikatakan mempunyai penguasaan lebih banyak di media baru yang dikatakan adalah penentu kepada keputusan pilihan raya 5 Mei lalu terutamanya media sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan laman-laman berita alternatif lain.

Awal Januari lalu, media melaporkan kedudukan Malaysia yang merosot ke tangga 145 daripada 179 negara lain dalam Indeks Kebebasan Akhbar sedunia. -TMI
xxx2

Komen Anda

23 Responses to " Media Arus Perdana Hanya Akan Bebas Bila BN Kalah? "
Anonymous said...
July 10, 2013 at 11:30 AM

semua media harus bebas


Evanster said...
July 10, 2013 at 2:00 PM

SEMASA berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU-13) 5 Mei lalu, media sekutu pembangkang Malaysiakini memetik satu kenyataan bahawa pengundi hantu dibawa masuk dari Bangladesh tiba di KLIA. Portal berita ini juga membesar-besarkan kes dakwat kekal luntur dan ini bermakna pengundi boleh mengundi lebih daripada sekali. Malaysiakini juga melaporkan kononnya berlaku bekalan elektrik terputus di sebuah pusat pengiraan undi. Taktik portal ini ialah menyiarkan berita dari Bernama kemudian membuka ruang forum supaya orang ramai menghentam agensi seperti SPR, polis dan tokoh dalam kerajaan.


Evanster said...
July 10, 2013 at 2:02 PM

Sementara akhbar rasmi Pas, Harakah beberapa bulan lalu melaporkan semuka penuh "berita" bahawa saya telah dipecat oleh Kumpulan Utusan kerana bersetuju dengan pembunuhan Duta Amerika Syarikat (AS) di Libya. Tetapi faktanya saya tidak menerima apa-apa teguran daripada Kumpulan Utusan berhubung tulisan saya itu.-KU SEMAN KU HUSSAIN


Evanster said...
July 10, 2013 at 2:03 PM

Ini membuktikan berita-berita yang disiarkan oleh media sekutu pembangkang sebahagian besarnya adalah palsu. Hingga hari ini tidak ada petisyen yang dikemukakan mengenai warga Bangladesh yang didakwa pengundi hantu. Tidak ada petisyen mengenai seorang pengundi mengundi lebih sekali kerana dakwat kekal mudah luntur. Dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan gambar pusat pengiraan undi terputus bekalan elektrik di media sekutu pembangkang adalah palsu. Mengikut siasatan SPR, gambar itu dilakonkan sebelum PRU-13.


Evanster said...
July 10, 2013 at 2:04 PM

Adakah laporan media sekutu pembangkang seperti contoh di atas menepati etika kewartawanan mesti melaporkan dengan fakta, bukan hanya "dengar khabar"? Pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-pembangkang mendakwa negara ini tidak ada kebebasan media. Ironinya media sekutu mereka bebas melaporkan berita yang ternyata palsu.

Sekiranya tidak ada kebebasan media, sudah tentu Malaysiakini, Malaysian Insider, Harakah atau Suara Keadilan tidak bebas menyiarkan fakta yang direka-reka. Cuba tanya dalam masa lima tahun ini berapa kali Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengheret pemilik media sekutu pembangkang serta pemilik akaun media sosial yang menyebarkan pembohongan ke muka pengadilan?


Evanster said...
July 10, 2013 at 2:17 PM

Negara ini mengamalkan kebebasan media dan kewartawanan yang beretika khususnya media bukan sekutu pembangkang. Tetapi kebebasan itu bersyarat, menyiarkan perkara yang memudaratkan negara tidak boleh dianggap satu kebebasan. Tidak ada tolak ansur terhadap perkara yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Hakikatnya di mana-mana negara di dunia tidak wujud kebebasan media yang mutlak. Kebebasan media adalah bersyarat yang pada asasnya mesti mendukung prinsip keamanan dan kesejahteraan awam. Bebas hingga tidak ada sempadan adalah tidak bebas.


Evanster said...
July 10, 2013 at 2:18 PM

Di AS misalnya, media di sana kelihatan bebas apabila menentang dan menelanjangkan peribadi Presiden. Perkara ini berlaku kerana ada media dikuasai oleh parti yang berlawanan, tidak kira sama ada parti Demokrat atau Republikan. Apabila media mengikut telunjuk parti, tidak ada kebebasan yang dicari. Ini berlaku kepada pembangkang.

Seperkara lagi yang perlu ditekankan ialah definisi "media arus perdana" yang sebelum ini dirujuk kepada Utusan Malaysia, Berita Harian, NST, The Star serta stesen TV3 dan RTM. Definisi ini sudah tidak relevan lagi atas beberapa sebab.


Evanster said...
July 10, 2013 at 2:19 PM

Salah satunya media sekutu pembangkang juga bertaraf arus perdana dari segi jumlah pengikutnya. Pengikut Malaysiakini, Malaysian Insider serta pembaca Harakah kalau disatukan sudah melebihi media yang dikatakan arus perdana sebelum ini.

Ini membuktikan media arus perdana di negara ini dipunyai oleh pembangkang dan kalau media itu tidak bebas, pembangkanglah yang mengongkongnya, bukan kerajaan. Kalau kerajaan mengongkong sudah tentu hayat media itu sudah lama berakhir. Tidak ada kebebasan media mungkin benar apabila media seperti Malaysiakini tidak bebas mengkritik terutama kepada Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.


Evanster said...
July 10, 2013 at 2:20 PM

HAK ASASI

Sebagai makluman, konsep kebebasan media memang ada termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia dan diluluskan oleh PBB pada 10 Disember 1948. Artikel 19 deklarasi ini menyatakan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk bersuara dan memberi pendapat. Bagaimanapun Artikel 29(2) pula menyebut bahawa kebebasan ini tertakluk kepada undang-undang khusus.


Evanster said...
July 10, 2013 at 2:21 PM

Dalam konteks negara ini, kebebasan media tidak dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan, cuma Fasal 10(1)(a) memaktubkan bahawa fasal ini tertakluk kepada Fasal (2),(3) dan (4) iaitu setiap warganegara mempunyai hak untuk memberi pendapat. Ini boleh difahami bukan sahaja memberi pendapat kepada sekelompok yang kecil tetapi disiarkan menerusi media.

Tetapi hak untuk memberi pendapat adalah berbeza dengan menyebarkan fakta palsu yang dianggap kebebasan media oleh sesetengah pihak. Kebebasan media bukanlah bermakna boleh menyebarkan fakta palsu terhadap kerajaan, dan tiada kebebasan media pula apabila kerajaan mengambil tindakan kepada penyebar berita palsu.


Evanster said...
July 10, 2013 at 2:21 PM

Kerajaan perlu mengkaji semula kebebasan yang diberikan kepada media terutama sekutu pembangkang kerana ternyata ini suatu yang tidak adil kepada satu pihak lagi yang mendukung etika kewartawanan demi kesejahteraan negara. Utusan Malaysia misalnya tidak menuntut diberi kebebasan yang mutlak, tetapi pengawasan dan tindakan perlu dikenakan kepada media sekutu pembangkang yang melanggar etika serta menggerakkan agenda meruntuhkan negara.


Evanster said...
July 10, 2013 at 2:22 PM

Pembohongan, fitnah dan pencerobohan sempadan peribadi dilakukan dengan sebebas-bebasnya oleh media sekutu pembangkang. Perbuatan ini boleh mengubah persepsi masyarakat bahawa itu suatu yang benar, dan yang benar dianggap sebaliknya.

Pembangkang menjadikan indeks yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RTB) yang dibiayai oleh penyangak mata wang, George Soros sebagai tanda aras rendahnya kebebasan media di Malaysia. Disebabkan media sekutu pembangkang juga bertaraf arus perdana dan tidak bebas mengkritik pembangkang, itu juga tidak ada kebebasan media.


Media Malaysia memang bebas la! said...
October 6, 2013 at 10:57 AM

Kemunculan semakin banyak media sosial dan portal berita menyebabkan Malaysia tidak dapat mengelak daripada bergerak ke arah menyediakan platform media yang lebih bebas, kata Editor Eksekutif The Sun, Balan Moses.


Media Malaysia memang bebas la! said...
October 6, 2013 at 10:59 AM

Beliau berkata, kewujudan semakin banyak sumber maklumat pula memberi pilihan kepada penonton untuk memperoleh berita daripada pelbagai sumber.


Media Malaysia memang bebas la! said...
October 6, 2013 at 10:59 AM


Bahasa
Malaysia menuju media lebih bebas, kata panelis forum

September 25, 2013

Facebook antara laman sosial popular.Facebook antara laman sosial popular.Kemunculan semakin banyak media sosial dan portal berita menyebabkan Malaysia tidak dapat mengelak daripada bergerak ke arah menyediakan platform media yang lebih bebas, kata Editor Eksekutif The Sun, Balan Moses.

Beliau berkata, kewujudan semakin banyak sumber maklumat pula memberi pilihan kepada penonton untuk memperoleh berita daripada pelbagai sumber.

"Saya percaya kerajaan terpaksa membenarkan wujudnya media yang lebih bebas kerana orang ramai tidak boleh dihalang daripada mendapatkan maklumat melalui pelbagai sumber yang disediakan untuk mereka," katanya pada forum bertajuk Media dan Integriti di Kuala Lumpur, semalam.


Media Malaysia memang bebas la! said...
October 6, 2013 at 11:00 AM

Forum itu adalah anjuran bersama Institut Integriti dan Institut Akhbar Malaysia sebagai sebahagian daripada program untuk peserta yang menghadiri Program Fellowship Kewartawanan Antarabangsa 2013.


Media Malaysia memang bebas la! said...
October 6, 2013 at 11:00 AM

Moses berkata, kemunculan semakin banyak media sosial juga mendesak media arus perdana supaya bersikap lebih adil dan tepat dalam laporan mereka.


Media Malaysia memang bebas la! said...
October 6, 2013 at 11:00 AM

"Kita tidak boleh lari daripada hakikat ini. Mungkin kita mempunyai agenda, tapi jika mereka tidak suka membaca berita kita, mereka boleh membaca berita dalam akhbar lain atau portal untuk mendapatkan pandangan lebih berimbang," katanya sambil menambah bahawa sesebuah organisasi media akan hilang kredibilitinya apabila didapati tidak membuat laporan dengan tepat.


Media Malaysia memang bebas la! said...
October 6, 2013 at 11:00 AM

Seorang lagi anggota panel, penulis blog Mohamad Zakhir Mohamad, yang mengendalikan blog 'Big Dog', berkata penulis blog juga perlu mementingkan integriti dalam laporan mereka untuk mendapat dan mengekalkan kepercayaan pembaca.


Media Malaysia memang bebas la! said...
October 6, 2013 at 11:01 AM

Ketua pegawai operasi Media Prima Digital, Datuk Zainul Arifin, berkata setiap organisasi media pasti terikat dengan agenda perniagaan atau politik orang yang memiliki organisasi itu.


Media Malaysia memang bebas la! said...
October 6, 2013 at 11:01 AM

Bagaimanapun, beliau berpendapat mempunyai agenda bukan suatu kesalahan kerana itulah yang ingin dijual sesebuah organisasi media kepada orang ramai.


Media Malaysia memang bebas la! said...
October 6, 2013 at 11:02 AM

"Jika sesuatu media itu tidak mempunyai agenda, samalah seperti anda membaca menu. Tetapi, perkara yang tidak boleh anda lakukan ialah berbohong, menyelewengkan kebenaran dan memutar belit fakta," katanya


Vogok Salai said...
October 6, 2013 at 11:03 AM

Bagaimana pula dengan media pembangkang? Media mereka hanya tahu memburukkan kerajaan... puii!


Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx