Sunday, February 23, 2014

Cadangan buang perkataan ‘bangsa’ bererti hapus keistimewaan Melayu

Ibrahim berkata majoriti rakyat Malaysia adalah kaum Melayu, dan mereka masih ketinggalan, oleh itu perkataan 'bangsa' masih perlu dikekalkan. – Gambar fail.Perkasa mendakwa cadangan supaya perkataan "bangsa" dibuang bererti ianya satu cubaan menghapuskan hak kaum Melayu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali mendakwa cadangan yang dilontarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup tersebut, berniat jahat.

"Cadangan menghapuskan perkataan bangsa dalam setiap borang adalah melampau dan mempunyai niat jahat terhadap bangsa Melayu," kata Ibrahim dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Ibrahim berkata cadangan tersebut bertujuan menggugat hak keistimewaan kaum Melayu khususnya.

"Menghapuskan perkataan bangsa dalam apa jua borang bererti menghapuskan Perkara 153 Perlembagaan, terutamanya hak istimewa Melayu.

"Apakah tujuan Joseph Kurup membuat cadangan ini? Mungkin alasan 'perpaduan', tetapi apakah kertas boleh halang perpaduan? Kenapa Joseph Kurup tidak cadangkan sekolah satu aliran untuk perpaduan?" kata Ibrahim yang mempersoalkan niat menteri tersebut.

Kurup pagi ini berkata sudah sampai masanya perkataan "bangsa" dibuang daripada semua borang rasmi di negara ini, bagi membentuk satu identiti nasional.

Beliau berkata sedih melihat rakyat Malaysia masih dipisahkan oleh bangsa dan agama selepas lebih 50 tahun mengecapi kemerdekaan.

"Mungkin sampai waktunya kita membuang keperluan untuk meletakkan 'bangsa' dalam semua borang di negara ini," kata Kurup ketika merasmikan dialog pertama Majlis Konsultatif Perpaduan Nasional (MKPN) yang pertama pagi tadi.

Ibrahim bagaimanapun menegaskan perkataan bangsa masih diperlukan, memandangkan kaum Melayu masih ketinggalan.

"Pengenalan bangsa penting dalam borang selagi mana bangsa Melayu masih ketingalan dalam banyak perkara.

"Maka urusan dalam pentadbiran perlu mengenali nama mengikut bangsa," kata Ibrahim.

Ibrahim juga berkata majoriti rakyat Malaysia adalah kaum Melayu, oleh sedemikian, perkataan bangsa masih perlu dikekalkan.

"Sesebuah negara ada bangsa dan agama dominannya mengikut sejarah, seperti apa jua warisan sejarah," katanya.

Ibrahim juga memberi amaran supaya Putrajaya tidak tunduk kepada cadangan tersebut jika tidak mahu hilang sokongan masyarakat Melayu, khususnya bagi Umno.

"Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, jika bersetuju dengan cadangan Kurup ini hanya akan memberi ruang lebih ramai Melayu tidak akan sokong Umno.

"Hati-hati dengan setiap cadangan," katanya.

Presiden Perkasa tersebut juga sebelum ini membidas MKPN yang dianggap tidak sesuai untuk menasihati Putrajaya mengenai isu agama dan bangsa, dan menggesa majlis itu dimansuhkan dan digantikan dengan NGO Melayu yang akan menggalakkan "perpaduan sebenar dan betul". – TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.