Wednesday, February 26, 2014

Kerugian MAS, punca BR1M dikurang kepada RM650

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kerugian yang dialami Malaysia Airlines (MAS) berjumlah RM4.1 bilion dalam tiga tahun sejak 2011, menyebabkan keluarga berpendapatan kurang RM3,000 sebulan hanya menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM650, bukannya RM1,200 seperti dijanjikan Barisan Nasional (BN) dalam Manifesto PRU-13 lalu.

Katanya, DAP juga tidak bersetuju cadangan Singapore Business Times supaya MAS diisytihar muflis, kerana ia bukan sahaja memalukan malah memberi kesan buruk ke atas pekerja syarikat penerbangan negara itu.

Bagaimanapun, menurut beliau, Khazanah mesti menyediakan satu pelan konkrit untuk menyelamatkan MAS, termasuk melaksanakan tender terbuka kompetitif yang menjadi amalan antarabangsa dan penilaian berasaskan prestasi untuk semua pekerja, termasuk pengurusan tertinggi.

MAS mengalami kerugian sebanyak RM1.17 bilion tahun lalu, RM433 juta pada 2012 dan RM2.5 bilion pada 2011.

Kerugian tiga tahun berjumlah RM4.1 bilion hampir mencukupi untuk menampung perbezaan RM650 yang memerlukan sebanyak RM4.5 billion untuk menaikkan bayaran BR1M kepada RM1,200.

Singapore Business Times sebelum ini mencadangkan MAS diisytiharkan muflis bagi membenarkan permulaan baru yang diperlukan untuk memulihkan semula syarikat penerbangan bermasalah itu kerana MAS buntu menyelesaikan masalah lebihan kakitangan dan “kontrak perolehan berat sebelah” dalam hal penyelenggaraan sehingga ke katering makanan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, tiada siapa yang terkejut bahawa kronisme dan tipu muslihat adalah satu daripada punca utama kerugian berterusan MAS.

“Langsung tidak ada rasa krisis atau pelan pemulihan yang dilaksanakan MAS untuk mengekang kerugian kewangan berterusan ini walaupun MAS mungkin berfikir bahawa kerugian itu mampan kerana MAS masih mempunyai baki tunai sebanyak RM3.9 bilion pada akhir tahun lalu.

“Adalah sangat tidak bertanggungjawab dan berbahaya untuk MAS meneruskan “perniagaan seperti biasa” dan Khazanah, pemilik MAS mesti melakukan penyelesaian tuntas dengan menerima hakikat bahawa MAS tidak berdaya maju dengan struktur kos semasa.

“Walaupun dengan subsidi dan geran berpuluh bilion yang diberikan pembayar cukai Malaysia, membuktikan MAS tidak boleh bersaing dengan Air Asia, yang menunjukkan kejayaan luar biasa keusahawanan Malaysia walaupun tidak mendapat bantuan satu sen pun daripada pembayar cukai Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambahan pula, katanya, syarikat tambang murah baru Malindo Air hanya akan memburukkan lagi prestasi MAS.

Menurut Guan Eng, Kementerian Pengangkutan nampaknya tidak berusaha menjalankan projek infrastruktur secara kos efektif, sepertimana yang dibuktikan dengan peningkatan limpahan kos dan kelewatan dalam projek KLIA2.

Daripada bajet awal sebanyak RM1.6 bilion, kos KLIA2 melonjak kepada RM4 bilion dan mengalami kelewatan tiga tahun serta melanggar tarikh akhir sebanyak tiga kali, malah keselamatan awam digunakan sebagai alasan kelewatan itu.

Beliau berkata, masanya sudah tiba untuk Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenepikan ego demi kepentingan negara dan bekerjasama dengan pengasas Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes.

“Jika Hishammuddin enggan menerima kepakaran Tony Fernandes, yang dengan tajam mengingatkan bahawa Terminal Penerbangan Kos Rendah di Sepang hanya bernilai RM250 juta berbanding KLIA2 yang kini mencecah RM4 billion, maka negara kita yang akan rugi,” katanya.

-roketkini

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.