Tuesday, February 11, 2014

Umno dan PKR langgar undang-undang pilihan raya

Bersih 2.0 menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana berdiam diri terhadap kedua-dua Umno dan PKR yang melanggar undang-undang kerana berkempen sebelum bermula waktunya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Maria Chin Abdullah berkata ketiadaan tindakan oleh SPR akan menunjukkan mereka tidak serius dalam menangani salah laku dalam PRK Kajang. – Gambar fail.Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, tindakan SPR ini menunjukkan bahawa mereka tidak serius dalam menangani salah laku dalam PRK Kajang dan menyebabkan ianya berlarutan.

"Undang-undang PRK harus diperhatikan oleh SPR, dan sehingga kini, prestasi mereka masih belum memuaskan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menjawab kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, dalam akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, bahawa ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melanggar undang-undang dengan mengadakan kempen PRK sebelum tarikh penamaan calon.

Abdul Rahim berkata, polis sendiri akan membuat laporan polis untuk menyiasat Anwar kerana melanggar undang-undang dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Polis juga dilaporkan sedang menjalankan siasatan ke atas laporan yang diterima daripada penduduk Kajang, serta kenyataan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) bahawa Anwar melanggar undang-undang kerana berkempen lebih awal.

Anwar, yang juga calon PKR untuk PRK Kajang menganjurkan majlis dan sesi bertemu rakyat antara jam 5 petang hingga 7 malam di dewan masyarakat dan ceramah malam untuk menjelaskan langkahnya bertanding di Kajang.

"Kedua pihak (BN dan PKR) sudah memulakan kempen, kempen BN bermula dengan ugutan dan memburukkan pihak lain." katanya

Beliau memberi contoh kepada ugutan oleh bekas menteri Kabinet, Tan Sri Zainuddin Maidin terhadap kaum Cina di Kajang baru-baru ini.

Zainuddin berkata warga Cina diberikan 'peluang keemasan' untuk mengaut semula kepercayaan orang Melayu susulan daripada 'Tsunami Cina' pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"PRK Kajang bukan merupakan peluang untuk orang Melayu menebus 'Tsunami Cina'. Sebaliknya, ia harus dilihat sebagai peluang keemasan untuk masyarakat Cina mengubah persepsi orang Melayu, bahawa masyarakat Cina tidak boleh dipercayai lagi sebagai rakan politik.

"Tidak boleh dinafikan bahawa kepercayaan ini musnah berikutan 'Tsunami Cina'," katanya dalam blog beliau, Zamkata.

Kenyataan beliau itu dikutuk oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menggelar bekas menteri itu, 'tidak bertanggungjawab' dan 'rasis'.

Bersih berkata, kenyataan Zainuddin itu boleh dilihat sebagai melanggar undang-undang pilihan raya.

Bagaimanapun, Maria bersetuju dengan tindakan SPR yang menyelar kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, yang mengumumkan Umno akan menggunakan kes rayuan liwat kedua Anwar sebagai strategi kempen BN untuk PRK Kajang.

"Akhirnya, SPR bersuara. Bersih 2.0 bimbang jika SPR tidak akan menjalankan pilihan raya bersih dan adil dan terus berdiam dalam isu penting yang melibatkan pilihan raya," katanya.

Sebelum ini, Anwar menafikan beliau melanggar undang-undang dengan berkempen awal di Kajang dan menuduh dakwaan itu sebagai tidak berasas.

Beliau bertegas BN sudah melancarkan kempen agresif terhadap beliau di media yang dikawal mereka, dan hanya akan bersetuju dengan dakwaan tersebut sekiranya ia datang daripada SPR sendiri.

Minggu lalu, SPR menetapkan tarikh 23 Mac untuk PRK Kajang, dan 11 Mac untuk hari penamaan calon.

PRK tersebut diadakan berikutan peletakan jawatan Lee Chin Cheh, pada 27 Januari. – TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.