Friday, February 28, 2014

Michael Chia dihukum: PKR gesa siasatan terhadap Musa Aman

PKR menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berikutan hukuman penjara dan sebatan terhadap peniaga balak, Michael Chia semalam.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, kejayaan pendakwaan SPRM terhadap Chia membuktikan SPRM berkemampuan mengumpul bukti yang baik untuk memastikan pendakwaan berjaya.

"Hukuman bersalah ke atas Michael Chia itu menghidupkan kembali banyak pertanyaan mengenai siapa di belakangnya?

"Sebab itu, keputusan bersalah yang dijatuhkan kepada Michael Chia menguatkan spekulasi mengenai kes wang RM40 juta yang sebelum ini menjadi kontroversi melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut ahli Parlimen Pandan itu, fakta kes tersebut sebelum ini melalui pelbagai bukti pemindahan wang, keterangan SPRM dan maklumat daripada ICAC di Hong Kong yang menunjukkan memang ada pemindahan wang berjumlah RM40 juta tetapi ia tidak disiasat sebagai rasuah kerana wang itu dikatakan derma politik kepada Umno Sabah.

"Keputusan bersalah terhadap Michael Chia ini juga adalah satu tamparan kepada Datuk Seri Nazri Aziz yang mempunyai hubungan dengan Michael Chia terutama apabila anak beliau menggunakan kereta mewah milik Michael Chia seperti yang saya dedahkan sebelum ini.

"Apatah lagi apabila Datuk Seri Nazri Aziz sendiri yang tampil di Parlimen menjelaskan bahawa tidak ada unsur rasuah di dalam kes-kes melibatkan Datuk Seri Musa Aman dan Michael Chia yang mengundang kontroversi sebelum itu," kara Rafizi.

Rafizi sebelum ini pernah membuat laporan kepada SPRM terhadap Nazri dan keluarganya dengan tuduhan Chia memberi anak menteri tersebut kenderaan mewah bagi membebaskan dirinya daripada tuduhan rasuah.

Rafizi juga memaparkan tujuh video pengintipan sebagai bukti tambahan dengan video yang menunjukkan keluarga Nedim yang merupakan anak Nazri menggunakan kenderaan mewah Chia.

Video itu menunjukkan perjalanan Hummer dari kediaman kondominium mewah di Damansara Heights itu, di mana Nedim dan keluarganya dikatakan tinggal di rumah tersebut.

Rafizi juga menunjukkan dalam video tersebut kereta Audi hijau, yang didakwa dipandu oleh Nedim, dan Toyota Vellfire hitam yang dipandu isterinya.

Menurut Rafizi, kenderaan Hummer tersebut selalunya digunakan oleh pemandu peribadi keluarga dan pengawal peribadi mereka dan digunakan sebagai kenderaan “menyimpan barang”. -TMI
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Michael Chia dihukum: PKR gesa siasatan terhadap Musa Aman "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx