Thursday, October 2, 2014

Minyak & GST jadikan 2015 tahun rakyat merana?

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap 2015 sebagai tahun "amat dahsyat" bagi rakyat marhaen yang menetap di bandar dengan pendapatan rendah dan pertengahan.

Katanya, hal demikian disebabkan kenaikan harga barang dan inflasi susulan kenaikan harga minyak semalam, ditambah pula dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April depan.

"Kerajaan usahlah perbodohkan rakyat lagi dengan langkah-langkah mendenda bagi menghalang peruncit, pemborong dan pengusaha restoran untuk menaikkan harga.

"Impak kepada inflasi akibat kenaikan RM0.20 ini bakal dirasai sepenuhnya dalam jangka tiga bulan.

"Perkara ini akan diburukkan lagi apabila GST dilaksana pada bulan April," katanya.

Beliau mengulas langkah kerajaan merasionalisasi subsidi petrol, menyebabkan kenaikan petrol RON95 dan diesel sebanyak RM0.20, demi memastikan kedudukan kewangan negara kukuh.

Bagi mengukuhkan hujahnya, Tuan Ibrahim memetik laporan "2H2014 Economic Outlook: External Positives Amidst Domestic Challenges”, yang menyebut bahawa inflasi bakal meningkat mendadak dalam dua tahun pertama cukai itu dilaksanakan.

Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang berkata Malaysia "tidak akan terlepas" untuk berdepan kenaikan inflasi seperti yang dialami Australia, Singapura dan China selepas dua tahun pertama cukai itu dilaksanakan.

Katanya, di Australia, sebelum GST dilaksanakan, kadar inflasinya hanya 1.8 peratus tetapi melonjak kepada enam peratus selepas GST dilaksanakan, tetapi menurun kepada 2.9 peratus selepas dua tahun dilaksanakan.

"Tetapi masih sekali ganda lebih tinggi daripada sebelum GST terlaksana.

"Begitu juga di Singapura dan China. Sebelum GST dilaksanakan, (masing-masing) inflasi hanya sekadar 0.8 peratus dan 10.5 peratus.

"Pada tahun GST dilaksanakan, inflasi di Singapura melonjak ke 5.4 peratus manakala China 24.2 peratus sebelum turun ke 2.3 peratus bagi Singapura dan 12.7 peratus bagi China selepas dua tahun," katanya.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi perkara itu dan menegaskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM1,000 - purata RM83.33 sebulan - tidak dapat membantu rakyat marhaen menghadapi inflasi.

"Ditambah pula dengan kesan inflasi akibat kenaikan harga minyak sekarang, tahun 2015 dijangka menjadi sangat dahsyat kepada rakyat marhaen," katanya.

-mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Minyak & GST jadikan 2015 tahun rakyat merana? "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx