Thursday, October 2, 2014

Minyak naik bukti kelemahan ekonomi negara

SHAH ALAM – Pengumuman mengenai pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel yang dikurangkan sebanyak 20 sen seliter lewat malam tadi hanya akan menaikkan kemarahan rakyat sekali gus akan boleh mengancam survival politik Umno-BN pada PRU14.

Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary mendakwa, tindakan kerajaan pada saat akhir hanya mencerminkan ketidakupayaan Umno-BN untuk terus kekal menerajui Putrajaya pada penggal akan datang.

"Ia akan membawa kepada keputusan bersama bahawa negara ini tidak lagi layak ditadbir oleh Umno-BN.

"Pengumuman kenaikan harga petrol RON95 dan diesel oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) adalah sangat mengecewakan dan tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan.

Mulai 12.01 tengah semalam, RON95 akan dijual pada harga RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20.

Penyelarasan harga itu dibuat ekoran pengurangan subsidi sebanyak 20sen dan perkara itu diumumkan oleh KPDNKK melalui kenyataannya, semalam.

Tambahnya lagi, pengurangan subsidi bahan api itu sekali gus menyanggah kenyataan pemimpin Umno-BN yang mengatakan prestasi ekonomi negara dalam keadaan baik.

"Setiap rakyat yang beratur panjang di stesen pam minyak seluruh negara adalah bukti betapa ramai rakyat yang terhimpit ekonomi mereka walaupun di saat pemimpin Umno-BN berdegar-degar berbangga dengan dakwaan prestasi ekonomi negara yang baik.

"Setiap rakyat pasti membantah pengurangan subsidi ini dan mempersoalkan di manakah menteri atau wakil rakyat UMNO," katanya lagi.

Dalam pada itu, Pemuda Pas turut melahirkan rasa kesal ke atas kenaikan harga minyak secara tiba-tiba yang diumum kerajaan petang semalam.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat, kerajaan sepatutnya memberikan notis awal kepada pengguna bagi mengelakkan suasana panik menyelubungi rakyat Malaysia.

"Keputusan menaikkan harga minyak petrol RON95 sebanyak RM0.20 sen dan diesel mulai 1 Oktober menjadikan harga petrol RON95 RM2.30 seliter sementara diesel dijual pada harga RM2.20.

"Apa yang mengecewakan adalah tindakan kerajaan pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel dalam keadaan tergesa-gesa tanpa notis awal kepada rakyat sehingga timbul suasana panik dan kelam kabut untuk mengisi minyak sebelum jam 12.00 malam tadi," katanya.

Suhaizan melalui satu kenyataan hari ini turut mempersoal punca pengurangan subsidi minyak yang diumum kerajaan semalam.

"Adakah pemimpin negara sudah kekeringan idea sehingga mengambil langkah drastik menaikkan harga minyak tanpa memikirkan impak dan kesan ke atas rakyat?

"Bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar minyak tetapi rakyat tetap dibebankan dengan kenaikan minyak?" soalnya.

-sinar harian
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Minyak naik bukti kelemahan ekonomi negara "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx