Wednesday, October 8, 2014

Rosmah diselar guna pesawat kerajaan untuk kepentingan peribadi

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyelar tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang enggan mendedahkan kos penerbangan yang membawa isteri Perdana Menteri Datin Rosmah Mansor ke Padang, Indonesia.

“Secara jelas, isteri Perdana Menteri telah menyalahgunakan kemudahan dan harta milik kerajaan untuk kepentingan peribadi.

Pada 27 Ogos lalu, Rosmah telah terbang ke Padang, Indonesia untuk menerima satu anugerah dari komuniti Minangkabau.

Sebelum ini, gesaan yang sama dibuat oleh Anthony Loke apabila beliau meminta pihak kerajaan mendedahkan tujuan penggunaan pesawat NR1 dengan nombor pendaftaran 9M-NAA pada 27 Ogos lalu.

Gesaan dari dua ahli parlimen tersebut dibuat berikutan penerbangan Rosmah ke Qatar pada Mac lalu mencecah kos RM426,489.46.

Anthony turut terkilan kerana pihak menteri di Jabatan Perdana Menteri enggan memberikan jawapan terperinci.

“Mengapa butiran dan kos terperinci itu dirahsiakan, dan adakah ia bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap pihak kerajaan,” soalnya.

Dalam satu jawapan bertulis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyatakan bahawa pesawat pengangkut VIP Airbus A319CJ untuk penerbangan dari KLIA ke Padang, Indonesia merupakan pesawat rasmi kerajaan.

“Ia hanyalah digunakan atas urusan Perdana Menteri dan segala kos yang terlibat dalam penerbangan tersebut adalah dalam anggaran yang bersesuaian dengan perkhidmatannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pesawat itu dikesan laman web pengesan pesawat FlightRadar24 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Padang dan ke Singapura sebelum kembali semula ke KLIA pada 27 Ogos.-FMT

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.