Monday, October 6, 2014

Sampai bila PR mahu bercakaran?

SHAH ALAM – Pas disifatkan silap besar sekiranya meneruskan niat untuk bercakaran dengan parti sekutunya dalam PR, PKR dan DAP.

Pemerhati politik menyifatkan, ketiga-tiga parti itu harus mengakui bahawa mereka saling memerlukan antara satu sama lain bagi membentuk kuasa yang lebih kuat untuk mengalahkan musuh politik, BN.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, Pas tidak seharusnya meneruskan percakaran dengan rakan komponennya demi tidak menjejaskan kepercayaan pengundi kepada pakatan itu dalam pilihan raya akan datang.

“Jika Pas keluar PR, memang DAP dan PKR akan terjejas. PR akan mempunyai kekuatan yang sendiri tapi tidak sama dengan adanya Pas di dalam itu.

“Jadi, mereka ini saling memerlukan dan melengkapi. Justeru Pas, saya percaya akhirnya akan sampai kepada kewarasan dan kebijaksanaannya untuk kekal dalam PR,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau turut mempersoalkan sampai bila parti-parti itu akan menghentam antara satu sama lain dan terus memburukkan keadaan.

“Sampai bila mereka harus saling menghentam? Pas hentam DAP atau PKR dan mereka pula menghentam Pas, ini tidak akan menyelesaikan masalah tapi akan memburukkan keadaan.

“Ia akan menjejaskan bukan saja reputasi Pas tapi kesemua parti komponen PR. Seterusnya merugikan kesemua pihak dalam PR itu.

“Jadi, yang menerima padahnya ialah PR, sebagai satu pakatan. Bukan saja untuk sekarang tapi pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat, luahan perasaan berapi Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang pada sidang Muktamar Pas yang lalu seolah-olah membuka laluan kepada pimpinan lain untuk turut bersuara.

“Saya lihat ulasan yang diberi Presiden Pas semacam memberi lampu hijau kepada pimpinan Pas yang lain untuk bersuara, bukan dia (Abdul Hadi) saja.

“Nampaknya, kalau begini keadaannya, saya rasa jangka hayat Pas dalam PR mungkin tidak lama,” katanya.

Menurutnya, keputusan Pas yang akhirnya tampil bersuara itu ekoran timbul rasa muak dengan tekanan demi tekanan yang dibuat parti rakannya itu ditambah dengan isu pelantikan Menteri Besar Selangor.

“Saya rasa begitu (pimpinan Pas sudah muak dengan tekanan PKR dan DAP). Mereka dah muak dengan pelbagai...dah bosan kerana tidak ada pembaharuan ataupun tidak ada penyelesaian pun.

“Mereka hanya menyuarakan rasa tidak puas hati tapi penyelesaian tidak ada. Sepatutnya mereka ini kena duduk berbincang.

“Tapi saya difahamkan, pimpinan PR ini tidak bersemuka. Jadi susah juga untuk selesaikan masalah ini.

“Mereka ini hanya menyatakan rasa tak puas hati ini melalui media untuk melepaskan rasa itu,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi membidas pihak yang ‘mencuri’ dua Adun Pas bagi menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Abdul Hadi mendakwa terdapat 'broker' dan 'barua' yang mencuri dua Adun Pas itu untuk menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR itu untuk jawatan tersebut.

Sementara, pimpinan Pas seperti AJK Pas Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Nasrudin Hassan serta Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki lantang mengkritik DAP dan PKR termasuk mendakwa parti itu menjadi mangsa buli parti komponen PR.

-sinar harian
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Sampai bila PR mahu bercakaran? "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx