Tuesday, March 11, 2014

Gambar Sekitar Penamaan Calon PRK Kajang

Dr Wan Azizah dikatakan bakal memperoleh kemenangan besar di PRK Kajang. - Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 11 Mac, 2014.Hari ini, pemimpin dan penyokong PAS, DAP dan PKR di dua majlis utama, Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan keputusan perbicaraan Karpal Singh di Mahkamah Tinggi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyertai Anwar dan isterinya yang menjadi calon di Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah di pusat penamaan calon pagi tadi.

Abdul Hadi sama-sama Anwar dan lain-lain pimpinan PR khasnya dari PKR berada di atas pentas ketika Dr Wan Azizah disahkan sebagai calon oleh pegawai pengurus PRK DUN Kajang.

Dr Wan Azizah akan bertembung satu lawan satu dengan calon BN dari MCA Datin Paduka Chew Mei Fun pada 23 Mac ini.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan setiausaha agung Datuk Mustafa Ali bersama-sama Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberikan sokongan moral kepada Karpal yang dijatuhkan hukuman denda RM4,000 sekaligus menghilangkan haknya sebagai anggota Parlimen Bukit Gelugor.

Hubungan PAS dan PKR khasnya antara Abdul Hadi dengan Anwar kurang baik ekoran "Langkah Kajang". Ia diakui sendiri oleh Anwar ketika berucap dalam Konvesnyen PR Sabtu lepas.

"Benar kita ada masalah tetapi ia tidaklah sampai memecahkan hubungan yang sudah terjalin sekian lama dengan Datuk Seri Abdul Hadi," kata Anwar di Dewan Konvensyen Setia City Mall, Shah Alam.

PAS dikatakan tidak bersetuju dengan Langkah Kajang kerana ia bertujuan untuk menukar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Ini kerana bagi PAS, Khalid adalah calon menteri besar bersama antara PAS, PKR dan DAP bukan calon PKR sahaja.

"Saya yakin hukuman ke atas Anwar akan membolehkan Dr Wan Azizah mendapat majoriti undi yang lebih lagi," kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika memberikan ucapan semasa selesai penamaan calon PRK Kajang pagi tadi selepas Dr Wan Azizah disahkan sebagai calon Kajang oleh SPR.

Salahudin yang menyertai perhimpunan itu dalam ucapannya berkata, pencalonan Dr Wan Azizah akan diterima baik oleh pengundi Kajang.

Keyakinan Salahudin turut dikongsi pelbagai pihak. Dan bekas calon PKR di PRK Hulu Selangor Datuk Zaid Ibrahim juga bersetuju nampaknya.

Zaid yang mengumumkan akan bertanding atas tiket bebas dalam PRK ini bagaimanapun tidak kelihatan apabila beliau menarik diri sebaik sahaja Anwar mengesahkan tidak akan bertanding di kerusi yang dikosongkan Lee Chin Cheh dari PKR itu.

Pendek kata semua pihak yang menyokong kerjasama PR selama ini bersatu hati dan bakal berusaha memastikan Dr Wan Azizah mendapat majoriti lebih besar dalam PRK kali ini.

Dalam pertandingan enam penjuru Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei tahun lalu, Lee dari PKR memperoleh 19,571 undi dengan majoriti 6,842, sekaligus membolehkan beliau menewaskan calon BN dari MCA Lee Ban Seng yang memperolehi 12,747 undi.

Kajang mempunyai sejumlah 38,965 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu membentuk 48%, pengundi Cina 41%, dan pengundi India 10%.

Ramai yakin 48% pengundi Melayu yang ada di sini bakal membantu untuk sama-sama mengesat air mata Dr Wan Azizah yang tumpah selepas suaminya dijatuhkan hukuman penjaya lima tahun oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya baru-baru ini. –TMI





No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.