Tuesday, March 11, 2014

Orang Iran, penumpang MH370 beridentiti palsu didedah

Urusan perjalanan dua penumpang dengan identiti palsu dalam pesawat MH370 Malaysian Airlines yang hilang ketika menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur dibuat di Pattaya, Thailand dan dibayar secara tunai, menurut akhbar British Financial Times.

Akhbar berkenaan memetik kenyataan agen pelancongan Thailand yang membuat tempahan tiket itu sebagai berkata, beliau diminta membuat urusan perjalanan itu oleh seorang kenalan warganegara Iran.

Benjaporn Krutnait, pemilik agensi pelancongan Grand Horizon di Pattaya dipetik berkata, warganegara Iran berkenaan iaitu kenalan perniagaannya yang dikenali sebagai Ali meminta beliau menempah tiket tambang murah ke Eropah untuk dua lelaki berkenaan pada 1 Mac.

Akhbar itu berkata, pada awalnya, Benjaporn menempah tiket penerbangan Qatar Airways dan Etihad, masing-masing untuk dua lelaki berkenaan, tetapi, tiket itu tamat tempoh apabila tiada khabar daripada Ali.

Ali kemudian menghubunginya sekali lagi pada Khamis menyebabkan Benjaporn sekali lagi menempah tiket dan kali ini menempah Malaysian Airlines menerusi Beijing kerana ia adalah tiket paling murah yang ada pada ketika itu.

Financial Times turut melaporkan, seorang rakan Ali membayar Benjaporn secara tunai untuk dua tiket berkenaan dan tiada bukti mengaitkan Ali tahu kedua-dua lelaki itu mengembara menggunakan pasport curi.

Benjaporn dipetik sebagai berkata, beliau tidak percaya Ali mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan kerana dia tidak meminta secara terperinci untuk menempah tiket bagi perjalanan Kuala Lumpur – Beijing, tetapi meminta laluan paling murah ke Eropah, kata Financial Times.

Dalam laporan akhbar itu, Benjaporn dipetik sebagai berkata, beliau bercakap mengenai kes itu kerana bimbang dengan spekulasi mengenai serangan pengganas dikaitkan dengan kehilangan MH370 dan mahu fakta sebenar diketahui. -TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.