Saturday, March 15, 2014

Pakar percaya MH370 belum terhempas

Pesawat MAS MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu yang menimbulkan 1001 pertanyaan sehingga kini (14 Mac), dipercayai masih lagi belum terhempas, tegas pakar penerbangan, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, kesimpulan sama ada pesawat itu terhempas atau tidak hanya boleh diberi sehingga bangkai pesawat itu ditemui, tetapi sehingga sekarang ia jejaknya masih belum dikesan oleh mana-mana pasukan pencari dan penyelamat.

Dr Samsuri berkata, andaian ini dibuat kerana sehingga kini tidak terdapat sebarang isyarat daripada pesawat itu yang dilengkapi pelbagai peralatan canggih itu.

Katanya, MH370 sebenarnya boleh mengesan dan menghantar isyarat kepada pusat kawalan sekiranya pesawat itu terhempas, apabila ia menyentuh tanah di bumi atau air lautan.

“Ia direka begitu. Tapi tiada isyarat itu. Ini bermakna ia tidak terhempas. Semua pihak harus memberikan harapan bahawa pesawat itu belum lagi terhempas,” katanya.

Beliau juga yakin, pesawat berkenaan tidak dirampas kerana setelah tujuh hari ianya hilang, tiada sesiapa pun yang mendakwa merampas pesawat berkenaan atau menyiarkan apa-apa tuntutan melalui website, YouTube, instagram atau lain-lain laman sosial kepada pihak sasaran. Katanya, jika diteliti rekod 10 tahun lalu, perampas tidak berlengah untuk me ngaku dan menyatakan tuntutannya.

Ketika diwawancara 14 Mac lalu di Pejabat Harakah, Dr Samsuri yang juga bekas pakar rujuk (penasihat) kepada Menteri Pengajian Tinggi Malaysia dalam bidang Aeroangkasa 2007-2008 berkata, jika berlaku rampasan, ia pasti ada mukadimahnya yang turut menjelaskan kenapa pesawat itu dirampas.

“Untuk dikatakan berlakunya rampasan, saya tak yakin. Opsyen yang pertama tidak terhempas, opsyen kedua tidak dirampas.

Beliau berkata, jika pesawat itu mendarat di manamana lokasi atau di pangkalan tentera, ia masih lagi boleh dikesan oleh pelbagai pihak.

Dalam dunia moden sekarang, jelas Dr Samsuri yang juga Setiausaha Politik Kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu, susah hendak disembunyikan pesawat sebesar itu jika ia dirampas dan berada di lokasi tertentu termasuk di pangkalan tentera kerana terdapatnya pengesan satelit.

“Malah kedudukan kita sekarang pun ada satelit AS yang boleh kesan, apatah lagi kapal terbang yang saiznya jauh lebih besar daripada tubuh kita.

“Penjelasan daripada segi ilmu penerbangan dan sains teknologi, nampaknya masih lagi gagal menjawab misteri ini,” ujarnya.

Beliau yang juga bekas Prof Madya Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan, UPM itu berkata, sekiranya pesawat itu disembunyikan di mana-mana lapangan terbang, ia pasti dapat dikesan, tambahan pula usaha mencarinya kini sudah ke peringkat multinasional yang turut melibatkan negara kuasa besar China dan Amerika.

Jika ia tidak dapat dikesan oleh Amerika, tegasnya, ia pasti akan dapat dikesan oleh negara lain termasuk China jika ia disembunyikan di mana-mana lapangan terbang rahsia sekalipun.

Disebabkan keadaan ini, beliau mahu usaha mencari dan menyelamat pesawat serta para penumpang dan anak kapal mesti diteruskan kerana kejadian yang berlaku sangat-sangat di luar kawalan manusia.

“Sebenarnya, naluri pertama bagi seorang juruterbang, sekiranya apa saja masalah sekecil-kecilnya terjadi, dia akan terus berkomunikasi dengan menara kawalan, tetapi ini tidak berlaku.

“Itu saja sudah cukup untuk memberikan gambaran dan tanda tanya kenapa ia tidak berkomunikasi?” soal beliau.

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.