Thursday, September 9, 2010

Politik Hilang Maruah Di Sabah

http://3.bp.blogspot.com/_ekMi6uhx3y8/SRbGIoU01lI/AAAAAAAAAGo/q78axdf_hqQ/s320/651px-Flag_of_Sabah.svgPolitik kerap dikaitkan dengan kotor, penipuan, janji palsu, pembohongan malah ada yang sampai keperingkat membunuh kerana politik. Umumnya demikianlah persepsi sesetengah anggota masyarakat bila sepak terajang politik dalam negara mula menjijik dan memualkan!

Perkembangan terbaru politik tanah air khususnya di negeri Sabah, mengesahkan persepsi umum betapa hodoh, jijik dan kotornya permainan politik. Benarlah kata Machiavelli, politik boleh menghalalkan cara, the ends justifies the means. Pokok pangkalnya ialah kuasa dan bagaimana cara mengekalkan kuasa tersebut.


Siakap Senohong
Gelama ikan duri
Bercakap bohong
Lama-lama jadi MENTERI

Secara khusus saya mengajak pembaca melihat apa yang berlaku di Sabah. Sejak awal merdeka telah berlaku perebutan kuasa antara dua puak majoriti, bumiputra Islam (BI) dan bumiputera bukan Islam (BBI). Akibat persaingan kuasa tersebut, parti politik yang memerintah telah beberapa kali bertukar ganti.

1963-1967 Parti Perikatan (UPKO, USNO dan SCA (KM - Donald Stephens - UPKO)

1967-1976 Parti Perikatan (USNO dan SCA) (KM - Tun Mustapha – USNO)

1976-1985 parti BERJAYA (KM – Datuk Harris Salleh)

1985-1994 parti PBS (KM – Datuk Joseph Pairin Kitingan)

1994- hingga sekarang - Barisan Nasional (KM - 7 orang)

Kenapa berlaku perubahan kerajaan yang begitu kerap di Sabah?

Para penganalisis politik sependapat, factor utama bila hilangnya sokongan kaum Cina. Sudah tentu banyak faktor lain, namun pengundi Cina sebagai “king maker” telah terbukti dalam PRU 1967, 1976, 1985, dan 1994.

Bekas PM, Tun Mahathir adalah tokoh yang bertanggungjawab membawa UMNO masuk ke Sabah. Tun Mahathir juga pernah dimalukan rakyat Sabah bila ayatnya “sink and swim with Berjaya” gagal selamatkan kerajaan BN pimpinan Berjaya pada 1985. Atas sebab itu Tun Mahathir sedar betapa perlunya sokongan pengundi Cina di Sabah!

Maka itu diperkenalkan Dasar Menggilirkan jawatan KM Sabah setiap dua tahun untuk kaum BI, BBI dan kaum Cina. Walaupun kaum Cina adalah kaum yang minoriti dan hanya mewakili 8 kerusi DUN, dan 4 kerusi MP serta tidak terlibat dalam perebutan kuasa, namun Tun Mahathir tahu akibatnya bila sokongan kaum itu tidak lagi bersama-sama BN.

Matlamat pokok dasar penggiliran KM Sabah adalah untuk memenangi hati dan ‘trust’ kaum itu untuk terus bersama BN. Sepanjang pemerintahan BN dibawah Tun Mahathir, kaum Cina berpeluang menjawat KM Sabah sebanyak dua kali. Datuk Yong Teck Lee dari SAPP (2 tahun 1996-1998) dan Tan Sri Chong Kah Kiat dari LDP (2 tahun 2001-2003).

Persoalan besar timbul apakah setelah parti SAPP keluar dari BN dan parti LDP secara terbuka tidak menyokong KM Sabah, Datuk Seri Musa Aman, BN Sabah masih mendapat sokongan kaum itu?

Musa Aman adalah seorang pemimpin yang paling beruntung kerana setelah tiba gilirannya menjadi KM, menggantikan Chong Kah Kiat, Dasar Penggiliran dimansuhkan PM baru Tun Abdullah Badawi yang menggantikan Tun Mahathir.

Genap 7 tahun sebagai KM Sabah, Musa Aman dilihat sebagai KM Sabah yang paling berkuasa era pasca UMNO. Namun sepanjang pemerintahannya, Musa kelihatan bermusuh dengan tokoh-tokoh politik kaum Cina yang berpengaruh di Sabah!

Perletakan jawatan Chong Kah Kiat sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah berikutan isu patung Dewa Mazu dikatakan berpunca daripada "gentleman agreement" yang tidak ditunai Musa Aman. Pada awalnya Musa setuju pembinaan patung itu di Kudat tetapi kemudiannya mengarah kelulusan itu ditarik balik setelah berlaku insiden di Pulau Sipadan.

Seterusnya Yong Teck Lee, satu-satunya Presiden parti komponen BN Sabah yang tidak dipilih sebagai calon pada PRU 2008 meninggalkan BN berikutan janji jawatan Senator tidak dipenuhi Musa dan Tun Abdullah Badawi. DUN Sabah yang bersidang tidak mencadangkan nama Yong Teck Lee sebagai senator tetapi Musa mencadangkan nama lain.

Pada 25 Ogos 2010, sehari selepas BN Sabah mengadakan mesyuarat, Timbalan Presiden LDP secara terbuka mengeluarkan kenyataan tidak menyokong Musa Aman. Parti itu bagaimanapun tetap menyokong BN dan PM Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berikutan kemelutnya dengan SAPP dan LDP, dengan liciknya, Musa kekalkan dua pemimpin dari SAPP dan LDP, Datuk Raymond Tan dan Peter Pang dalam kabinet negeri Sabah setelah kedua-duanya menyatakan kesetiaan kepada Musa Aman. Kedua-dua “katak” sanggup berbuat begitu atas kepentingan peribadi dan kini telah menyertai parti GERAKAN.

Dua pemimpin yang tidak ada etika dan prinsip tersebut kekal dalam BN dan menjadi menteri dan timbalan ketua menteri semata-mata kerana Musa Aman ingin kekal sebagai KM Sabah yang paling berkuasa!

Apakah majority kaum Cina di Sabah menyokong tindakan Musa Aman dan terus mengundi BN pada PRU akan datang?

Dalam persidangan DUN Sabah baru-baru ini, wakil tunggal DAP telah mengeluarkan kata-kata kesat dan memanggil Musa Aman sebagai “vacuum cleaner”.

Jika tokoh seperti Chong Kah Kiat, parti LDP, Yong Teck Lee, parti SAPP dan kaum Cina di Sabah tidak lagi menyokong Musa Aman, apakah BN Sabah masih kekal sebagai FIXED DEPOSIT kepada Barisan Nasional?

-http://muslioli.blogspot.com

34 comments:
Write comments
  1. bukan politik yang salah tetapi pemimpin. bila wujud pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri dan mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat, maka terjejaslah keseluruhan imej parti politik. berkenaan dengan sokongan kaum cina di Sabah, bukan pemimpin cina yang menjadi penentu tetapi sokongan rakyat yang berbilang bangsa di Sabah. kalau benarpun Chong Kah Kiat, parti LDP, Yong Teck Lee, parti SAPP menolak BN, itu disebabkan konflik antara pemimpin. konflik antara pemimpin bukan menjadi ukuran pengaruh sesebuah parti, tetapi sokongan daripada akar umbi. kita boleh lihat konflik yang berlaku dalam sesebuah parti, tetapi sokongan tiada siapa yang tahu, semuanya akan terjawab dalam PRU13.

    ReplyDelete
  2. tindakan Datuk Raymond Tan dan Peter Pang bukan disebabkan mereka tidak ada etika atau prinsip, disebabkan etika dan prinsiplah mereka tergerak untuk buat keputusan itu. mereka tentu ada alasan mereka sendiri bukan atas kepentingan peribadi. jika Musa Aman mengatakan tindakannya adalah tepat, dan pemimpin2 yang menentangnya juga mengatakan bahawa tindakan mereka juga tepat, penganalisis politik perlu berada ditengah2 untuk memberikan gambaran jelas kepada rakyat tanpa dipengaruhi oleh mana2 pihak.

    ReplyDelete
  3. Penyokongan rakyat terhadap mana-mana pemimpin adalah pilihan mereka sendiri. Semua orang berhak mengundi dan menyokong pemimpin/parti/kerajaan yang dimahukan. Ini maksudnya negara demokrasi, rakyat diberikan hak memilih.

    ReplyDelete
  4. dalam politik segalanya mungkin. yang penting pemimpin perlu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. namun, terpulang pada rakyat untuk membuat keputusan.

    ReplyDelete
  5. Mereka yang masih dikekalkan sebagai menteri dan timbalan menteri iaitu Raymond dan Peter Pang kerana mereka setia dan menyokong dengan Ketua Menteri Sabah dan bukan bermaksud mereka ini tidak beretika. Harap rakyat jangan tersalah anggap dan termakan hasutan dari pihak lain bahawa mereka ini bersalah dalam hal ini. percaya pada fikiran sendiri.

    ReplyDelete
  6. Manusia yang mengotorkannya dan manusia juga yang harus bertanggungjawab.

    ReplyDelete
  7. Politic is good for good leaders.Sometimes it is hard to know what it turns out to be.

    ReplyDelete
  8. pemimpin perlu ada komitmen yang tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat. pemimpin yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat, itulah yang akan menjadi pilihan.

    ReplyDelete
  9. Politic is here for one good reason. Don't mess it up with political interest and agendas, which only deteriorate the whole thing.

    ReplyDelete
  10. Ada yang memperdagangkan hidup semata2 ingin memperjuangkan politik yang tidak ke mana. Jadi saya mohon agar politik di Sabah ini tidak seteruk di KL.

    ReplyDelete
  11. Politik di Sabah tidak seperti dulu brjuang membela nasib rakyat Sabah secara totalnya ttpi kini perjuangan itu telah berubah membela nasib diri sendiri dan kroni. Percayala jika anda ingin kaya raya masuk la ke parti umno atau bn. tetapi persoalannya di hari selepas mati tidak mungkin dapat menjawab soalan satu persatu.

    ReplyDelete
  12. inilah kelebihan sabah...bagi saya rakyat sabah cukup matang dalam permainan dunia politik sabah. ini terbukti dengan sejarah perubahan kerajaan negeri sabah..

    ReplyDelete
  13. bagi saya, pemansuhan pengiliran jawatan KM sabah ada kebaikannya..dengan tempoh yang lebih lama, seseorang KM itu dapat meningkatkan kualiti pentadbiran kerajaan negeri serta memperbaiki kelemahan-kelemahan yang timbul sepanjang masa beliau menjawat jawatan tersebut..ini sekaligus membawa impak positif kepada pembangunan negeri seperti apa yang sabah kecapi pada hari ini sepanjang Musa Aman menjadi KM Sabah. berbanding dengan sistem pengiliran KM Sabah di mana tempoh perkhidmatan yang pendek adalah sukar untuk menyelesaikan sesuatu isu sehingga ianya berpanjangan hingga menjadi 'duri dalam daging'..

    ReplyDelete
  14. kemelut politik di sabah bagi saya berpunca daripada konflik yang timbul disebabkan oleh beberapa isu peribadi/individu.. tindakan timbalan presiden LDP yang secara terbuka menyatakan pendirian beliau/pucuk pimpinan parti tidak mengambarkan pendirian parti secara keseluruhan..sepatutnya semua cawangan LDP bermesyurat terlebih dahulu untuk menentukan pendirian parti dan bukannya selepas pengumuman tersebut dibuat..sikap egois dan angkuh pemimpin harus diketepikan..harus diingat bahawa parti bukannya terdiri daripada pemimpin2 atas sahaja tetapi juga dianggotai oleh ahli peringkat akar umbi yang merupakan tunjang kekuatan sesuatu parti..

    ReplyDelete
  15. setiap perselisihan atau konflik yang timbul boleh diselesaikan dengan cara yang lebih bertamadun dan sistematik..

    ReplyDelete
  16. harap konflik dalaman yang berlaku dalam BN negeri diselesaikan secara baik secepatnya..kepentingan parti secara keseluruhan harus diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan atau tindakan..demikian juga dengan kepentingan rakyat sebagai pengundi dan juga kepentingan negeri..nilai2 murni harus dijadikan sebagai amalan agar hubungan 'persaudaraan' dalam parti akan bertambah erat sekaligus memperkukuhkan lagi kedudukan parti dalam hati rakyat.

    ReplyDelete
  17. sama ada BN akan terus menerajui kerajaan negeri sabah atau tidak, jawapan terletak pada tangan rakyat sebagai pengundi..semuanya akan terjawab pada PRU 13 nanti..

    ReplyDelete
  18. Pekara yang disebut di atas bukannyaa satu-satu isu yang mengkikis sokongan kaum Cina dari menyokong BN.
    Faktor-faktor lain adalah seperti masalah pendidikan terutama yang dihadapi SRJK Cina, pengagihan kekayaan negara yang tidak adil, isu perkauman dll lagi.

    ReplyDelete
  19. Setiap kejadian ada sebabnya. Sokonagan kaum bukan bumiputra semakin jauh dari BN adalah tindakan ahli politik BN sendiri yang tidak menyedari kesilapan mereka.

    ReplyDelete
  20. Politik tu OK ba.. Takda masalah, cuma disebabkan sikap segelintir individu yang tak beretika maka buruklah nama baik politik.

    ReplyDelete
  21. Setuju 2718. namanya juga penganalisis politik kan maka haruslah neutral dalam segala hal bagi mengelakkan timbulnya salah faham!

    ReplyDelete
  22. Bagi saya setiap masalah yang timbul adalah disebabkan oleh ketidakpuasan hati sesetengah pihak dan keengganan mereka utk bertoleransi. Jika semua pihak sentiasa mengamalkan win2 situation rasanya tak timbul masalah di sabah bah. Mungkin ada tapi taklah seteruk mana pun..

    ReplyDelete
  23. Soal sokong BN next GE nanti, terpulanglah pada rakyat. Saya yakin rakyat cukup matang utk membuat keputusan yang terbaik.

    ReplyDelete
  24. Sekarang ni Musa Aman adalah CM Sabah, jadi hormatilah beliau sebagai CM. Tiada manusia yang sempurna di dunia ini, jadi sama2 lah kita harap agar Musa dapat lakukan yang terbaik untuk rakyat :)

    ReplyDelete
  25. bila tamat tempoh musa aman dari umno sebagai ketua menteri sabah, boleh jadi safie afdal jd CM yg baru. dari umno lagi...melopong la PBS, UPKO, dll..selama lamanya umno. kesian parti org tempatan sabah.

    ReplyDelete
  26. saya harap kekotoran politik sabah yang memalukan tidak diteruskan untuk generasi seterusnya...cuma yang menghairankan saya ialah kenapa tiada usaha memperbaiki kekelutan politik Sabah?

    ReplyDelete
  27. cuma pandangan saya, apa yang cuba dilakukan kini oleh pemerintahan terkini adalah sebenarnya telah cuba melaksanakan satu usaha untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk..cuma ramai pihak yang tidak menghargainya....

    ReplyDelete
  28. kalau pemerintahan yang sedia ada sekarang ni diberi sokongan padu oleh segenap golongan, saya yakin negeri sabah bakal maju! janganlah kita saling cuba menyalahkan seseorang..apa salahnya jika kita perbaiki mana yang sudah rosak dan pandang maju dan positif ke hadapan?

    ReplyDelete
  29. I sincerely hope that Sabah leaders won't be swept away by those bigots.

    ReplyDelete
  30. sabah memerlukan pemimpin yang berkebolehen dan boleh memimpin sabah dgn baik. dgn pemimpin seperti ini, sabah akan maju dan terus ke hadapan.

    ReplyDelete
  31. Diharapkan kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan hak rakyat dan juga membawa pembagunan kepada rakyat dan negeri.

    ReplyDelete
  32. Politik Sabah agak rumit dan menarik. sukar meramal mana hala-tuju rakyat Sabah. Biar kita tunggu PRU kan datang.

    ReplyDelete
  33. senario politik di sabah berbeza dgn negeri2 lain. apapun yang penting pembangunan negeri dan rakyat sabah perlu diutamakan.

    ReplyDelete
  34. Sangat berbeza daripada pemerintahan di Sarawak. Rakyat Sabah sepatutnya sudah masak dengan sistem pemerintahannya.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.