Wednesday, January 19, 2011

Kerusi Pelabuhan Klang kosong, SPR tunggu notis Speaker

Kerusi Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang kini kosong selepas wakil rakyatnya Badrul Hisham Abdullah didapati tidak hadir persidangan selama enam bulan, kata Speaker Datuk Teng Chang Khim hari ini.

Teng berkata Badrul Hisham yang keluar PKR Oktober 2009 sebelum menyertai Umno April lalu tidak hadir sidang Dewan Undangan Negeri sejak 15 Julai lalu dan oleh itu, kerusinya dianggap kosong berkuat kuasa 16 Januari.

Artikel 69 Perlembagaan Negeri memperuntukkan bahawa seorang wakil rakyat yang tidak hadir selama enam bulan mesti mengosongkan kerusinya.

Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan sama ada kerusi itu kosong dan perlu diadakan pilihan raya kecil.

Kes kedudukan kerusi itu mirip Kota Siputeh, Kedah yang Speaker Dewan Undangan Negeri mengisytiharkan ia kosong.

Bagaimanapun SPR memutuskan tiada kekosongan wujud dan tidak perlu diadakan pilihan raya kecil.

Dalam kes itu, SPR mempertimbangkan notis speaker dan juga penjelasan wakil rakyatnya sebelum memutuskan keputusan itu.

Bagaimanapun mahkamah memutuskan pilihan raya kecil perlu diadakan dan ia kini berada di peringkat rayuan.

Dalam pada itu Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya perlu menunggu notis daripada Spekaer Dewan Undangan Negeri sebelum memutuskan tindakan susulan.

“Speaker ada hak untuk membuat keputusan mengenai status kerusi, itu hak dan tanggungjawab Speaker yang dibuat mengikut perlembagaan negeri dan peraturan-peraturan Dewan Undangan Negeri,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kata Wan Ahmad, selaku wakil rakyat Badrul Hisham juga mempunyai hak untuk memberikan reaksi dan penjelasan kepada pengundi-pengundinya.

Ketika ditanya sama ada SPR akan mendengar penjelasan wakil rakyat Pelabuhan Klang, Wan Ahmad berkata, terlalu awal untuk memutuskan perkara tersebut.

“Terlalu awal untuk membuat spekulasi,” kata beliau lagi.

“Kita lihat dari sudut undang-undang, berasaskan pada undang-undang, kita asaskan pada undang-undang,” katanya lagi.

Pada 30 April lalu, Badrul Hisham menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Umno setelah enam bulan keluar PKR dan menjadi Adun Bebas.

Badrul Hisham, 50, keluar daripada PKR pada 29 Oktober 2009.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Badrul Hisham memperoleh 12,397 undi untuk menewaskan calon Bebas Nazir Mansor dan Roselinda Abd Jamil.

Dia memperoleh majoriti 4,407 undi.

Berdasarkan laporan media kelmarin, Badrul Hisham dikatakan menafikan dia tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri selama enam bulan.

Katanya, mereka yang mendakwa dia tidak hadir sidang Dewan Undangan Negeri dan mahukan kerusi itu dikosongkan perlu menilai semula kemahiran mengira.

“Saya menghadiri hari pertama sidang pada November lalu sebelum mengambil cuti sakit untuk mendapatkan rawatan alternatif,” kata Badrul Hisham.

“Ini usaha terdesak pihak tertentu yang mengugut saya agar menghadiri sidang khas Dewan Undangan Negeri, 24 Januari memandangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat kurang tiga undi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga bagi meminda perlembagaan negeri,” katanya. -TMI

17 comments:
Write comments
  1. Tunggulah pengumuman daripada speaker.

    ReplyDelete
  2. mgkin ada sebab tertentu wakil rakyat kawasan tersebut tidak menhgadiri sidang selama 6 bulan. apapun, terpulang pada speaker untuk membuat pilihanraya atau tidak.

    ReplyDelete
  3. Wahh...ada kekosongan, mari kita tunggu siapa yang akan beraksi...

    ReplyDelete
  4. Tertanya2 kenapa bekas YB 2 xturun padang selama 6 bulan? Apa hal?

    ReplyDelete
  5. beliau telah membuat penafian dan menjelaskan bahawa beliau ada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri. jika benar, kenapa boleh timbul isu kerusi kosong ini? atau mungkin benar ada pihak yang cuba menjatuhkan beliau untuk kepentingan Pakatan Rakyat..

    ReplyDelete
  6. apa2pun isu ini tidak perlulah dihangat2kan selagi belum ada keputusan dipihak SPR.

    ReplyDelete
  7. jika wajar dibuat pilihanraya, lebih baik buat saja.

    ReplyDelete
  8. Berita gembira buat yang menanti..

    ReplyDelete
  9. Apa pun memang patut pemilihan calon dilakukan jika wakil yang ada sekarang berbuat demikian.

    ReplyDelete
  10. Lepas ni ada lagi pilihan raya kecil. hehe
    tapi tunggu ja la apa keputusan speaker nanti.

    ReplyDelete
  11. Tapi bagus juga la bah, siapa suruh malas hadir persidangan. huhu
    Semoga Adun yang dipilih nanti rajin menghadiri persidangan dan mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.

    ReplyDelete
  12. Kalau tidak salah, pilihan raya bakal diadakan untuk mengisi kekosongan kerusi itu.

    ReplyDelete
  13. Baik jangan menjadi wakil rakyat kalau malas menghadiri persidangan.

    ReplyDelete
  14. Apa punya wakil rakyat, persidangan pun malas menghadiri, bila lagi hendak membangkitkan keperluan rakyat yang diwakili itu?

    ReplyDelete
  15. Harap rakyat akan memilih wakil rakyat yang benar-benar sesuai sebagai wakil mereka pada PRK nanti.

    ReplyDelete
  16. Calon yang salah bukan saja membuang masa kita, ia juga membuang duit rakyat kerana perlu membuat pilihan raya kecil lagi untuk memilih calon baru.

    ReplyDelete
  17. Betul azam,

    Adalah penting rakyat memilih calon yang betul-betul sesuai supaya tidak membuang masa dan kewangan kita.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.