Wednesday, May 29, 2013

Siapa Bakal Setpol PM Mula Jadi Bualan?

Sebaik reda dengan perlantikan anggota kabinet selepas BN berjaya menggenggam kuasa mentadbir negara untuk tempoh lima tahun lagi, perbualan dalam UMNO kini tertumpu kepada perlantikan pegawai-pegawai kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan juga menteri-menteri kabinet.

Yang paling menjadi tumpuan ialah jawatan Setiausaha Politik kerana jawatan tersebut dianggap berkait rapat dengan kejayaan atau kegagalan seseorang pemimpin, selain jawatan Setpol juga selalunya dianggap batu loncatan untuk mendaki tangga dalam hireaki UMNO dan kerajaan.

Diantara semua jawatan tersebut, jawatan Setpol PM yang paling banyak diperbual dan diperkatakan kerana dalam pilihanraya umum lalu, semua Setpolnya telah diberikan sijil "winnable candidate" oleh Najib dan seterusnya dijadikan calon pilihanraya. Malangnya semua mereka telah kalah di kawasan masing-masing.

Fatmi Che Salleh kalah di Kota Bharu, Sahlan Ismail kalah di Pokok Sena, Shafei Abdullah kalah di Wangsa Maju dan Suffian Awang pula kalah di Kuantan. Seorang lagi pegawai khas Najib, Latt Shahriman pula kalah di DUN Kubang Rotan, Kedah.

Lebih seminggu selepas mengangkat sumpah sebagai PM dan kabinet juga sudah dibentuk, Najib nampaknya masih belum mempunyai Setpol untuk membantu melicinkan tugas-tugasnya. Sementara difahamkan ramai yang memohon dan melobi jawatan tersebut, bekas-bekas Setpolnya yang kalah bertanding juga dikatakan sedang melobi untuk mengisi semula jawatan tersebut. Setelah kalah dan tidak mempunyai kerja, sebahagian bekas Setpol ini mahu kembali ke jawatan lama mereka dan ingin menjadi orang penting kepada PM semula.

Sejak bertahun-tahun lamanya, isu Setpol Najib ini paling banyak menjadi rungutan di kalangan ahli-ahli UMNO kerana kebanyakan mereka dianggap tidak mesra rakyat, memilih kawan, bersikap eksklusif dan tidak seperti Setpol-Setpol PM sebelum ini yang rajin bercampul gaul serta bergelak ketawa dengan orang ramai.

Setpol Najib pula hanya muncul dalam majlis-majlis tertentu saja, bahkan sesetengahnya hanya kelihatan menampakkan wajah di majlis-majlis yang dihadiri Najib saja. Selebihnya mereka bergelumang entah ke mana.

Sikap dan perlakuan mereka itu dikaitkan bukan saja dengan kekalahan mereka bertanding di kawasan masing-masing tetapi juga dipercayai antara punca kemerosotan sokongan yang diterima oleh Najib dan BN dalam pilihanraya yang lalu.

Sebaik kedengaran ada bekas Setpol ini yang sedang melobi untuk kembali menjadi orang penting Najib, rungutan mula kedengaran di pelbagai peringkat dalam UMNO iaitu pemimpin peringkat bahagian, ahli biasa, aktivis dan pencacai yang mengecam perbuatan itu. Mereka menyifatkan Setpol terbabit sebagai tamak, tidak sedar diri dan sebagainya. Sudah kalah bertanding, carilah kerja lain, demikian antara kata-kata yang sering kedengaran.

Terdapat juga di kalangan mereka yang secara terbuka memberi peringatan kepada Najib agar tidak menerima semula Setpol lamanya bekerja semula dengannya. Najib dituntut untuk melakukan pembaharuan dan transformasi dalam kepimpinannya dengan membentuk wajah baru di kalangan pegawai kanan dan kirinya kali ini.

Ada yang berhujah, disebalik Najib menjanjikan sekian banyak perubahan dan transformasi daripada dalam UMNO dan kerajaan sendiri, jika transformasi perlantikan Setpol ini pun masih terbelenggu dengan wajah-wajah lama yang kelam dan usang, bermakna perubahan dalam bentuk yang lain lebih sukar untuk dipercayai oleh rakyat.

Ada juga yang seakan mengugut Najib bahawa sekiranya seorang sahaja pun daripada bekas Setpolnya itu yang dilantik semula, mereka tidak mahu lagi menyokong kepimpinan Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Sementara pelbagai pihak mula melobi dan memohon jawatan tersebut, pelbagai cadangan juga turut muncul yang secara praktikalnya mahukan Najib lebih berhati-hati dalam perlantikan itu dan tidak memilih mereka yang rakus dan mementingkan diri, sebaliknya mengutamakan seorang yang mengutamakan parti, kerajaan dan PM sendiri sebagai majikan mereka.

Diharapkan Najib tidak lagi salah pilih kali ini.

Oleh Shahbudin Husin
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Siapa Bakal Setpol PM Mula Jadi Bualan? "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx