Apa sebenarnya yang berlaku di Galas? Pastinya Umno dan Barisan Nasional (BN) kini merayakan kemenangan mereka kerana berjaya menambah majoriti sekaligus merampas kerusi kembali tersebut dari lawan mereka iaitu PAS. Sebelum ini, saya tidak menulis sangat mengenai apa-apa perkembangan semasa kempen di Galas mahu pun di Batu Sapi jika dibandingkan semasa pilihanraya kecil di Hulu Selangor dan Sibu kerana saya sudah menjangkakan keputusan hari ini berdasarkan faktor tertentu.
Di dalam kajian dan kerjaya, saya adalah orang yang menganalisa maklumat dan persepsi serta merekabentuk sistem maklumat sains keputusan bagi melihat kepada faktor-faktor yang sedia ada pada sesuatu perkara yang dikaji di dalam pelbagai bidang termasuklah politik. Terus-terang saya katakan di dalam isu Galas, faktor besar dan jelas memberikan kelebihan bermakna kepada BN dan kekurangan kepada lawannya. Di sini biarlah saya huraikan sebab-sebab mengapa Galas boleh dirampas begitu sahaja oleh Umno.
Sama ada kita sedar atau pun sengaja buat tidak sedar adalah faktor Tengku Razaleigh Hamzah atau dikenali sebagai Ku Li sendiri sebagai pemimpin Umno setempat di Gua Musang. Siapa yang tidak kenal Ku Li di dalam politik negara. Ku Li sudah lama memimpin parti Umno sama ada sebagai pemimpin setempat ataupun di peringkat nasional. Ku Li sudah menjadi ahli Parlimen sejak tahun 1969 lagi ketika Parlimen Gua Musang pernah dikenali sebagai Parlimen Kelantan Barat. Parlimen Gua Musang pula memiliki keluasan parlimen terbesar di negeri Siti Wan Kembang itu. Selain menjadi pemimpin bersifat ’bangsawan’ di sana, beliau juga sememangnya layak dianggap pemimpin ’feudal’ Kelantan kerana beliau adalah ahli kerabat diraja Kelantan.
Ku Li memainkan peranan besar kemenangan dan bukannya Umno
Ku Li dihormati dan disayangi oleh segenap rakyat Gua Musang. Walaupun Ku Li ditolak di peringkat nasional oleh Umno tetapi bagi Umno Gua Musang, Ku Li adalah ’Presiden’ Umno mereka. Sudah banyak kali Umno bahagian itu sendiri mencalonkan Ku Li sebagai calon Presiden Umno ketika pencalonan untuk pemilihan Umno Pusat. Malah Gua Musang menjadi satu-satunya Umno bahagian di Malaysia yang berani mencalonkan beliau. Walaupun pernah ’keluar Umno lama’ dan memimpin parti baru iaitu Semangat 46, penduduk Gua Musang tetap bersama dengannya walaupun beliau bertukar baju lain. Umno ’Baru’ tajaan Dr. Mahathir (selepas pengharaman Umno pada tahun 1988)melalui Bahagian Gua Musang terus lumpuh apabila Ku Li tidak menyertai Umno Baru dan menubuhkan Semangat 46. Bukan itu sahaja, ia lumpuh gara-gara ahli-ahli Umno ’lama’ Gua Musang ketika itu sendiri keluar parti mengikut jejak Ku Li ke dalam Semangat 46.
Walaupun berstatus Presiden Semangat 46 ketika itu, Parlimen Gua Musang terus dipertahankan dan menjalinkan hubungan baik dengan PAS untuk membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Selain itu juga, ketiga-tiga kerusi DUN di bawah Gua Musang turut mengikut rentak dan langkah politiknya. Tidak kira Ku Li mewakili Umno atau Semangat 46, kerusi-kerusi DUN di bawahnya iaitu Galas, Nenggiri dan Paloh tetap kekal mengikutnya. Hanya pada pilihanraya umum yang lepas, Galas terlepas ke tangan PAS gara-gara tsunami politik nasional yang menghempas badai masuk ke wilayahnya. Bukan itu sahaja, adanya ahli-ahli Umno ketika PRU 2008 di Gua Musang tidak terkecuali daripada memberi undi tanda ’protes BN’ kepada Pakatan Rakyat (PR) yang akhirnya menyebabkan Galas terlepas tetapi juga menyaksikan penurunan majoriti Umno-BN di parlimen Gua Musang dan di dua lagi kerusi DUN dibawahnya.
Dengan kata lain, selain dari Galas yang pernah menjadi kubu kuat Umno untuk sekian lama, maka tidak mustahil kekuatan kubu lama yang hanya diperintah orang baru tidak sampai tiga tahun boleh kembali kepada pemilik sebelumnya. Faktor kekuatan Ku Li adalah faktor utama yang sepatutnya lebih awal lagi dilihat sebagai penghalang kepada PAS bagi mengulangi nasib baik kali kedua untuk mengekalkan Galas. Saya yakin PAS sendiri pun tahu betapa kuatnya faktor Ku Li dan sewajarnya mereka bersedia kebarangkalian kemungkinan kalah. Bukannya hendak menafikan faktor kekuatan peribadi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak kuat di sana tetapi maaf saya katakan, kekuatan Ku Li sememangnya tidak dinafikan lagi hebat di Gua Musang.
Apabila diadakan pilihanraya kecil sebegini, Ku Li pula dilantik oleh Presiden Umno sebagai Pengarah Jentera BN adalah sesuatu strategi Umno Pusat yang betul dan menguntungkan kem Umno sebenarnya. Ku Li berjaya mengemudikan jentera di sana dengan menjadikan pertandingan di sana lebih bersifat persaudaraan dan cuba mengelakkan isu-isu nasional mendominasi politik di sana sepertimana yang pernah berlaku dalam siri-siri pilihanraya kecil sebelum ini. Perlantikan ini amat penting kerana kesemua ahli Umno dapat disatukan dan komponen-komponen BN yang lainnya di Galas untuk membentuk jentera yang kukuh dan bersepadu. Ini adalah kerana Ku Li adalah pemimpin yang diterima oleh semua komponen BN di sana.
Serangan PAS isu orang Asli ke atas Ku Li adalah satu kesilapan
Sepanjang kempen Galas, Ku Li dilihat jelas mengelakkan melakukan serangan peribadi ke atas calon lawan atau ke atas mana-mana pemimpin PAS sebagai bahan kempennya seperti pemimpin Umno yang lain. Malah, dengan bijak Ku Li berjaya menepis pertanyaan para pemberita yang sememangnya sengaja melaga-lagakan para pemimpin parti-parti bertanding semasa tempoh kempen. Dua hari lepas, apabila Ku Li dituduh oleh Pengarah Jentera PAS Galas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai punca kepada masalah penempatan dan hak tanah orang Asli Galas pada ketika ini, Ku Li menjawab dengan jujur dan rendah dirinya tanpa menjadi defensif. Maka, adalah menjadi satu kesilapan PAS juga yang memulakan serangan peribadi yang sewajarnya dielakkan terutamanya ke atas Ku Li kerana penduduk Galas termasuklah ahli PAS Galas yang sebenarnya kawan kepada Ku Li dan mereka juga sangat sensitif dengan sebarang tuduhan ke atas Ku Li. Ini adalah hakikatnya yang sudah berlaku dan mungkin memburukkan prestasi PAS di Galas.
Strategi Ku Li yang turun padang dan redah hutan berjam-jam seharian di Hulu Kelantan (Galas merupakan kawasan DUN yang paling besar saiznya di dalam DUN Kelantan kerana 80 peratusnya adalah kawasan hutan) untuk berjumpa sendiri dengan rakyat ataupun pengundi memberi menerangkan polisi dan peranan kerajaan di dalam membantu mereka terutamanya Orang Asli akhirnya membuahkan hasil kemenangan ini. Ku Li tidak menggunakan kempennya untuk mengutuk dasar kerajaan negeri PAS sekarang tetapi hanya menyuarakan apa yang BN boleh lakukan untuk mereka sekiranya menyokong calon BN. Tiadanya ceramah skala besar sebagai strategi Umno juga adalah satu tindakan yang dilihat betul dengan digantikan dengan pertemuan rakyat secara kelompok kecil.
Orang Asli penentu penting dengan jumlah hampir 20% pengundi Galas
Perlu diingatkan, selain daripada menjadi kawasan DUN terbesar di negeri Kelantan, Galas juga mempunyai jumlah pengundinya hampir 20 peratusnya adalah pengundi orang Asli. Peratusan itu membawa jumlah pengundi orang Asli seramai 2,000 orang. Berdasarkan keputusan semalam, dipercayai orang Asli di DUN Galas memberikan kemenangan kira-kira 75 peratus kepada Umno dan selebihnya kepada PAS. Dengan peratusan sokongan itu kepada Umno, secara kasarnya kita melihat hampir 1,300 pengundi orang Asli (jika mengambil kira peratusan keluar mengundi bagi orang Asli sama dengan keseluruhan Galas iaitu 82%) memberikan undi kepada Umno.
Jika dilihat dengan majoriti kekalahan PAS sebanyak 1190 undi, jumlah 1,160 undi kepada Umno itu sebenarnya memberi impak yang besar. Jika PAS mampu melakukan strategi terbaik di dalam mendapatkan sokongan orang Asli di Galas, jumlah majoriti kalah mungkin boleh dikurangkan ataupun menang ke atas BN dengan majoriti yang kecil seperti di PRK Manek Urai (perlu dibantu dengan pengekalan undi pengundi Cina di Bandar Baru, Bandar Lama Gua Musang dan Pulai sekurang-kurangnya seperti Pru 2008) .
Calon bekas KESEDAR tarik penyokong kakitangan KESEDAR
Seperkara lagi yang kita perlu akur memburukkan peluang PAS di Galas ialah jumlah pegawai dan kakitangan yang bertugas di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR). KESEDAR merupakan agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan pusat untuk membangunkan wilayah luar bandar yang turut merangkumi keseluruhan Galas dan majoriti daripada mereka sememangnya tinggal di kawasan bandar Gua Musang. Gua Musang sendiri adalah bandar yang berada di dalam DUN Galas. Tidak dinafikan dengan banyak bantuan kerajaan pusat kepada kakitangan kerajaan yang turut melibatkan para kakitangan kerajaan KESEDAR sebagai agensinya, kebanyakan mereka memang cenderung untuk mengundi calon kerajaan lebih-lebih lagi, calon tajaan BN pula adalah bekas kakitangan di KESEDAR yang sememangnya dikenali oleh mereka. Selain itu, Abdul Aziz Yusuf yang pernah bertugas sebagai pegawai KESEDAR pastinya lebih mengenali Galas disebabkan kehendak pekerjaannya yang berhubung dengan rakyat.
Saya tahu ada penganalisa menganggap isu pemberian ’zakat’ oleh Menteri Besar kepada tiga orang Asli yang memeluk Islam mungkin adalah antara punca dan juga isu pemberian wang RM250 perbelanjaan pulang kepada anak Kelantan yang berada di luar yang mengundi di Galas untuk pulang ke mengundi. Saya tidak menafikan ada sedikit kesan tetapi tidaklah sehebat faktor kepimpinan dan personaliti Ku Li sendiri. Saya yakin sekiranya bukan Abdul Aziz yang merupakan Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang menjadi calon, sesiapa sahaja calon asalkan orang Gua Musang dan tiada masalah akhlak pasti akan menang juga jika diletakkan sebagai calon. Mungkin calon yang lain itu tidak mencapai majoriti yang besar yang diperolehi Abdul Aziz kerana beliau ada faktor KESEDAR. Oleh itu, masalah calon PAS didakwa tidak sesuai di sini tidak wujud yang menyebabkan kekalahan PAS. Malah, PAS telah meletakkan calon yang sesuai tetapi sekali lagi tidak kena pada masa dan tempat. Namun begitu, jika dahulunya, perancangan ada menyebut PAS mungkin meletakkan calon Orang Asli, mungkin keputusan agak berbeza.
Beza PRK dan PRU kepada jentera kempen
Kenapa saya sebut tidak kena pada masa? Pilihanraya kecil dan pilihanraya umum sangat berbeza sifatnya. Banyak tumpuan boleh diberikan kepada pilihanraya kecil dengan wang ringgit, logistik dan strategi boleh dirangkakan dengan berkesan. Namun begitu, apabila berhadapan dengan pilihanraya umum, tumpuan adalah khas kepada manifesto perjuangan parti secara keseluruhan dan mengutamakan politik idea bersifat nasional di dalam kempen. Semasa pilihanraya kecil, isu masyarakat setempat seperti kemudahan asas dan kebajikan setempat tetap menjadi strategi yang bagus untuk dibawa manakala isu nasional kurang relevan. Oleh kerana kesukaran memberi tumpuan strategik kepada kawasanlah menyebabkan Galas terlepas ke tangan PAS semasa PRU 2008. Kini, tanpa menafikan PAS mempunyai peluang untuk menang di Galas, tetapi jalan-jalan menuju mempertahankan kerusi itu adalah amat getir sekali.
Walaubagaimanapun, PR khasnya PAS perlu melihat semula seluruh aspek jentera dan usaha mereka dengan melakukan kajian semula atau post-mortem. Sebelum ini, PAS juga hampir tersungkur semasa pilihanraya kecil Manek Urai pada Julai tahun lepas. Sekali lagi, kerana pilihanraya kecil ini bersifat lokal menyebabkan seluruh tumpuan jentera seluruh negara ke atasnya. Bukan itu sahaja, PRK Manek Urai yang menyaksikan majoriti kemenangan PAS dikurangkan sehingga 65 undi sahaja turut menjadi antara PRK yang panas dan penuh dengan episod yang ’ganas’ dalam sejarah kempen pilihanraya negara. Tetapi ketika di Galas, boleh disifatkan sebagai kempen PRK yang paling ’hemah’ selepas tsunami 2008. Kalah dan menang menjadi adat dalam mana-mana pertandingan. Jika hari ini kita kalah, esok mungkin akan menang. Jika kita menang pertempuran, tidak semestinya kita menang peperangan. Ambil contoh PRK Ijok pada 28 April 2007 apabila Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR telah tewas kepada Cikgu K. Parthiban dari MIC-BN tetapi tidak sampai tempoh setahun pun, siapa sangka Khalid menang semasa PRU 2008 dan menjadi pula Menteri Besar Selangor.
Kajian semula (post-mortem) di pihak PAS dan BN
Tetapi ingatlah kajian menyeluruh perlu dilakukan bukan sahaja oleh PAS tentang kekalahannya tetapi juga oleh Umno di Gua Musang kerana memenanginya. Terlalu jauh sekali untuk mengandaikan keputusan di Galas sebagai indikasi kepada kemampuan kerajaan PAS boleh ditumbangkan oleh BN pada PRU ke 13. Kajian boleh dilakukan oleh Umno supaya melihat perkara-perkara yang menyebabkan mereka menang dengan majoriti besar kali ini agar mereka tidak mengulangi kesilapan PRU 2004 apabila setelah memenangi dengan hebat sekali dalam sejarah pencapaian BN sehinggakan melupakan janji-janji kepada rakyat. Alamatnya BN selepas itu hampir tersungkur terus semasa PRU 2008 angkara dihukum rakyat dan ahli mereka sendiri yang protes. Nasib baiklah, ada deposit di Sabah, Sarawak dan Johor.
Terpulanglah kepada Umno selama mana mereka hendak merayakan kemenangan ini tetapi usaha kuat dan kesedaran kejayaan ini perlu disedari sebagai amanah dan bukannya ’habuan’ daripada rakyat. Mereka boleh menganggap kemenangan ini sebagai satu motivasi di hari hadapan tetapi tetap ingatlah pada prinsip ’kami memilih dan kamu berkhidmat sebagai Yang Berhormat’. Saya pasti Ku Li sendiri sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat sedar akan hakikat ini. Oleh kerana itulah Ku Li sendiri pun sudah bertahan menjadi pemimpin rakyat lebih 40 tahun kerana tahu kerjanya itu penuh dengan amanah.
Survival politik Ku Li dan kesan ke atas Perkasa
Sungguhpun begitu, kesan kemenangan ’jentera’ Ku Li bakal memberi kesan kepada Umno pusat lambat-launnya. Suka atau tidak, pasti ada pemimpin pusat yang tidak senang duduk dengan kejayaan Ku Li ini. Kemenangan ini menunjukkan Ku Li adalah watak atau pelaku politik yang masih relevan sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman untuk menyumbang kepada proses ’penyembuhan ’ Umno dan BN. Usaha Ku Li yang nampak tidak selari dengan kerajaan pusat mengenai isu royalti petroleum kepada negeri Kelantan adalah satu lagi isu yang disimpan oleh semua pihak sepanjang kempen Galas. Kita akan lihat sejauh mana kedudukan kerajaan pusat di dalam bertoleransi dengan ketidakselarasan dengan Ku Li ini dalam isu royalti.
Satu kesan lagi yang nampak selepas ini ialah kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa (Pribumi) yang tidak menyertai PRK Galas kali ini sepertimana mereka menyertai beberapa siri PRK yang lalu dengan menyokong calon dari BN. Perkasa pastinya hilang taringnya dengan kemenangan Umno di Galas kerana selama ini Perkasa cuba menunjukkan betapa pentingnya pertubuhannya itu sebagai punca utama sokongan orang Melayu. Nampaknya, kali ini dengan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali yang masih berehat selepas pembedahan jantung perlu mencari jalan baru untuk ’memaksa’ Umno melihat Perkasa miliknya itu mempunyai pengaruh yang besar bagi menentukan kelangsungan Umno dalam politik perdana.
Shaharul Shafie
Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com
Friday, November 5, 2010
Kemenangan BN di Galas sudah dijangka
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
kemenangan ini merupakan isyarat keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Najib, dan sebagai bukti bahawa telah berlakunya satu perubahan sikap dikalangan rakyat untuk lebih cenderung kepada parti pemerintah. tahniah..
ReplyDeletekemenangan ini mungkin hasil usaha gigih daripada jentera-jentera BN yang terlibat. selepas ini calon BN yang menang perlu menjalankan tugas dengan baik agar rakyat terus menyokong BN.
ReplyDeletekemenangan BN di Galas menunjukkan bahawa penduduk Galas sedar bahwa BN sahaja yang layak mentadbir mereka. ini juga hasil usaha BN yang tidak putus asa dalam mendapatkan sokongan rkyat.
ReplyDeleteIni petanda untuk PRU13 nanti.
ReplyDeleteUsaha BN untuk mendapat sokongan memang berbaloi kerana majoriti pengundi di Galas telah mengundi BN. Oleh itu, BN kenalah menunaikan janji2x mereka kepada rakyat. Jangan kecewakan mereka yang telah mengundi untuk BN!
ReplyDeleteTahniah kepada BN. Teruskan usaha memenangi hati rakyat.
ReplyDeleteSekarang, semua parti harus sediakan diri untuk PRU-13 yang mungkin akan datang tidak lama lagi. Berusahalah untuk mendapat sokongan rakyat.
ReplyDeleteI saw too many analysis saying the same thought. BN is going to win both in Galas and Batu Sapi, and its really happened!!
ReplyDeleteSaya meramalkan BN akan menang Batu Sapi tapi kalah di Galas. Tak sangka BN menang dua-dua Pilihan raya kecil kali ini. Tapi diharapkan BN tidak akan angkuh, masih perlu berusaha lagi.
ReplyDeleteKepada kedua-dua parti, teruskan usaha untuk mendapatkan sokongan rakyat. Yang menang jangan sombong, yang kalah jangan berputus asa.
ReplyDeleteSaya tak ramal tapi saya yakin BN boleh menang. hehehe
ReplyDeleteTaniah kepada BN dan semoga kemenangan ini tidak melalaikan BN dalam meneruskan perjuangan :)
ReplyDeleteSemoga semua pihak puas hati dengan keputusan ni. Persiapakan diri utk next GE pula:)
ReplyDeleteYa Jonny. Paling penting teruskan usaha utk raih sokongan rakyat.
ReplyDeleteApapun, sama2 lah kita mengahrapkan yang terbaik hasil daripada kemenangan ini.
ReplyDeleteSegalanya sudah jadi kenyataan. Ada pula pihak yang mengatakan sudah dijangka. Tepat.....??
ReplyDeletekemenangan di Galas adalah kerana rakyat Galas percaya dengan janji BN yang berjanji akan membawa lebih banyak pembangunan di sana.
ReplyDeleteKemenaagan BN di Galas mungkin dijangka ramai orang tetapi tidak buat PAS sendiri.
ReplyDeleteApa-apa pun, diharapkan calon yang menang akan menunaikan tanggungjawab dan janjian mereka terhadap rakyat.
ReplyDeleteIt differs. I would love to say that everything is well prepared. The effort has been paid off.
ReplyDeleteI see.
ReplyDelete