Sunday, May 5, 2013

Mampukah Aishah tumbangkan Isa di Jempol?

Difahamkan asalnya nama bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tidak ada dalam senarai tiga nama yang dicalonkan untuk kerusi Parlimen Jempol bagi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Umno Bahagian Jempol tidak menghantar nama beliau kepada Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan untuk seterusnya diajukan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bukanlah sesuatu yang pelik kerana Isa bukan orang Umno Jempol pun walaupun beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Jempol selama sepenggal (2004-2008).

Sebaliknya Isa merupakan Ketua Umno Bahagian Telok Kemang sejak zaman beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sebelum parlimen bubar sekalipun Isa sudah dianggap tidak akan bertanding lagi sebarang kerusi sama ada kerusi Parlimen atau mempertahankan DUN (Dewan Undangan Negeri) Bagan Pinang. Ini kerana beliau mempunyai tanggungjawab yang lebih besar sebagai Pengerusi Felda.

PAS pula sejak tahun lalu lagi sudah memperkenalkan Ketua Pemuda PAS Jempol, Ustaz Mohd Fairus Mohd Isa sebagai calon kerusi Parlimen Jempol.

Bagaimanapun 10 hari sebelum hari penamaan calon, PAS membuat kejutan apabila mengumumkan bekas penyanyi popular, Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Aishah ‘Janji Manismu’ sebagai calonnya di Parlimen Jempol.

Ramai yang menjangka penyandang Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin akan diberi kepercayaan untuk mempertahankan Jempol bagi kali kedua.

Tanpa disangka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kejutan dengan menamakan Isa yang pernah memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun sebagai calon BN untuk Parlimen Jempol.

Senario ini difahamkan berlaku kerana Najib sudah menekan butang panik dalam usahanya agar satu lagi kerusi Parlimen di Negeri Sembilan tidak terlepas ke tangan Pakatan Rakyat.

Persoalannya apakah percaturan PAS menurunkan Aishah akan membuahkan hasil atau Isa sekali lagi akan kembali ke Parlimen sebagai Ahli Parlimen Jempol?

Isa ada kelebihan

Aishah apabila ditanya FMT, berkata beliau diterima baik oleh pengundi Jempol. Majoriti pengundi Parlimen Jempol merupakan pengundi Felda yang secara tradisinya penyokong kuat BN. Maka tidak hairanlah Aishah juga mengalami dua atau tiga insiden yang beliau dimarahi oleh penyokong BN.

Isa pula bukanlah nama asing kepada pengundi Jempol. Apatah lagi Isa merupakan Pengerusi Felda, satu jawatan yang sudah pasti memberi kelebihan yang lebih ketara kepada beliau.

Daripada tinjauan FMT, sukar untuk Aishah menumbangkan Isa. Aishah berpeluang membuat kejutan di Parlimen Jempol sekiranya lawan beliau ialah penyandang Parlimen Jempol, Lilah Yasin atau muka baru. Namun Isa merupakan lawan yang agak kuat untuk Aishah.

Aishah mungkin mempunyai potensi yang lebih besar sekiranya PAS membuat keputusan untuk menurunkan beliau di Parlimen Jempol awal tahun lalu.

Ini semestinya memberi peluang kepada Aishah untuk lebih mengenali pengundi Parlimen Jempol dan mengenalpasti masalah tempatan yang membelenggu pengundi Parlimen Jempol.

Namun Aishah berpeluang untuk mengurangkan majoriti kemenangan Isa nanti berdasarkan beliau mampu mendapat undi daripada pengundi wanita yang mungkin juga sebahagian daripada peminat beliau.

Parlimen Jempol mempunyai 65,213 jumlah pengundi. Pengundi Melayu 60.62 peratus, Cina 25.32 peratus, India 13.07 peratus dan Lain-lain 0.99 peratus.

Masalah dalaman Umno

Sedia maklum BN atau lebih tepat Umno menghadapi masalah dalaman di DUN Palong ekoran keputusan pucuk pimpinan Umno mencalon Lilah di DUN Palong.

Isunya kerusi DUN Palong yang diwakili oleh Umno, calonnya secara tradisi adalah daripada peneroka Felda.

Sejak DUN Palong diwujudkan pada tahun 1986, sudah tiga calon Umno-BN mewakili DUN Palong, iaitu Baharudin Hassan (1986 dan 1990), Kamaruddin Mohd Din (1995 dan 1999) dan Aziz Shamsuddin (2004 dan 2008).

Kesemua mereka merupakan warga peneroka Felda Palong dan setiap seorang pernah berkhidmat selama dua penggal.

Bagaimanapun Najib membuat satu kejutan apabila menamakan Lilah yang bukan orang Felda Palong tetapi berasal dari Batu Kikir.

Ini mengundang rasa tidak puas kepimpinan Umno DUN Palong dan FMT pernah melaporkan pada 18 April lalu di mana lebih 200 ahli Umno Felda Palong mengadakan bantahan terbuka menolak pencalonan Lilah.

Keadaan ini merupakan satu kelebihan kepada calon PKR DUN Palong, Rebin Birham. Ada cakap-cakap yang mengatakan bahawa dengan mengambil kira protes terbuka terhadap Lilah, Rebin mampu mencipta kejutan pada hari mengundi esok.
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Mampukah Aishah tumbangkan Isa di Jempol? "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx