Sunday, September 28, 2014

Chong Wei berdepan Lin Dan esok di Sukan Asia

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mara ke separuh akhir acara badminton perseorangan lelaki pada temasya Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan.

Pada perlawanan suku akhir yang berlangsung di Gyeyang Gymnasium hari ini, Lee mendapat tentangan sengit daripada pemain Vietnam Nguyen Tien Minh apabila tewas set pertama 23-21.

Lee kembali menemui rentak, bangkit memenangi set kedua dan set penentuan 21-16 dan 21-17.

"Lawan memberi tentangan sengit pada set pertama dan dia beraksi dengan rentak tersendiri. Saya kembali mendapat rentak untuk set berikutnya.

"Saingan sengit ini bagus untuk saya, yang penting untuk kembalikan kecergasan," katanya yang enggan mengulas mengenai lawan yang bakal ditemui pada separuh akhir esok.

Lee bakal berdepan musuh tradisi dari negara tembok besar China, Lin Dan pada pertemuan separuh akhir esok.

Dalam aksi suku akhir yang lain, Lin Dan menundukkan lawannya Kenichi Tago dari Jepun 21-14 dan 21-18 manakala Chen Long menewaskan pemain tuan rumah Korea Son Wanho 21-16 dan 21-19 untuk berdepan pemain Hong Kong Wei Nan yang menewaskan Chou Chen Tien dari Taiwan 21-12, 18-21 dan 21-18.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas kepada pasangan Korea Lee Yongdae/Yoo Yeonseong 6-21 dan 15-21 dalam perlawanan separuh akhir hari ini. – Bernama / TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.