Thursday, September 18, 2014

Tahaluf siyasi buat ahli PAS ‘mabuk’ bertelagah

Tahaluf siyasi yang dijalinkan PAS bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) mampu menjadikan ahli parti Islam itu "mabuk" akibat bertelagah sesama sendiri dan cuba memecahbelahkan PAS, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Berucap ketika merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor hari ini, Hadi berkata, tahaluf yang dianjurkan mereka melalui kerjasama politik dalam pakatan pembangkang itu seharusnya digunakan untuk mengukuhkan parti.

"Tahaluf yang dilaksanakan ini mestilah memperkuatkan parti, dan bukan sebaliknya.

"Amat malang bagi kita sekiranya tahaluf ini menyebabkan ada pihak yang cuba melemahkan kita, kucar-kacirkan kita, sehingga ada yang pening dan mabuk lantaran sanggup berlawanan sesama sendiri," katanya dalam ucapan dasarnya.

Hadi berkata, menjalinkan kerjasama politik juga bukan bermakna PAS perlu menyerap ke dalam sistem parti lain dan meminggirkan matlamat perjuangan PAS.

"Kerjasama politik bukan bermakna kita menyerap masuk ke dalam sistem lain, atau parti lain, sehingga hilang prinsip dan jati diri kita, atau hanya menjadikan ukuran kemenangan semata-mata sebagai matlamat, sehingga menghilangkan dasar parti bagi pelaksanaan Islam," katanya.

Katanya, rakan tahaluf mereka tidak seharusnya mengkhianati PAS kerana parti itu sentiasa menjaga hubungan kerjasama mereka tanpa gagal.

"Sepanjang sejarah perjuangan PAS, kita tidak pernah khianat kepada rakan tahaluf kita, maka kita minta rakan tahaluf kita juga tidak mengkhianati tahaluf ini," katanya.

Beliau turut menggesa kepimpinan PR membuat sebarang kepututsan membabitkan tahaluf siyasi melalui perbincangan sebelum ia dilaksanakan.

"Sebagai sebuah parti politik besar, apa jua rancangan besar mestilah diputus bersama sebelum ianya dilaksanakan," katanya.

Pemimpin veteran PAS itu sebelum ini dikritik kerana mengambil keputusan berbeza dengan PKR dan DAP dalam isu menteri besar Selangor apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Akibat tindakannya itu, beberapa pemimpin PAS juga turut mengkritik Hadi secara terbuka sekali gus membuka jalan perpecahan kepada parti itu.

Hadi sebelum ini mendedahkan, keputusan PKR menggantikan Khalid dan Langkah Kajang tidak dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi PR sebaliknya PAS hanya dimaklumkan mengenainya melalui surat. – TMI
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Tahaluf siyasi buat ahli PAS ‘mabuk’ bertelagah "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx