Saturday, September 27, 2014

Kajang ke Pengkalan Kubor: Berkuburnya PR?

Pergolakan politik negeri Selangor semacam sudah sampai ke penamatnya dengan perlantikan Menteri Besar (MB) baru yang dikatakan telah meredakan ketegangan politik Pakatan Rakyat (PR) dengan pihak istana.

Kerusi yang sepatutnya menjadi milik Anwar Ibrahim (melalui Langkah Kajang) dan kemudian melobi kerusi itu untuk isterinya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi akhirnya menjadi milik Mohamed Azmin Ali.

Percaturan strategi dan permainan politik MB baru ini sebenarnya harus diakui mantap dan tersusun berbanding langkah sumbang yang dibawa Pengarah Strategi parti itu sendiri.

Azmin Ali dan bayangan Khalid Ibrahim

Umum mengetahui bahawa Khalid Ibrahim seorang individu dan juga MB yang berintegriti tinggi dan memiliki rekod politik yang bersih. Legasi yang ditinggalkan oleh Khalid Ibrahim ini adalah bayangan hitam yang bakal mencabar kredibiliti Mohamed Azmin Ali sebagai MB Selangor yang ke-15.

Pembongkaran dokumen-dokumen melibatkan skandal rasuah MB baru ini sewaktu menjadi Setiausaha Sulit kepada Anwar Ibrahim pada tahun 1995 dan siasatan kesnya yang dikatakan ditutup oleh Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas arahan Anwar Ibrahim itu sendiri tidak pula dinafikan secara langsung oleh Azmin mahupun Anwar.

Disini, kita berdepan dengan satu kemungkinan yang tidak pasti. Tentang bagaimana seorang Menteri Besar yang dituduh mempunyai rekod rasuah mampu mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang bersih dan telus?

Sementara itu, dalam 10 senarai baru Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, PAS hanya mendapat 3 tempat manakala PKR mendapat 4 sementara DAP kekal dengan 3 jawatan Exco. Walaupun jawatan Timbalan Speaker Dewan akan diberikan kepada PAS kerana dikosongkan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad yang dilantik sebagai Exco, namun ini adalah satu tamparan hebat buat PAS yang sebenarnya mempunyai status quo dalam DUN Selangor dengan 15 kerusi berbanding PKR dan DAP.

Pemecatan Anwar Ibrahim

Tindakan drastik yang diambil Khalid Ibrahim pada hari terakhir beliau menjadi MB Selangor ialah dengan memecat Anwar Ibrahim dari jawatannya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dengan bergaji RM1. Banyak perkara yang menyelubungi isu ini yang tidak didedahkan kepada umum. Walaupun PR mencanangkan propaganda gaji RM1 dibayar kepada Anwar Ibrahim sepanjang menjawat jawatan ini, namun mereka gagal mendedahkan kos pentadbiran dan pengurusan pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di Plaza Perangsang.

Siapa pula yang akan menerajui jawatan ini kelak? Apakah Azmin Ali akan melantik semula Anwar Ibrahim dengan kadar bayaran gaji yang bersesuaian ataupun sudah ada calon lain untuk mengisi kekosongan itu? Sewaktu pilihan raya kecil Kajang, heboh dikatakan bahawa Rafizi Ramli adalah individu yang terbaik untuk menjawat jawatan tersebut namun melihatkan betapa haru-birunya keseluruhan strategi ‘Langkah Kajang’nya itu, adalah agak pesimistik mengandaikannyanaik menjadi Penasihat Ekonomi.

Pengkalan Kubor, berkuburnya PR?

Kecelakaan yang dilalui oleh PR di Selangor berterusan di Kelantan apabila kekalahan PAS di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor kepada Barisan Nasional dengan peningkatan majoriti daripada 1,736 kepada 2,635 undi kali ini.

PAS sebenarnya dihukum oleh rakan-rakan gabungannya sendiri. Ketidakhadiran Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng sepanjang kempen PRK ini menimbulkan tanda tanya, ditahap mana sebenarnya semangat pakatan mereka.

Menariknya, yang beria-ria dengan Langkah Kajang adalah PKR dan DAP, yang mahukan Khalid Ibrahim berundur adalah PKR dan DAP, yang menerbitkan tohmahan dan tuduhan palsu terhadap Khalid Ibrahim adalah PKR dan DAP, yang mahu jadikan Wan Azizah sebagai MB Selangor adalah PKR dan DAP, yang mencabar Istana Selangor dengan menghantar satu nama calon MB adalah PKR dan DAP tetapi beban kesalahan diletakkan pada empat bekas Exco daripada PAS yang membantu pentadbiran Khalid Ibrahim ketika itu untuk memastikan tiada pilihanraya kecil negeri malah mereka dilabel pula sebagai pengkhianat oleh DAP.

Harus diakui bahawa kemenangan dengan majoriti yang besar oleh BN juga menjadi isyarat kuat pengundi yang menolak mainan persepsi PR melibatkan isu-isu semasa seperti GST, kenaikan kos sara hidup, royalti minyak dan sebagainya. Pengundi mahukan pembangunan dan soalnya apakah Kelantan dibawah pentadbiran PAS begitu lemah dalam soal pembangunan hinggakan pengundi menolak PAS?

Ironinya, PR cuba dan mahu untuk kuburkan BN tetapi ditimbus liang lahad yang digali oleh mereka sendiri.

-fmt

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.