Sunday, September 28, 2014

UMNO dan PAKATAN buli PAS?

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Nik Abduh Nik Aziz menyatakan PAS dibuli oleh rakan Pakatan Rakyat mereka.

Dalam tulisan di Facebook beliau hari ini, anggota parlimen Pasir Mas itu berkata PKR dan DAP menyambung kerja "membuli" PAS selain Umno tanpa dilawan parti Islam itu sendiri.

"Hari ini, selain Umno, PKR dan DAP mula nak buli PAS. Sehinggakan PAS kelihatannya sekarang seperti terpinga-pinga tak tahu nak sentuh yang mana satu. Semua macam tak menjadi.

"Masih dalam Pakatan pun, mereka membakar masyarakat dan penyokong Pakatan Rakyat agar membenci PAS. PAS ni tak berapa 'ganas' mana agaknya. Dibuli pun dia buat muka selamba saja.

Melawan pun macam tak melawan mana," kata beliau yang juga anak Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Beliau berkata DAP mula membuli PAS selepas mendapat kuasa dalam pilihan raya sebelum ini.

Beliau menasihati DAP agar tidak bongkak dan mengikut jejak langkah Umno sebelum ini.

"Macam Umno juga DAP ni. Gembira dan megah sangat bila dah ada kuasa. Maklumlah, lama jadi pembangkang bersama PAS, baru penggal lepas DAP mula dapat kuasa memerintah, sedangkan PAS yang hidupnya sering dibuli dah lama berkuasa di Kelantan dan Terengganu.

"Diungkit-ungkit kisah kegagalan PAS sampai lupa pula kisah kejayaan dan kebaikan PAS di samping kegagalan mereka sendiri.
Sementara itu Nik Abduh menyindir PKR yang turut cuba 'mencuri sambil membuli' PAS tetapi tidak menjadi.

"PKR pun nak buli PAS macam DAP juga. Sambil mencuri sambil membuli. Nasib baik dalaman PKR tak berapa kuat macam DAP. Ada masam muka di antara sesama mereka. Maka bulian mereka, walaupun pedih juga, tapi paling tak menjadi. Tak macam DAP, apatah Umno. Syukurlah.. .

"Itulah PAS, seperti orang miskin hidupnya, sentiasa menjadi mangsa buli,"kata beliau.

Nik Abduh sebelum ini dikaitkan dengan beberapa pemimpin “ustaz muda” dalam PAS yang dikatakan mahu parti itu keluar dari Pakatan.

Sinar Harian pada 24 September lalu melaporkan Naib Ketua Pemuda PAS Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata PAS akan keluar dari Pakatan jika sudah tiba masanya.

Hal itu bagaimanapun dinafikan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Suhaizan menjelaskan, Khairil berkata demikian untuk mengelakkan tekanan-tekanan kepada PAS sehingga parti itu bertukar fikiran dan ia tiada kaitan dengan krisis menteri besar Selangor atau pelantikan exco negeri.

Suhaizan dalam kenyataan hari ini mempertegaskan bahawa Pemuda PAS tetap akan bersama dengan Pakatan seperti diputuskan oleh muktamar 2008.

"Saya telah menghubungi ketua DAPSY dan ketua AMK untuk mempertemukan naib ketua Pemuda PAS dan ketua DAPSY Sarawak untuk menyelesaikan salah faham yang berlaku.

"Saya menasihatkan diri saya dan pimpinan PAS serta Pakatan agar mengelakkan memulakan atau bertindak balas terhadap kenyataan yang boleh meretakkan hubungan dalam Pakatan.

“Seperti kenyataan 'cerai' bagi pasangan suami isteri. Walaupun hukumnya harus tetapi Allah tidak suka perkara tersebut," kata beliau.

DAP Sarawak sebelum ini mengumumkan untuk menghentikan kerjasama dengan PAS selagi parti Islam itu menyokong Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 di Kelantan.

-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.