Wednesday, September 24, 2014

Senarai nama exco Selangor akan dipersembah esok

Menteri besar Selangor yang baru dilantik semalam Azmin Ali akan menghadap sultan esok untuk menghantar nama barisan Exco barunya.

Azmin berkata pertemuan sedang diadakan bersama wakil PKR, DAP dan PAS hari ini dan bakal dibawa kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah esok.

"Sekarang saya sedang teliti barisan exco baru seperti yang saya katakan semalam dan disusuli dengan pertemuan kedua (dengan parti) petang ini,

"Hari khamis saya akan menghadap Tuanku dan majlis angkat sumpah akan diadakan pada hari jumaat,"kata beliau ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Menurut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, pentadbiran seorang menteri besar haruslah mempunyai sekurang-kurangnya empat Exco untuk mentadbir.

Sebelum ini sepuluh Exco dilantik dengan pecahan empat dari PAS dan masing-masing tiga dari PKR dan DAP.

Azmin bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada akan melantik Exco asal yang dilantik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini.

Azmin hari ini secara rasmi memulakan tugasnya jam 7.57 pagi ini

Beliau yang tiba di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada jam 7.50 pagi, disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Khusrin Munawi dan kakitangan pejabat menteri besar sebelum diberikan taklimat ringkas mmengenai tugas beliau sebagai menteri besar ke-15 Selangor.

Azmin kemudiannya menghadiri majlis ta'ruf bersama pegawai kanan dan ketua jabatan kerajaan di bilik gerakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.