Thursday, September 25, 2014

Pengundi hantu muncul di PRK Pangkalan Kubor

Pemuda PAS mendakwa berjaya menahan seorang pengundi hantu dalam pilihan raya kecil Pengkalan Kubor, hari ini.

Dalam kenyataannya, pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS (Juham), Noorazmir Zakaria mendakwa pengundi itu memiliki kad pengenalan dan pasport Malaysia, namun mereka mengesyaki dia bukan warganegara Malaysia.

"Keraguan semakin memuncak apabila ketika disoal peguam Juham, pengundi tersebut langsung tidak tahu nombor kad pengenalan beliau, umur beliau dan alamat beliau di Pengkalan Kubor.

"Malah yang lebih aneh adalah pengundi tersebut juga tidak tahu nama DUN tempat beliau mengundi ini dan nama tempat UPU (unit peti undi) beliau mengundi.

"Namun, pengundi tersebut mengaku bahawa beliau memangkah calon BN," kenyataan Noorazmir dipetik.

Menurutnya lagi, pengundi meragukan itu ditangkap di pusat mengundi Bendang Pak Yong oleh anggota jentera pilihan raya PAS sebelum peguam Juham memeriksa kad pengenalannya dan menyoalnya.

"Berdasarkan rekod di dalam pasport beliau, beliau kerap berulang-alik ke Thailand.

"Apabila ditanya, beliau mengesahkan keluarga beliau menetap di Thailand dan kali pertama beliau mengundi adalah ketika pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini," katanya.

Pilihan raya kecil Pengkalan Kubor berlangsung hari ini selepas tempoh kempen selama 12 hari.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary.

Ia diadakan ekoran kematian wakil rakyat daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Dalam PRU ke-13 tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.