Friday, September 26, 2014

PAS 'menang boo', kalah PRK & hilang jawatan

PAS tidak percaya kemerosotan undinya di Pengkalan Kubor angkara tiada sokongan Pakatan Rakyat. Bagi pemimpinnya Tuan Ibrahim Tuan Man, penambahan majoriti BN disebabkan gula-gula politik dan pengundinya dari luar daerah yang tidak kembali ke Kelantan.

Kerusi ini kembali ke tangan PAS atas alasan PKR tiada jentera di situ; lagi pula ia "dipinjamkan" kepada sekutunya. Demikian hujah PAS sewaktu PKR di Kelantan dan Terengganu berasa disisihkan dalam gabungan itu.

PAS percaya jika ia bertanding, ia boleh mengurangkan majoriti BN di kubu kuat Umno itu. Namun, akhirnya kerusi yang ditagihnya tidak membawa kesan positif, sebaliknya menjadi beban pula.

Apa pun hujahnya, seperti disuarakan oleh naib presiden PAS, ia tidak dapat mengelakkan tanggapan umum bahawa kemerosotan itu juga boleh disandarkan pada reputasi PAS dan Pakatan yang tercalar dalam krisis Selangor.

PAS juga dilihat tidak istiqamah dengan keputusan awalnya dalam krisis menteri besar - walaupun muktamar di tengah-tengah krisis tersebut berslogankan 'Terus Beristiqamah'.

Presidennya Abdul Hadi Awang mengambil tiga keputusan yang "pelik" – daripada mencalonkan presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Azmin Ali kepada "akur keputusan istana" tetapi kemudian mencalonkan wakil-wakil rakyatnya sendiri.

Sikap sebegini mengundang kecaman dari dalam PAS dan menjolok keberangan penyokong Pakatan Rakyat, khususnya yang pro-Anwar Ibrahim dan setia bersama keputusan calon tunggal PKR.

Kritikan terbuka atau tersembunyi dari dalam PAS pula dijawab kumpulan pro-Abdul Hadi, termasuk sorakan mengejek 'boo' di muktamar, yang memanaskan lagi pertemuan di Batu Pahat. Sikap presiden dan riuh-rendah muktamar itu mencalarkan lagi imej parti.

Biarpun pada awalnya ‘Langkah Kajang’ itu ciptaan PKR bagi menyelesaikan persaingan dalaman, akhirnya perseteruan ketara muncul dalam PAS. Seolah-olahnya PKR hanya terkena selesema untuk beberapa hari tetapi jangkitan itu menyebab PAS demam kura berbulan-bulan.

Nasihat timbalan mursyidul am

Untuk mengurangkan kepanasan muktamar, tokoh ulama parti Haron Din berpesan pada perwakilan agar tidak membangkitkan isu-isu yang hanya boleh merekahkan lagi luka-luka di antara dua kumpulan dalam PAS.

Sebagai menghormati nasihat timbalan mursyidul am, perwakilan pada sebelah petang Jumaat dan barisan pemimpin atasannya pada esoknya cuba meredakan keadaan.

Namun, muktamar itu berakhir dengan ucapan ‘barua’ dan ‘broker’ Abdul Hadi. Ucapan yang pedas dan penuh emosi itu mengejutkan banyak pihak, dalam dan luar PAS, sekali gus membuka semula rekah dalam yang dideritai parti itu.

Sasarannya pada watak-watak utama yang pro-PKR sewaktu cuba menyelesaikan krisis Selangor, termasuk dua wakil rakyatnya Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Panas dengan serangan Abdul Hadi, Saari mencabar presidennya agar mendatangkan bukti beliau telah dibeli oleh PKR untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Dr Wan Azizah.

Mantan tahanan ISA itu turut mengulangi pendirian sedia dipecat daripada PAS jika Abdul Hadi mempunyai bukti beliau telah dibeli dan bersedia didakwa di mahkamah jika benar terlibat dalam politik wang.

"Saya tak tahu apa maksud 'broker', 'barua', dicuri dan dibeli. Jadi PAS perlu jelaskan sebab sebelum ini tidak pernah dengar saya ini 'broker' atau 'barua' dan dibeli," Saari dipetik sebagai berkata.

"Dibeli ini, adakah dengan cara jual beli pantun macam itu, atau pun melibatkan wang ringgit?"

Hari ini, PAS kehilangan satu jawatan exco (daripada empat kepada tiga) pula akibat jumlah kerusinya yang "berkurangan".

Walaupun pemimpin PAS mendapat jawatan timbalan Speaker, menggantikan kuota PKR, menariknya kehilangan kerusi exco itu disabitkan dengan jumlah kerusi PAS kini dianggap "13 saja."

Umum melihat PKR yang paling kecil jumlah kerusinya di Selangor setelah Khalid Ibrahim dipecat – daripada 14 kepada 13 kerusi. Sementara DAP dan PAS masing-masing menguasai 15 kerusi dalam pilihan umum Mei 2013.

Namun, dalam krisis menteri besar Selangor, kuasa PAS berjaya dikurangkan sedikit kerana dua wakil rakyatnya, Saari dan Hasnul, dianggap telah berpaling menyokong calon PKR, Dr Wan Azizah.

PAS di barisan tercorot

Jadi, apabila presiden PKR berundur di saat-saat akhir dengan memberi laluan kepada timbalannya Azmin, maka menteri besar baru ini dengan "automatis" mengambil sokongan 30 wakil rakyat pro-Dr Wan Azizah. Malah, termasuk sokongan tambahan daripada "13 wakil rakyat PAS" yang menolak tokoh wanita itu.

DAP, yang selama ini mengekori sahaja keputusan PKR dalam krisis menteri besar, dengan senang hati menerima perubahan saat akhir rakan kongsinya – ia turut menggantikan Dr Wan Azizah dengan Azmin.

Akibat perpecahan dalaman PAS, PKR muncul sebagai parti terutuh di Selangor – dan sekali gus melayakkan ia mendapat empat kerusi exco dan jawatan eksekutif teratas.

Sewaktu PAS masih mengubat luka perpecahan akibat krisis Selangor, PKR pula cuba merapatkan saf dengan membawa masuk tokoh-tokoh muda yang berseberangan kepentingan.

Bekas timbalan speaker Nik Nazmi Nik Ahmad, yang bertembung dengan Amirudin Shari (Batu Caves) dan dianggap pendukung geng 'Langkah Kajang', dibawa bersama pasukan Azmin.

Berbeza dengan PAS, proses "penyatuan" dalam PKR lebih mudah dicapai kerana parti itu bertelagah kebanyakannya di belakang tabir media. Kelicikan kumpulan Azmin dan silat politik lawannya Saifuddin Nasution Ismail atau Rafizi Ramli tidak disorot media.

Tetapi tokoh-tokoh PAS melancarkan perang terbuka di media; pengikut masing-masing bersuara lantang di muktamar dan media sosial.

PKR juga berkongres di tengah-tengah kegawatan krisis Selangor tetapi ia tidak menjadikan persidangan itu pentas melancarkan perang terbuka. Malah kongres PKR dianggap lesu dan beku gara-gara sebilangan perwakilan dan penyokong membantah kumpulan 'Langkah Kajang'.

Dalam babak-babak ini, PAS muncul di barisan tercorot, sementara PKR mengatasi rakan kongsinya. Tetapi semua ini bukanlah lambang kepintaran politik PKR.

Semua ini lambang kesasauan politik PAS yang sarat dengan intrig politik dan pertarungan maut yang tidak selesai-selesai sejak 2008 – persaingan “kumpulan Erdogan” dan puak pro-ulama.

Persaingan sengit muncul setahun sebelum pemilihan tahun lepas dan muktamar di Johor baru-baru ini dijadikan pula gelanggang baru untuk persaingan jawatan di pemilihan berikutnya.

Jangan salahkan PKR apabila ia mengambil lebih kuasa di Selangor – PAS harus muhasabah, perpecahan dalaman hanya menatijahkan jegela Pak Kaduk, ‘menang sorak, kampung tergadai’.

-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.