Monday, September 29, 2014

PAS menunggu masa ditendang dari Pakatan?

PETALING JAYA : Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan PAS pada bila-bila masa akan ditendang keluar dari Pakatan Rakyat (PR) selepas tindakan membuli dan memalukan dari kepimpinan parti tersebut.

Beliau melihat tindakan yang dilakukan oleh PAS merupakan batu penghalang cita-cita DAP bagi menghapuskan keistimewaan orang Melayu dan cita-cita PKR untuk meletakkan Ketua Umumnya menjadi Perdana Menteri.

Katanya, ini dibuktikan dengan tindakan DAP menggugurkan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dari PAS dan membekukan semua peruntukan untuknya. Ini juga bukti bahawa DAP adalah sebuah parti yang tidak boleh ditegur serta mahu menjadi ‘abang besar’ dalam PR.

“Apa yang dikatakan oleh Iszuree Ibrahim semasa muktamar PAS baru-baru ini jelas mengiyakan pandangan ramai pihak sebelum ini bahawa kerajaan DAP tidak pernah memikirkan masalah perumahan rakyat berpendapatan rendah di negeri itu.

“Malah, DAP menganggap anggota dan penyokong PAS Pulau Pinang sebagai sampah yang bekerja keras selama ini untuk memenangkan calon DAP dan PKR di negeri ini semasa pilihan raya umum lalu,” katanya dalam entri www.umnobahagiancheras.blogspot.com .

Tambahnya, PAS perlu bangkit dari lena kerana terdapat usaha-usaha halus dan memalukan sedang dirancang oleh DAP dan PKR yang mahu menendang parti itu keluar dari PR pada bila-bila masa.

Beliau juga turut berasa hairan dengan kepimpinan PAS yang berdiam diri apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang menggelarkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai pengkhianat.

“Saya mahu bertanya di sini adakah PAS telah termakan ‘nasi kangkang’ DAP dan PKR sampai sudah diperingkat diperbodohkan oleh kedua-dua parti sekutu itu masih mahu mendiamkan diri?

“Sampai bila pemimpin PAS mahu diperkotak-katikkan oleh DAP sehingga tidak berani untuk membuka mulut bagi mempertahankan diri apabila dibuli dengan sedemikian rupa.

“Mana maruah PAS sebagai parti yang kononnya mendominasi PR selama ini? Apa pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bila melihat anggota parti itu diberikan layanan buruk oleh PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang?,” soalnya.

Katanya, sampai bila PAS dilihat lemah dan tidak berwibawa apabila terus tunduk di telapak kaki DAP dan PKR yang mula mabuk kuasa.

-fmt

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.