Sunday, September 28, 2014

Rogol kekasih dipenjara tujuh tahun

KOTA BHARU - Padah buat seorang buruh ladang kerana kesalahan merogol kekasihnya yang berusia 14 tahun, dia dihukum penjara tujun tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini.

Hukuman diputuskan hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Mohd Sauti Abdullah, 20, selepas tertuduh mengaku salah atas tuduhan itu.

Tertuduh yang beralamat di Kuala Krai tersebut didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun 11 bulan di rumahnya di Bukit Sireh, Kuala Krai, antara jam 4.30 pagi hingga 5 petang, 13 Januari lalu.

Tertuduh sebelum itu pergi ke rumah mangsa pada awal pagi hari sama dan membawanya pulang ke rumah di alamat berkenaan.

Tibanya di rumah, tertuduh membawa masuk mangsa ke dalam sebuah bilik dan beberapa kali merogolnya sebelum kedua-dua mereka keluar dari rumah itu.

Bapa mangsa yang menyedari kehilangan anaknya kemudian mencari mangsa sebelum mangsa pulang ke rumah pada jam 5 petang dan memberitahu bapanya dia dirogol oleh tertuduh.

Pada prosiding itu, peguam, Mohamad Asyraf Zakaria merayu bagi pihak anak guamnya itu supaya mahkamah memutuskan hukuman ringan dengan alasan tertuduh dan mangsa adalah pasangan kekasih.

Katanya, insiden itu juga berlaku tanpa perancangan atau paksaan.

“Tertuduh ikhlas menginsafi kesalahan yang dilakukan. Kesalahan ini juga adalah kesalahan pertamanya dan dia masih muda. Hukuman penjara lama juga tidak akan dapat menghalang pasangan kekasih lain daripada membuat kesalahan,” katanya.

Alasan peguam berkenaan bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari yang memohon pihak mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi menyampaikan mesej kepada umum bahawa mahkamah mengambil serius kesalahan seperti itu.

“Mangsa hanya berumur 14 tahun, manakala tertuduh pula 20 tahun. Apa yang tidak dirancang, sedangkan mangsa diambil daripadanya rumah pada jam 4 pagi dan pulang hanya pada jam 5 petang.

“Mereka pasangan kekasih dengan perbezaan umur enam tahun. Tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa atas nama sebagai pasangan kekasih,” katanya.

-sinar harian

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.