Friday, September 26, 2014

Polis didakwa dua tuduhan rasuah

IPOH - Seorang konstabel polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM4,000 daripada seorang individu, Ogos lepas.

Mohd Azrol Azreen Abu Hasan, 26, yang bertugas di Batalion 2, Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kulim, Kedah meminta suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap tiga warga Myanmar yang tidak mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

Dia meminta suapan itu melalui panggilan telefon di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pada 12 tengah hari, 31 Ogos lepas.

Sementara pada hari yang sama, tertuduh menerima suapan tersebut di Jalan Persiaran Meru Raya 5, Meru Raya di sini, pada 2.40 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 manakala bagi kesalahan menerima rasuah, dia didakwa di bawah Seksyen 17 (a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Hakim Madihah Harullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua penjamin dan menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mukhriz Mat Rus manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.