Tuesday, September 16, 2014

Perwakilan keluar dewan tanda protes terhadap Mohd Sabu?

Sebahagian perwakilan Pemuda Pas yang menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Pemuda Pas kali ke-55 di Dewan Choon Moi, Kota Tinggi dilihat meninggalkan tempat selepas Timbalan Presiden, Mohamad Sabu memulakan ucapan perasmian, di sini, hari ini.

Hasil tinjauan Sinar Harian Online mendapati, perwakilan tersebut keluar dari dewan secara beramai-ramai sebaik Mohamad memberi salam kepada seluruh perwakilan yang hadir.

Menurut seorang perwakilan yang enggan dikenali, tindakan tersebut ekoran rasa kurang senang dengan kenyataan-kenyataan orang nombor dua dalam Pas itu yang dilihat sering mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kita datang dari kawasan presiden dan tak sukalah apabila orang buat presiden kita begitu.

"Dulu dia (Mat Sabu) bertanding kata nak bantu presiden...," katanya ketika ditemui di luar dewan.

Ketika ditanya sama ada tindakan itu ekoran kecewa dengan Mat Sabu, perwakilan itu menjawab, "adalah kurang senang sedikit, tapi biasalah."

Menurutnya, Mat Sabu tidak perlu ikut segala arahan Hadi namun tidak sepatutnya berlaku pertikaian antara Presiden dan timbalan.

"Kita tak kata beliau perlu ikut (arahan presiden). Tapi bantulah.

"Kita boleh bincang baik-baik, tak patut nampak ada pertikaian antara presiden dan timbalan. tak cantiklah," katanya.

Sementara itu, rata-rata perwakilan lain yang ditemui enggan memberi sebarang komen ekoran tindakan tersebut.

Meskipun ramai perwakilan yang meninggalkan dewan, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu tetap meneruskan ucapan sehingga selesai.

-sinar harian

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.