Tuesday, September 16, 2014

Masalah pelarian Filipina di Sabah diangkat dalam dokumentari ‘Di Ambang’

Masalah pelarian Filipina bukan isu yang baru di Sabah. Selama berpuluh tahun dan hampir tiga generasi pelarian Filipina menetap di negeri Borneo itu bukan sahaja tidak diberikan status kerakyatan, malah pelbagai persepsi negatif dilemparkan terhadap mereka.

Dilema yang melanda pelarian di Sabah menjadi pencetus inspirasi kepada dua pelajar menghasilkan dokumentari bertajuk "Di Ambang" dalam versi bahasa Melayu dan versi bahasa Inggerisnya "Stateless in Sabah".

Vilashini Somiah dan Azliana Aziz, dua pelajar Ijazah Sarjana Pengajian Asia Tenggara di Universiti Ohio, Amerika Syarikat menghasilkan filem tersebut tugasan akhir bagi melengkapkan pengajian mereka.

Vilashini berkata dokumentari berdurasi 50 minit itu mengambil masa 3 tahun untuk disiapkan dengan penglibatan krew sepenuh masa seramai tiga orang iaitu dirinya, Azliana dan seorang lagi rakan mereka bertindak sebagai jurukamera.

Menurut Azliana pula, pemilihan tajuk "Di Ambang" dilakukan kerana ia perkataan yang sesuai untuk menggambarkan nasib pelarian yang lari ke Malaysia pada tahun 1970 akibat pergolakan politik di Selatan Filipina.

"Di Ambang itu seperti berada di tengah-tengah, ia tidak termasuk atau tidak terkeluar ia hanya berada di situ sahaja. Sama seperti pelarian di Sabah, kerana mereka tidak diberikan status kerakyatan, maka kehidupan mereka berpuluh tahun ini tidak pernah berubah ke arah lebih baik," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider semasa Freedom Film Festival 2014 di Petaling Jaya baru-baru ini.

Vilashini amat berharap dokumentarinya dapat membuka mata dan memberi mesej kepada masyarakat negara ini dan juga luar negara tentang dilema yang ditempuhi pelarian yang berlarutan sehingga kini.

"Kita perlu membuka mata terhadap golongan ini. Anda perlu lihat betapa sukarnya hidup mereka, tidak ada tempat tinggal dan pekerjaan yang tetap mereka ini amat terdesak untuk meneruskan hidup mereka.

"Dan orang terdesak melakukan apa sahaja untuk meneruskan kelangsungan hidup, bagi mereka keperluan utama mereka adalah mendapat makanan," katanya.

Memberi fokus kepada kehidupan dua keluarga pelarian di kawasan perkampungan Lahad Datu, Vilashini berkata merakamkan dokumentari itu bukan mudah.

"Pada mulanya kita bercadang mengupas isu kanak-kanak pelarian ini kerana meskipun mereka lahir di Malaysia, mereka tidak diberikan kerakyatan, menyebabkan mereka tidak boleh ke sekolah.

"Tanpa pendidikan mereka tidak boleh membaca, malah ada juga tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik," katanya.

Katanya, hasil bantuan badan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan kelas pembelajaran percuma kepada kanak- kanak pelarian, mereka akhirnya dapat mendekati keluarga pelajar berkenaan.

"Sebenarnya bukan senang ingin mendekati golongan itu kerana mereka tidak mahu sangat bercakap dengan kita. Ramai takut, tetapi apabila kami mula rapat dengan anak mereka, dari situ kami dapat mengenali keluarga pelarian.

"Dan dalam beberapa senarai, dua keluarga itu dipilih berdasarkan komunikasi bertutur dan keterbukaan mereka mengisahkan kehidupan mereka," katanya.

Mereka juga berdepan cabaran menyiapkan dokumentari itu, termasuklah pengalaman dipantau pihak berkuasa.

"Terlalu banyak cabaran. Pertamanya kami berdua ini bukan pelajar perfileman, kita tidak belajar secara formal membuat dokumentari, kami hanya dibantu jurukamera kami yang juga rakan universiti dalam bidang perfileman.

"Kami sebenarnya tidak menyangka susah menghasilkan dokumentari, ada 80 versi dan kita perlu tapis satu demi satu, kemudian ia melibatkan banyak bahasa yang perlu kita terjemahkan, ini tidak termasuk masalah kos.

"Dan sudah tentu kedatangan kami juga menarik perhatian pihak berkuasa, mereka sentiasa memantau aktiviti kami, pernah satu ketika mereka datang ke hotel seolah-olah memberi amaran," katanya.

Azliana juga menyifatkan isu pelarian di Sabah melibatkan banyak perkara seperti politik, ekonomi sosial, korupsi dan juga sebagainya.

"Apa yang kita harapkan, isu ini diketahui ramai, kita tidak kata perlu bagi pada semua kerakyatan tetapi apa pun perlu cari jalan penyelesaian masalah ini dan perlu ditangani daripada berlarutan," katanya.

Sementara itu Vilashini berkata pembikinan filem itu bertujuan dijadikan satu pendedahan dan sumber rujukan kerana tidak ramai yang sedar akan isu itu.

"Bagi saya filem ini tidaklah sempurna mana dan tidak akan sekali menjadi sempurna, penonton suka atau tidak itu bukan menjadi isu kerana sekurang- kurangnya, sama ada faham atau tidak mereka akan mempunyai satu persepsi tentang masalah ini.

"Mungkin bukan senang untuk terus menyelesaikan isu ini, namun sekurang-kurangnya rakyat Malaysia perlu perubahan, cukuplah dengan menonton filem ini akan menjadi dorongan buat mereka," katanya. –TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.