Friday, September 19, 2014

Perwakilan di'boo' kerana seruan tolak MB daripada PAS

Seorang perwakilan Pemuda PAS dicemuh apabila beliau dengan penuh semangat menyeru kepimpinan tertinggi parti menolak jawatan menteri besar Selangor sekiranya Sultan Selangor memilih pemimpin daripada PAS bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Insiden itu mencetuskan kekecohan petang ini apabila perwakilan dan pemerhati muktamar bangun dan menjerit "boo" kepada Mohd Sany Hamzah dan mengarahkannya berhenti berucap.

"Jika benar Sultan Selangor lantik menteri besar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS, Pemuda ingin menyarankan supaya kita tolak jawatan itu.

"Setuju semua? Sebab itu janji kita," katanya semasa membahaskan ucapan dasar presiden pada hari kedua Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor hari ini.

"Setia kita dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Sebab itu saya nak sebut, kalau mahu ambil kerusi menteri besar, tunggu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita sapu 20 kerusi di Selangor, kita jadi menteri besar," katanya dan mencetuskan kekecohan apabila disambut dengan "boo" oleh mereka yang hadir.

Sany bagaimanapun tenang menerima bantahan dan berkata ia adalah pendirian sayap Pemuda PAS bersama PR.

"Tak apa, saya tidak ada masalah, itu pendirian Pemuda yang kita janji dan sepakati bersama dalam Pakatan," katanya. –TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.