Monday, September 15, 2014

Pemuda Pas kata Nik Nazmi cuba keruhkan keadaan

Pemuda Pas Kelantan menyifatkan tindakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan hasil pertemuan antara AMK dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai cubaan mengeruhkan kembali keadaan.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pertemuan antara ketua sayap Pemuda dalam Pakatan Rakyat (PR) yang bertujuan untuk mendamaikan keadaan dan suasana tidak seharusnya dihangatkan dengan pendedahan tidak sepatutnya.

“Saya terkejut apabila membaca kenyataan dikeluarkan Ketua AMK semalam, yang mendakwa Presiden Pas menyuarakan hasrat untuk mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dalam pertemuan dengan Ketua Pemuda PKR minggu lalu.

“Apa yang diketahui, ia pertemuan tertutup dan tidak sepatutnya didedahkan kepada umum, lebih-lebih lagi di saat isu Menteri Besar Selangor ini memasuki fasa terakhir,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, Pemuda Pas Kelantan kesal dengan pendedahan yang dibuat walaupun yakin dan menghormati komitmen rakan di dalam AMK yang begitu komited menjaga keutuhan PR.

“Kehadiran Nik Nazmi bersama kepimpinan AMK di Pengkalan Kubor tiga hari lalu cukup memberikan semangat kepada Pemuda meneruskan agenda perjuangan PR, khususnya Pas yang diberikan laluan pada PRK ini.

"Bagaimanapun kenyataan terbaharu Nik Nazmi ini saya sifatkan akan mengeruhkan kembali keadaan kerana tidak semua pandangan yang dikongsi dalam pertemuan tertutup seperti itu didedahkan kepada umum, lebih-lebih jika ia tidak mendatangkan faedah," katanya.

-sinar harian

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.