Saturday, November 8, 2008

HAMID : PAS SUKA TUDUH DAN FITNAH UMNO

"Saya hairan mengapa Pas suka menuduh dan memfitnah UMNO?"

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Syed Hamid Albar hairan dengan tindakan pemimpin Pas Johor membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan berlaku politik wang semasa Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tindakan Pas itu diragui dan dilihat cuba mengganggu urusan pemilihan parti yang tidak berkaitan langsung dengan pembangkang.

"Saya hairan mengapa Pas suka menuduh dan memfitnah UMNO?

"UMNO sendiri ada saluran untuk aduan kes-kes sebegini dan Pas tidak perlu menyiasat sebarang dokumen berkaitan parti," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Masjid Jabatan Penjara Malaysia Kajang di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ketua Penerangan Pas Johor, Mazlan Aliman semalam yang membuat laporan kepada BPR kerana terdapat dakwaan rasuah wang pada pemilihan UMNO Bahagian Kota Tinggi.

Syed Hamid yang tidak gentar dengan sebarang siasatan yang akan dibuat BPR menegaskan, beliau bersedia untuk disiasat bagi membuktikan kebenarannya.

"Sesiapa pun mesti rela disiasat. Jika Pas sendiri sudah masuk campur urusan parti, kita cadangkan dia sendiri memasuki UMNO," tegasnya.

Sumber: Utusan Malaysia